"Rida, Mara Darah Daging Saya" - Tan Sri Arshad Ayub

Diterbitkan: Selasa, 10 Mei 2016 4:11 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: "Walaupun usia saya hampir 88 tahun, saya masih lagi cari jalan bagaimana hendak berkhidmat untuk negara."

Kenyataan ini seharusnya menjentik semangat generasi muda khususnya supaya menanam tekad untuk menyumbang dalam kemahiran masing-masing kepada pembangunan negara. 

Lanjut usia nampaknya tidak sedikit pun menjadi batu penghalang untuk tokoh ini terus menabur bakti meskipun beliau sebenarnya tidak perlu lagi mencari rezeki seperti tatkala usia mudanya.

Malah tokoh ini turut diberi kepercayaan menyandang beberapa jawatan di samping menjadi anggota lembaga pengarah beberapa buah organisasi. 

Tokoh yang dimaksudkan itu ialah Tan Sri Arshad Ayub. 

Antara jawatan yang disandangnya ialah Pro Canselor UiTM sejak 31 Mac 2000, Canselor Kolej Antarabangsa Kejururawatan dan Sains Kesihatan KPJ sejak Ogos 2011, Canselor Universiti Antarabangsa Inti sejak 3 Julai, 2013 dan Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Malaya.

Dalam wawancara hampir dua jam di premis miliknya, ZA Studio di Sungai Pencala, penulis kagum dengan daya ingatan beliau yang masih tajam, antaranya mampu mengingati nama-nama individu yang seangkatan semasa bersekolah atau bekerja. 

Arshad, anak kelahiran Parit Keruma, Muar, Johor ini mempunyai tempoh perkhidmatan lebih 30 tahun dengan pelbagai agensi kerajaan serta kementerian. 

Namun Rida/Mara dan ITM/UiTM begitu dekat di hati Arshad, sehingga beliau menganggap organisasi itu sebagai "darah dagingnya." 

 

Bagi Arshad yang dinobat sebagai Tokoh Rida/Mara pada tahun 2000, tiada kebanggaan lebih tinggi daripada melihat kebangkitan bangsa Melayu menerusi bidang keusahawanan dan pendidikan yang dipelopori kedua-dua agensi itu. 

Sememangnya banyak duri dan ranjau yang telah beliau lalui, namun beliau bukan seorang yang suka mendabik dada. 

Memang banyak pencapaian besar yang dicapai sepanjang perjalanan hidupnya dari segi karier, akademik serta anugerah. 

Meskipun dilahirkan sebagai anak orang miskin, Arshad tidak menjadikan kekurangan itu sebagai penghalang untuk beliau terus berusaha demi mengubah nasib hidupnya. 

Kedudukannya hari ini dengan pelbagai gelaran serta jawatan adalah bukti nyata kejayaan hasil kesungguhan serta tekad waja itu.

LATIH ORANG KAMPUNG

Antara pengalaman paling membanggakan Arshad sewaktu berkhidmat dengan Rida ialah melatih penduduk kampung untuk meningkatkan kemahiran mereka dalam pelbagai bidang keusahawanan. 

Membangunkan kawasan luar bandar adalah sebahagian daripada agenda pembangunan negara yang menjadi teras pentadbiran kerajaan terutamanya selepas kemerdekaan. 

Ini juga selaras dengan peranan Rida untuk membangun kawasan luar bandar melalui pembangunan industri kampung.

Arshad mula berkhidmat dengan Rida pada September 1951 sebagai Penolong Pegawai Kadet Pembangunan Kampung. Ketika itu beliau berusia 23 tahun. 

Masyarakat kampung pada tahun-tahun 1950-an sudah melibatkan diri dalam pelbagai perusahaan dan bidang pertanian cuma seperti kata Arshad mereka kurang kemahiran. 

Sewaktu menyandang jawatan itu, Arshad bersama empat pegawai yang sejawatan iaitu Osman Hashim, Ghazali Jabbar, Mohd Hariri Abu Taib dan Samad Yaakub dihantar mengikuti kursus Diploma Pertanian selama tiga tahun di Kolej Pertanian Serdang.

"Pensyarah di kolej itu, Rashid Ahmad yang dikenali sebagai Pak Rashid berkata sesiapa yang hendak membangun luar bandar mesti faham pertanian. 

"Semasa cuti, dalam setahun mungkin tiga bulan kami akan keluar bekerja.

Kami melatih orang kampung, contoh, macam mana nak tanam padi. Ini termasuk penghulu dan penggawa," tambahnya. 

