Nostalgia Jeti Hutan Melintang

Diterbitkan: Selasa, 19 Julai 2016 1:17 PM

Jeti Hutan Melintang (kanan) iaitu sempadan negeri Perak manakala seberang sungai adalah Selangor.

(Ubah saiz teks)

SUASANA petang yang redup diiringi hembusan angin lembut menyambut ketibaan saya ke jeti Hutan Melintang, Perak, baru-baru ini.

Lama sungguh tidak menjejak kaki ke jeti Hutan Melintang, sebuah tempat yang menyimpan banyak kenangan ketika di alam persekolahan pada tahun 60-an dan awal 70-an. Imbauan kenangan lalu menggamit saya melawat kembali ke tempat penuh nostalgia ini.

Jeti ini terletak di tebing Sungai Bernam, Hutan Melintang, kira-kira empat kilometer dari pekan Simpang Empat, Hutan Melintang. Hutan Melintang ialah salah satu kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi Parlimen Bagan Datoh. Satu lagi ialah Rungkup.

Sehingga awal tahun 70-an, jeti Hutan Melintang adalah lokasi tumpuan yang sentiasa riuh dan sibuk, khususnya bagi mereka yang hendak menyeberangi Sungai Bernam menuju ke Sungai Air Tawar dan Parit Baharu di Selangor menggunakan bot penambang.

Juga sebagai jeti ketibaan bagi penumpang yang datang dari kedua-dua tempat tersebut. Sungai Bernam ialah sempadan semula jadi negeri Perak dan Selangor.

Nyata kini suasana dan persekitaran sudah banyak berubah. Tiada lagi kesibukan dan kemeriahan seperti dahulu. Yang wujud hanyalah sebuah jeti yang suram dan sunyi serta hembusan lembut angin laut.

Sesekali kesunyian ini di pecahkan oleh bunyi enjin bot dan gelak ketawa penduduk tempatan yang berbual dan bersantai di jeti tersebut.

Dahulu ketika sistem hubungan darat masih belum efisen, dan belum ramai yang mampu memiliki  kenderaan sendiri, baik kereta atau motosikal, jeti Hutan Melintang jadi tumpuan. Bot-bot penambang  berlabuh di jeti, sedia untuk memberi khidmat.

Perkhidmatan pengangkutan ke jeti ini disediakan oleh syarikat bas Lower Perak Motor Service (LPMS) yang menyediakan perkhidmatan bas Teluk Intan ke Hutan Melintang.

Syarikat ini juga menyediakan perkhidmatan bas dari Teluk Intan ke Bagan Datoh dan sebaliknya. Bas  dari Teluk Intan ke Bagan Datoh atau Bagan Datoh ke Teluk Intan akan singgah ke Hutan Melintang bagi mengambil dan menurunkan penumpang.

Saya masih ingat, ketika masih bersekolah dahulu, saya selalu mengikut arwah emak ke ‘seberang’ (rujukan untuk Parit Baharu dan Sungai Air Tawar) kerana mengunjungi saudara yang tinggal di sana.  (Sungai Air Tawar ialah salah satu kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Parlimen Sabak Bernam, Selangor. Satu lagi ialah DUN Sabak).

Perjalanan menaiki bot merentas Sungai Bernam memang menyeronokkan walaupun bimbang juga apabila Sungai Bernam bergelora. Bisanya bot bergerak menyusuri tepi sungai. Ia akan hanya bergerak merentas tengah Sungai Bernam ketika keluar dari sungai tersebut untuk menuju ke destinasi Sungai Air Tawar atau Parit Baharu.

Menuju ke tambatan di Parit Baharu, setelah keluar dari Sungai Bernam, bot akan menyusuri anak sungai yang dipenuhi dengan pokok-pokok bakau dan nipah serta pokok berembang dengan monyet bergayutan.  Sungguh indah pemandangan sekeliling di sepanjang perjalanan bot tersebut mudik ke tambatan.

Bot penambang ini hanya bot biasa yang mempunyai tempat duduk daripada kayu. Cuma bot yang ke Sungai Air Tawar ada sedikit keistimewaan kerana ia dua tingkat. Penumpang boleh memilih untuk duduk di tingkat atas atau bawah.

Perjalanan mengambil masa lebih sejam dari jeti Hutan Melintang ke Parti Baharu dan hampir sejam ke Sungai Air tawar. Tambang ketika itu murah, hanya 80 sen ke Parit Baharu dan 50 sen ke Sungai Air  Tawar. Namun waktu itu wang sejumlah itu besar nilainya.

Kerana kedudukannya sebagai jeti tumpuan, persekitaran jeti Hutan Melintang juga sibuk. Ramai yang berniaga  menjual makanan dan  minuman serta buah-buahan. Sebelum menaiki bot atau apabila naik daripada bot, gerai-gerai  ini akan menjadi tumpuan.

Cendol, ais kacang dan air limau serta  macam-macam lagi sedia untuk menghilang dahaga, di samping pelbagai jenis makanan seperti nasi campur, mi rebus, mi goreng dan rojak.

jeti ini juga pernah dijadikan sebagai lokasi penggambaran drama RTM ‘Anjang Aki’ yang popular suatu ketika dahulu, lakonan Baharuddin Omar, Ismail Hutson dan Dian P.Ramlee.

Peredaran masa dan sistem pengangkutan awam yang semakin efisen serta semakin ramai mampu menggunakan kenderaan sendiri, secara perlahan memalapkan kemeriahan dan kesibukan jeti Hutan Melintang. Dengan terbinanya sistem jalan raya lebih baik yang menghubungkan laluan darat sama ada dari Perak atau Selangor sendiri ke Sungai Air Tawar dan Parit Baharu, fungsi jeti Hutan Melintang makin terhakis.

