Mi Udang 3 Ekor Tarikan Utama Restoran MUTE

Diterbitkan: Jumaat, 13 Mei 2016 10:18 AM

Mi Udang Tiga Ekor antara menu istimewa di Restoran MUTE, Bagan Jermal di Butterworth.

(Ubah saiz teks)

MELEWATI Taman Bagan Jermal, di Butterworth, Seberang Perai Utara, Pulau Pinang, anda akan dapat menyaksikan sebuah restoran berdiri megah dengan nama yang unik, Restoran MUTE. Kedudukannya di tepi jalan utama lama Butterworth-Alor Setar, tidak jauh dari bandar yang menempatkan terminal feri ke Pulau Mutiara.

Restoran yang mula beroperasi pada 1 November lalu ini adalah lambang kejayaan Harun Osman, 61, dan isterinya, Junaidah Mohd Noor, 56, hasil kegigihan mereka merealisasikan impian membuka sebuah restoran setelah bersara daripada jawatan masing-masing.

Selama 31 tahun Harun Osman bertugas sebagai jurugambar di syarikat akhbar arus perdana, Utusan Melayu (M) Bhd. Beliau mula bertugas pada November 1975 di Johor Bahru, Johor dan bersara wajib pada Januari 2006 di Kuala Lumpur.


Beliau bertugas sebagai jurugambar untuk akhbar dan majalah-majalah terbitan Kumpulan Utusan.  Kebanyakan gambar majalah adalah untuk menghiasi majalah-majalah hiburan, termasuk gambar kulit depan (cover).  Kerana itu boleh dikatakan sebahagian artis ketika itu mengenali beliau dan tetap menjadi kawannya sehingga kini.  

Barangkali kerana banyak bergaul dengan artis, Harun juga memiliki ciri-ciri seperti artis. Antaranya kebolehan menyanyi dan menari menurut rentak dan irama lagu. Dalam pelbagai pertandingan nyanyian atau karaoke yang disertainya, beliau menampilkan kebolehan menyanyi sambil menari.

Sering kali pula beliau muncul juara dalam pertandingan atau sekurang-kurangnya  dalam senarai  tiga teratas.

Namun Harun juga mempunyai satu lagi kelebihan, iaitu kebolehan memasak. Sewaktu bekerja dahulu, beliau sering memasak dan membawa makanan ke pejabat untuk menjamu rakan-rakan. Rakan-rakan memang tahu masakan beliau enak. Ada yang membuat tempahan untuk majlis-majlis tertentu.

Selepas bersara, Harun meneruskan kerja-kerja fotografi untuk Umno Malaysia dan Parlimen sementara menunggu isterinya, Junaidah atau June, yang bekerja di syarikat yang sama, bersara.



Apabila June bersara wajib pada 2015 mereka mengambil keputusan untuk pindah ke kampung halaman Harun di Butterworth. Rumah di Kuala Lumpur didiami anak-anak dan pada waktu tertentu mereka suami isteri datang ke ibu negara. 

Bagi Harun, kembali ke kampung halaman di Jalan Mohd Saad , Bagan Jermal, bersama June yang berasal dari Kuala Kurau, Perak, memang menjadi satu impian.

Katanya, memang seronok kembali ke tempat tumpah darah, apatah lagi dikelilingi saudara mara dan rakan-rakan yang menjadikan susasana begitu menyeronokkan.

Sebagai seorang yang aktif bekerja selama lebih tiga dekad, Harun tidak boleh duduk diam tanpa membuat apa-apa kerja khusus. Lalu beliau dan isteri serta anak-anak berbincang serta merancang apakah yang terbaik boleh mereka lakukan, seterusnya boleh dijadikan sumber pendapatan yang baru. 

Biasanya apabila kita mahir dalam sesuatu bidang tertentu, kemungkinan besar kita akan menceburi bidang yang sama selepas bersara. Tetapi Harun tidak menceburi bidang fotografi yang sudah diharunginya untuk sekian lama itu. 