Sejak tahun 1950-an lagi, sudah ada usaha untuk melatih penduduk kampung dalam pelbagai industri kampung seperti pembuatan belacan, keropok, barangan tembaga, kain songket dan batik. 

"Pada permulaannya penduduk kampung cuma melakukannya secara sendiri dan mewarisi perniagaan daripada nenek moyang. Kami mahu membantu membesarkan lagi perniagaan mereka," kata Arshad.

Satu perkara yang mengagumkan Arshad ialah semangat gotong royong di kalangan penduduk kampung. 

"Mereka ringan tulang. Taklah mengharapkan kerajaan buat semua. Nak buat jalan, mereka turut bantu atas semangat gotong royong. Jalan tanah merah sahaja.

Senanglah kalau hendak berbasikal. Kita juga buat jambatan, kadang-kadang buat perigi," tambahnya. 

Sikap orang kampung itu senada dengan peranan RIDA sebagai agen perubahan melalui prinsip "Mahu Menolong Diri Sendiri" yang sentiasa ditekankan oleh pengerusi pertamanya, Datuk Onn Ja'afar.

TERUS TINGKAT PENCAPAIAN

Tamat pengajian di Kolej Pertanian Serdang pada tahun 1954, beliau ditugaskan di Melaka sebagai pegawai kemajuan negeri. 

Menurut Arshad, ketua beliau pada masa itu T.F. Otwa dan memang ramai orang putih memegang jawatan sebagai ketua sebelum negara mencapai kemerdekaan.

Pencapaian akademiknya tidak terhenti di peringkat diploma kerana pada tahun yang sama, beliau bernasib baik memperoleh biasiswa untuk melanjutkan pelajaran ke Universiti College of Wales, Aberystwyth, United Kingdom (September 1954-Jun 1958). 

Beliau mengikuti pengajian Ekonomi dan Statistik di peringkat ijazah sarjana muda sains. Sekembalinya dari Wales pada tahun 1958, Arshad bertukar jawatan daripada pegawai kemajuan negeri Rida kepada penolong ahli ekonomi. 

Ada satu pencapaian penting Rashid yang melonjakkan taraf ekonomi penoreh getah hasil penyelidikan yang dibuat dengan rakannya bernama Hafiz. 

"Orang kampung masa itu hanya tahu toreh getah dan bekukan susu getah. Kami dapati kalau susu getah diproses menjadi getah keping asap berbunga (RSS), ada nilai tambah," katanya. 

Rida yang pada masa itu di bawah Kementerian Perdagangan dan Industri kemudiannya membuka kilang getah di Gersek, Muar.  Kilang itu membeli susu getah daripada penoreh dan memprosesnya menjadi RSS. 

Langkah itu meningkatkan pendapatan penoreh antara 15 hingga 20 peratus.

TUKAR ANGIN


Apabila ada kekosongan jawatan pegawai ekonomi di Kementerian Perdagangan dan Perindustrian Pulau Pinang, Arshad terpilih untuk mengisi jawatan tersebut. 

Sebagai pelabuhan entreport (pusat tukar barang), Pulau Pinang menjadi tumpuan pedagang dari pelbagai negara termasuk Thailand, Burma, India, China dan Acheh. 

Pengalaman tiga tahun di Pulau Pinang banyak menyumbang kepada peningkatan karier beliau. Di pulau mutiara itu juga Arshad bertemu jodoh dengan isterinya Puan Sri Zaleha. 

Karier Arshad terus melonjak. Beliau kemudiannya dinaikkan pangkat sebagai penolong kanan pengawal perdagangan, Bahagian Pembangunan Perindustrian, Kementerian Perdagangan dan Perinsdustrian.

Pada September 1963, Arshad berpeluang menimba pengalaman dalam bidang pengurusan apabila dipilih mengikuti kursus di Management Development Institute (Mede) di Lausanne, Switzerland. 

Beliau adalah antara 56 orang dari 36 negara terpilih untuk mengikuti kursus Diploma Pentadbiran Perniagaan yang berlangsung dari September 1963 hingga Julai 1964. 

Sekembalinya dari Switzerland, beliau balik ke Bahagian Pembangunan Industri sebelum bertukar ke Perbendaharaan sebagai Penolong Setiausaha Kanan (Kewangan).

"Saya diberikan sebuah bilik kecil. Tak mengapa. Saya dapat pengalaman baru," katanya. 

