Bagaimana Masa Depan & Nasib Tulisan Jawi

Diterbitkan: Isnin, 27 Jun 2016 2:16 PM

(Ubah saiz teks)

SEWAKTU berkunjung ke Kota Bharu, Kelantan, baru-baru ini hati saya tersentuh melihat tulisan jawi begitu menonjol digunakan bersama tulisan rumi pada nama bangunan, jabatan, gedung perniagaan, papan iklan dan juga nama jalan.

Tentunya ini bukan sesuatu yang baru dibuat oleh kerajaan negeri. Namun hati saya tersentuh kerana apabila melihat tulisan jawi begitu meluas digunakan di negeri Cik Siti Wan Kembang itu, saya terkenang betapa tulisan jawi kini terpinggir.

Saya percaya kerajaan beberapa negeri lain juga berusaha memartabatkan tulisan jawi ini seperti Terengganu, Kedah, Negeri Sembilan, Johor, Melaka dan Selangor. Usaha beberapa kerajaan negeri ini sekurang-kurangnya mengubat hati bahawa tulisan jawi masih hidup walau pun terpinggir.

Tetapi kita mahu biarlah ia menyeluruh di seluruh negara, termasuk di ibu negara Kuala Lumpur. Biar kehadiran dan kepentingan tulisan jawi itu menyerlah dan semaraknya dirasai  kerana ia adalah tulisan warisan bangsa dan budaya.

Ketika Kumpulan Utusan mengumumkan untuk menghentikan penerbitan Utusan Melayu (Jawi) beberapa tahun lalu, ramai yang membantah, daripada ahli politik, akademik hinggalah masyarakat ramai.

Menurut mereka, akan hilang ikon yang selama ini memartabatkan tulisan Jawi. Benar, Utusan Melayu ialah akhbar jawi yang lahir menjadi panji-panji bersama penubuhan Utusan Melayu itu sendiri pada tahun 1939.

Sayangnya, mereka yang membantah ini bukan pun penyokong atau pembaca tegar Utusan Melayu jawi. Mereka tidak pun membeli akhbar tersebut. Mereka hanya pandai bersuara tetapi tidak tahu betapa syarikat menanggung kerugian setiap hari kerana edaran sedikit dan tiada iklan sedangkan kos percetakan melambung tinggi.

Menuju ke penghujung, walaupun dalam penderitaan, Utusan Melayu tetap diterbitkan demi memartabatkan tulisan jawi dan memenuhi tanggung jawab sosial. Namun berapa lamakah ia mampu bertahan dalam kerugian yang semakin membukit? Akhirnya penerbitan Utusan Melayu harian ditamatkan juga.

Semangat kental sayangkan tulisan jawi tetap membara di hati Kumpulan Utusan. Akhbar Utusan Melayu kemudian diterbitkan secara mingguan. Itu pun tidak bertahan lama. Utusan Melayu kini hanya diterbitkan untuk negeri Johor kerana ia mendapat penajaan daripada Johor Corporation (JCorp) iaitu anak syarikat kerajaan negeri.

Negeri Johor dengan sistem sekolah agama negerinya yang terpelihara dan tersusun serta GLC negeri yang memiliki kesedaran yang tinggi untuk memikul tanggungjawab sosial seperti ini adalah contoh terbaik bagaimana sesebuah negeri itu dapat memainkan peranan dalam memelihara khazanah negara seperti tulisan jawi.

Benar, ada beberapa buah negeri yang memberi keutamaan kepada tulisan jawi dengan meletakkannya pada nama bangunan, pejabat, gedung perniagaan, papan iklan dan juga nama-nama jalan, berseli dengan tulisan rumi.

Tetapi setakat itu sahajakah nilai tulisan jawi? Hanya layak tercatat pada papan-papan tanda iklan, papan nama jalan atau gedung-gedung perniagaan sedangkan suatu ketika dahulu kedudukan tulisan jawi amat tinggi di mata masyarakat.

Sewaktu zaman persekolahan rendah dahulu, dalam tahun 60-an, saya ingat ada subjek khusus untuk bacaan dan tulisan jawi. Subjek Agama Islam juga diajar dalam tulisan jawi dan murid-murid menjawab dalam tulisan jawi.

Tulisan jawi adalah tulisan Al Quran dan mereka yang gagal menguasainya berasa malu sendiri. Kerana itu mereka belajar bersungguh-sungguh. Sebahagian daripada murid-murid ini pula selepas balik sekolah kebangsaan akan pergi ke sekolah agama.