“Setelah isteri saya bersara pada 2015 dan kami pindah ke Butterworth, belum ada perancangan khusus untuk kami mengisi usia persaraan. Namun duduk di rumah tanpa berbuat apa-apa menimbulkan rasa bosan. Setelah berbincang dengan isteri dan anak-anak, kami  merancang untuk membuka restoran.

Herb Marinade Lamb

“Keputusan ini dibuat dengan mengambil kira kebolehan saya memasak mi kuah. Anak pula pandai masak makanan barat,” kata Harun ketika ditemui penulis di restorannya baru-baru ini sambil ditemani isterinya, June yang memang sentiasa berada di restoran tersebut bersama Harun. 

Harun memberitahu, masakan mi beliau pernah ditempah oleh Ketua Umno Bahagian Cheras, Datuk Syed Ali Alhabshee untuk menjamu orang kenamaan, termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan para pemimpin yang hadir di Rumah Terbuka Umno Bahagian Cheras di Stadium Cheras, Kuala Lumpur, suatu ketika dahulu.

Keputusan muktamad dicapai, bermulalah proses mencari lot kedai untuk dijadikan restoran. Hampir dua bulan mereka bertungkus lumus mencari, barulah akhirnya menemui sebuah lot kedai yang hendak disewakan di Taman Bagan Jermal, Butterworth, kira-kira 500 meter dari kediamannya. Proses pengubahsuaian dijalankan. Keperluan seperti kerusi meja, pinggan mangkuk, dapur dan sebagainya dibeli. 




Setelah siap segalanya maka restoran tersebut yang dinamakan ‘Restoran MUTE’ memulakan operasi pada 1 November 2015 di Lot 13-G, Jalan Kampung Gajah, Taman Bagan Jermal, dengan bermodalkan RM70,000.

Harun dan isteri serta anak-anak menjadi tulang belakang restoran ini. Beliau dan anak menjadi chef (tukang masak) sementara isterinya membuat air. Anak kedua menjadi juruwang (cashier) dan anak ketiga (perempuan) menjadi waiter. Harun juga menggaji dua pekerja tambahan.

Dua orang lagi anak Harun, iaitu yang keempat dan kelima, masih belajar dan tinggal di asrama di Kuala Lumpur. Apabila waktu cuti mereka datang membantu di restoran. Anak keempat belajar di Sekolah Menengah Agama Kuala Lumpur (SMAKL) dan kelima di Sekolah Menengah Seri Bintang Utara, Cheras. 

Pemilik restoran bersama penulis (kanan) serta isteri di hadapan premis perniagaan mereka.

Apakah pengertian MUTE yang dipilih Harun menjadi nama restorannya? Ia bukan bermakna bisu seperti maksud MUTE dalam bahasa Inggeris.

“MUTE bermaksud ‘Mi Udang Tiga Ekor’ yang merupakan menu utama di restoran ini. Mi udang disertakan tiga ekor udang berharga RM15 sepinggan. Jika pelanggan membuat permintaan agar ditambah udang, ia boleh dibuat tetapi harganya juga lebih sedikit,” kata Harun. 

Beliau memberitahu, sambutan untuk mi udang tiga ekor ini memang menggalakkan. Ia menjadi menu pilihan utama kebanyakan pelanggan selain pelbagai lagi menu lain yang enak-enak. Berkunjung ke restoran MUTE tanpa memesan mi udang bagaikan tidak lengkap kerana itulah ‘mahkota’ menu di restoran tersebut. 

“Mi udang tiga ekor dan nasi goreng Mak Udoh, sempena resipi emak saya, paling disukai ramai. Juga ada menu kuey teow Singapura dan mi goreng hailam. Bagi makanan barat yang popular pula antaranya ialah Alverta Fish n Chop, Red Devil Spaghetti, Aglio Olio, Geffen Beef Carbonara dan Prontera Seafood Carbonara,” kata Harun bercerita.  

Geffen Beef Carbonara

Bagi pesanan sampingan atau ‘side orders’ antara yang menjadi pilihan ramai ialah French Fries, Meltdown Chips, Dragon Egg, Tempura Dragon Egg dan Potato Wedges. 

Untuk minuman pula, antara yang popular ialah  Cocoa Mist, Mastela Fruit Mist selain minuman biasa seperti teh, kopi, nescafe dan lain-lain turut terdapat di dalam menu. 