Orang ramai kini lebih suka berulang alik ke tempat-tempat tersebut menggunakan kenderaan awam atau kenderaan sendiri. Maka dengan sendirinya fungsi jeti Hutan Melintang sebagai tempat tumpuan penumpang bot penambang menemui nokhtah.

Lawatan ke jeti tersebut menampakkan ia sudah berubah dimamah usia. Titian konkrit yang dahulu kukuh megah menjadi laluan untuk turun atau naik daripada bot penambang  sudah tumbang menyembah sungai. Yang tinggal hanyalah kesan konkrit di gigi sungai. Laluan ini digantikan dengan laluan kayu yang kini sudah goyah dan usang, mungkin kerana sudah lama.

Bot penambang sudah tidak lagi memenuhi jeti ini. Sebaliknya ia kini dipenuhi dengan bot-bot nelayan besar dan kecil. Jeti penumpang ini sudah sepenuhnya menjadi jeti nelayan berlabuh dan memunggah hasil.

Hilang sudah teriakan yang biasa kedengaran dahulu seperti: “Parit Baharu…Parit Baharu boleh naik bot sekarang”.  Atau: “Sungai Air Tawar (mereka menyebut Sungai Tawar sahaja)…Bot sudah sedia.”

Pergerakan bot tidak sangat mengikut waktu tetap tetapi mengikut jumlah penumpang. Kalau belum ramai maknanya mereka yang sudah datang awal kena menunggu agak lama sedikit sebelum bot bergerak. Tapi pada musim perayaan seperti Hari Raya, memang ramai bersesak-sesak untuk menggunakan perkhidmatan bot. Kerana jumlah bot tidak banyak, ramai yang terpaksa menunggu sehingga bot lain sampai ke jeti.

Kesempatan berbual dengan beberapa orang penduduk yang bersantai di jeti mengesahkan jeti Hutan Melintang kini memang sudah sunyi daripada suasana hiruk pikuk seperti suatu masa dahulu ketika ia menjadi jeti bot penambang.

Menurut mereka, keadaan itu juga menyebabkan jeti Hutan Melintang dipagut sunyi. Tidak banyak lagi gerai makan minum. Wakaf yang ada di jeti itu sekarang hanyalah untuk tumpuan penduduk sekitar datang bersantai sambil berbual.

Kata mereka, kini orang ramai memilih pengangkutan darat  atau berkenderaan sendiri ke Sungai Air Tawar dan Parit Baharu kerana ia lebih pantas. Inilah yang akhirnya ‘membunuh’ kemeriahan dan kesibukan jeti Hutan Melintang.

Malah perkhimatan bas LPMS juga kini semakin malap. Kekerapan laluan berkurangan dan jumlah penumpang  juga tidak ramai. Kini sudah ramai berkenderaan sendiri seperti kereta atau motosikal untuk mereka pergi balik dari Bagan Datoh ke Teluk Intan dan sebaliknya. Penumpang ke Hutan Melintang dari Teluk Intan dan sebaliknya juga berkurangan.

Namun ketika jeti Hutan Melintang semakin suram, pembangunan lain di kawasan Hutan Melintang nampak menyerlah, khususnya di Pekan Simpang Empat.

Kedudukan Simpang Empat sangat strategik. Sesuai namanya ia mempunyai empat simpang. Jika dari simpang  jeti Hutan Melintang, jalan terus menuju ke Teluk Intan dan Sitiawan serta Lumut. Menghala ke kanan menuju ke Sabak Bernam dan menghala ke kiri menuju ke Bagan Datoh.

Pekan ini strategik kerana menjadi laluan utama mereka yang menggunakan laluan pantai (coastal road) menuju ke utara dari arah Sabak Bernam dan sebaliknya, selain menjadi laluan utama mereka dari Bagan Datoh ke Teluk Intan dan sebaliknya. Dijangka apabila Lebuhraya Pantai Barat siap nanti, Simpang Empat  akan menjadi lebih sibuk.

Sesuai dengan kedudukannya yang strategik, Simpang Empat memiliki pelbagai kemudahan. Antaranya balai polis, bank, pejabat pos, deretan kedai pernigaan dan restoran-restoran  makanan segera serta stesen minyak. Kolej Komuniti juga ada di pekan ini.

Kepesatan dan kemeriahan Simpang Empat barangkali sedikit sebanyak menjadi penawar kepada kemurungan dan kemalapan jeti Hutan Melintang. Namun begitu nostalgia jeti tersebut pastinya akan tetap tersimpan segar dalam lipatan kenangan.

Tags / Kata Kunci: Hutan Melintang , Bagan Datoh , Teluk Intan

iklan

Video

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Jumaat, 15 September 2017 2:00 PM

Cassidy Malu Cakap Melayu?

Jumaat, 15 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Payslip - Semangat Yang Hilang

Khamis, 14 September 2017 4:00 PM

Farida Jalal Mahu Lebih Kolaborasi Malaysia-Bollywood

Khamis, 14 September 2017 9:00 AM

Faye Kusairi Menangis Tonton Diri Sendiri

Rabu, 13 September 2017 2:00 PM

Saya Tak Jual Rupalah! - Erwin Dawson

Rabu, 13 September 2017 9:00 AM

EKSKLUSIF! Kisah Elizabeth Tan Nak Bunuh Diri

Kolumnis

iklan

Iklan