Di sekolah agama, yang kebanyakannya ketika itu Sekolah Agama Rakyat (SAR), pengajaran dan pembelajaran adalah dalam tulisan jawi. Subjek Bahasa Arab juga diajar. Ini mampu mengasah kebolehan pelajar memperbaiki tulisan dan pemahaman tulisan jawi dan pada masa yang sama mempelajari bahasa Arab. Jelas tulisan jawi memainkan peranan penting dalam sistem pendidikan dahulu.

Generasi tahun 60-an dan sebelumnya secara umumnya memiliki kemahiran membaca dan menulis jawi. Mereka menjadi pendokong kepada penerbitan-penerbitan dalam tulisan jawi, sama ada buku, kitab, majalah atau akhbar.

Jika diteliti, pada era 50-an dan 60-an dahulu memang banyak penerbitan dalam tulisan jawi. Misalnya majalah ‘Fesyen’, ‘Dian’, ‘Mastika’ sementara akhbar seperti Utusan Melayu tidak menghadapi masalah jualan dan pembaca. Malah ketika itu banyak pekeliling kerajaan atau risalah dan brosur jabatan kerajaan masih diedar dalam tulisan jawi.

Itu cerita dahulu, sekadar mengimbau sejarah. Tulisan jawi kini terpinggir. Malah jumlah mereka yang mahir menguasai tulisan jawi dan membaca jawi kian berkurangan. Dengan pupusnya generasi dahulu yang mahir jawi maka begitulah juga pupusnya tulisan jawi menurut peredaran masa.

Sekali sekala terdengar gegak gempita desakan agar tulisan jawi di martabatkan semula. Namun ini biasanya hanyalah dalam ucapan retorik ketika seminar mengenai jawi atau ketika perasmian pertandingan yang berhubung kait dengan jawi, seperti peraduan menulis khat atau pameran jawi.

Pada seminar mengenai tulisan jawi, ramailah pembentang kertas kerja mengemukakan teori dan pandangan masing-masing dalam memperkasa tulisan jawi. Seminar berakhir dengan pelbagai rumusan.

Akhirnya rumusan ini akan hanya tersimpan dalam fail atau berhabuk dalam almari, amat jarang dilaksanakan. Setelah beberapa tempoh tertentu akan ada gegak gempa lain mengenai tulisan jawi. Sekali lagi selepas itu ia akan menyepi.

Begitulah nasib tulisan jawi yang hanya disapa sekali sekala sekadar memecah kesunyian. Justeru harapan untuk ia bersemarak seperti dahulu sukar menjadi kenyataan.

Apakah sebenarnya tulisan jawi ini memang hendak dibiarkan berkubur sendiri? Tidakkah kerajaan mahu memartabatkannya? Cukupkah sekadar menjadi penghias pada bangunan dan jabatan, papan iklan, nama jalan atau dalam ‘letter head’ masing-masing?

Pernahkah anda melihat di kedai-kedai pajak atau kedai kopi Cina, ada diserikan dengan tulisan jawi pada papan nama kedai? Tidak tersentuhkah kita jika kedai atau bangunan milik orang Melayu sendiri tidak menyelitkan walau sepatah tulisan jawi?

Mungkin juga dalam era sains dan teknologi serba moden, ramai yang beranggapan tulisan jawi sudah tidak relevan. Jika begini sikap kita, maka tidak perlu lagi untuk kita berteriak dan berseminar bagi mengukuhkan tulisan jawi. Ini kerana akhirnya teriakan dan seminar itu juga akan tenggelam bersama tenggelamnya tulisan jawi itu sendiri.

Tags / Kata Kunci: Jawi

iklan

Video

Isnin, 11 Disember 2017 9:00 AM

#BiziBody : De Fam Kantoi Gambar Selfie

Ahad, 10 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Aziz Harun - Jangan

Jumaat, 8 Disember 2017 10:55 PM

Abam Bocey Malu Manja Dengan Isteri Depan Kamera

Jumaat, 8 Disember 2017 8:15 PM

Malaysia Tak Diam Diri, Terus Bela Nasib Palestin

Jumaat, 8 Disember 2017 2:02 PM

Zarul Husin Takut Tua

Jumaat, 8 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Awi Rafael - Kau Di Hatiku

Khamis, 7 Disember 2017 8:00 PM

Nadzmi Adhwa Dikurung Selepas Kantoi Dadah

Rabu, 6 Disember 2017 2:00 PM

"Makin Ramai Nak Taja Saya" - Wany Hasrita

Kolumnis

iklan

Iklan