Mastela Fruit Mist

Menurut Harun, dalam sehari jualan purata mereka adalah sekitar RM1,000. Beliau berharap jualan akan bertambah dengan penambahan menu yang bakal dilaksanakan secara berperingkat.

“Jika keadaan kewangan mengizinkan, saya  berhasrat membeli kerusi meja dan pinggan mangkuk tambahan menjelang bulan Ramadan nanti serta tambahan menu untuk buffet Ramadan dengan anggaran kos keseluruhan RM20,000.

“Antara menu tambahan yang saya fikir sesuai untuk berbuka puasa ialah nasi berlauk. Juga menu lain yang masih dalam perancangan,” kata Harun.

Mengenai perancangan menu untuk jangka masa panjang, beliau merancang memasukkan ikan bawal goreng panas-panas, kari steamboat dan kari ikan sembilang. Sejajar dengan itu beliau berhasrat menambah tiga lagi tukang masak dan dua orang pembantu.

Berdasarkan maklum balas pelanggan melalui Facebook Restoran MUTE, nyata mereka sangat berpuas hati dengan mutu dan rasa makanan yang disajikan serta layanan yang diberikan. Rata-rata mereka memberi pujian bahawa makanan sedap. Harun dan June pastinya gembira dengan reaksi positif yang diberikan oleh pelanggan .



“Pelanggan adalah keutamaan kami. Kami mahu mereka puas hati dengan makanan dan perkhidmatan yang disediakan. Reaksi positif mereka menjadi pendorong kepada kami untuk terus menyajikan makanan yang enak, mempelbagai menu dan memberi perkhidamatan terbaik,” kata June.

Untuk menambahkan kesegaran restoran, ia diserikan dengan hiasan sederhana tetapi menarik, seperti tin minuman lama dan juga kulit piring hitam penyanyi popular di era Harun menjadi jurugambar. Kesemuanya nampak menarik menghiasi dinding batu-bata merah.

Bagi para pelanggan Islam, tidak perlu bimbang jika masuk waktu solat ketika berada di restoran MUTE. Ini kerana kemudahan surau juga disediakan.

“Saya bersyukur kepada Allah kerana cita-cita hendak membuka restoran sudah menjadi kenyataan. Semoga ia akan terus berjaya dan popular di kalangan pelanggan,” kata Harun.

“Kami berharap orang ramai akan memberi sokongan. Kami mengalu-alukan pandangan ramai demi memperbaki lagi mutu perkhidmatan dan menu makanan kami,” kata June pula.

Harun memberitahu, Restoran MUTE juga sedia menerima tempahan bagi majlis-majlis  tertentu. Kepada mereka yang ingin membuat tempahan bolehlah menghubungi talian 04-3134128 atau telefon bimbit Chef 013-5771000.

Dan jika anda ingin merasai mi udang dan nasi goreng Mak Udoh yang enak, serta makanan barat yang menyelerakan, berkunjunglah ke restoran MUTE. Makanan enak dan layanan mesra sedia menanti anda.

Tags / Kata Kunci: Restoran MUTE , Bagan Jermal , Harun Osman

iklan

Video

Selasa, 12 Disember 2017 8:30 AM

Isteri Pertama Kena Kuat, Tak Boleh Lemah - Elizad

Isnin, 11 Disember 2017 9:00 AM

#BiziBody : De Fam Kantoi Gambar Selfie

Ahad, 10 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Aziz Harun - Jangan

Jumaat, 8 Disember 2017 10:55 PM

Abam Bocey Malu Manja Dengan Isteri Depan Kamera

Jumaat, 8 Disember 2017 8:15 PM

Malaysia Tak Diam Diri, Terus Bela Nasib Palestin

Jumaat, 8 Disember 2017 2:02 PM

Zarul Husin Takut Tua

Jumaat, 8 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Awi Rafael - Kau Di Hatiku

Khamis, 7 Disember 2017 8:00 PM

Nadzmi Adhwa Dikurung Selepas Kantoi Dadah

Kolumnis

iklan

Iklan