RIDA JADI MARA


Peranan Rida disusun semula dan ditukar nama menjadi Majlis Amanah Rakyat (Mara), hasil resolusi Kongres Ekonomi Bumiputera pertama yang diadakan pada tahun 1965 di Kuala Lumpur. 

Secara rasminya, penubuhan Mara berkuatkuasa pada 1 Mac, 1966 dan ia diletakkan di bawah naungan Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah. 

Apabila Rida menjadi Mara, Arshad turut memikul amanah baru. Beliau dilantik sebagai pengetua, Kolej Perniagaan dan Pengajian Profesional Mara, Petaling Jaya.

Beliau menyandang jawatan itu selama dua tahun dari September 1965 hingga September 1967 sebelum dilantik sebagai pengarah pertama ITM untuk tempoh Oktober 1967 hingga Mac 1975. 

Tempoh hampir lapan tahun menerajui institusi pengajian tinggi menyaksikan ITM meraih pelbagai kemajuan dalam melahirkan modal insan Bumiputera sehinggakan Arshad digelar sebagai 'akitek pembangunan dan perkembangan unggul ITM. 

Bagi Arshad, secara keseluruhannya, kerajaan telah banyak menyumbang kepada pembangunan Rida/Mara. 

"Hanya terpulang kepada mereka yang melaksanakan tujuan objektif kerajaan yang telah diamanahkan. Hayati perkataan amanah. 

"Tidak ada satu badan yang namanya ada terkandung perkataan Amanah seperti Majlis Amanah Rakyat (Mara). Berilah makna kepada nama itu," tegas Arshad. 

Bagi Arshad, "benih kejayaan" Mara sebenarnya sudah disemai sejak tahun 1956 lagi sewaktu operasi Rida. 

"Ketika itu kami bukannya berkelayakan sangat tetapi kami komited dan bersungguh-sungguh untuk menjalankan tugas yang sudah diamanahkan. Kami dari dulu lagi sudah julang slogan KITA BOLEH. 

"Orang Melayu hari ini sepatutnya meraih kejayaan yang lebih cemerlang kerana banyaknya bantuan serta kemudahan yang kerajaan sediakan. Sayangnya kita tak menggunakan," katanya. 

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini menegaskan bahawa kerajaan akan terus menyokong visi MARA untuk menerajui aspirasi Melayu dan Bumiputera menjadi kuasa besar dalam bidang keusahawanan, pendidikan, pelaburan dan pemilikan ekuiti. 

Selepas 50 tahun penubuhannya, dianggarkan Mara sudah membantu lebih 4 juta Bumiputera melalui pelbagai program keusahawanan, pendidikan serta pelaburan. 

"Harapan saya untuk orang Melayu khususnya, pada suatu hari kelak kita tidak lagi perlu bergantung kepada sesiapa. Kita akan menjadi satu bangsa yang boleh berbangga boleh berdiri di atas kaki sendiri. Kita bukan bangsa yang tunggu disuap dan kita tidak lagi perlu kepada tongkat. 

"Saya juga berharap setiap rakyat Malaysia mengangkat ikrar akan menunaikan tanggungjawab dengan penuh kecemerlangan serta kesempurnaan dan tidak menyusahkan negara. 

"Kalau pun kita tidak mencapai 100 peratus tetapi 70 atau 80 peratus sudah memadai. Sekurang-kurangnya mesti ada sasaran," kata Arshad yang dinobat Tokoh Merdeka pada tahun 2014. -- Bernama 

Tags / Kata Kunci: Rida , Mara , Tan Sri Arshad Ayub , UiTM

iklan

Video

Jumaat, 20 Oktober 2017 2:30 PM

Umur Dah Lanjut Pun Nak Menyanyi Lagi?

Jumaat, 20 Oktober 2017 9:00 AM

#akuStar: Irfan Haris - Pesan

Jumaat, 20 Oktober 2017 8:30 AM

Donut Untuk Sang Hero

Khamis, 19 Oktober 2017 1:00 PM

Lebih Baik Jual Album Sendiri - Firman

Khamis, 19 Oktober 2017 9:00 AM

Tudiaaa... Fesyen Mengancam Selebriti ASK2017

Khamis, 19 Oktober 2017 8:30 AM

Keringat Wanita Waja

Rabu, 18 Oktober 2017 10:52 AM

"Saya Bukan Ustaz" - Opick

Selasa, 17 Oktober 2017 2:49 PM

Video Majlis Resepsi 'Tycoon' Air Asia Tular

Selasa, 17 Oktober 2017 2:24 PM

Sabar Kakak, Benda Boleh Bincang...

Kolumnis

iklan

Iklan