Kegagalan Bukan Pilihan

Diterbitkan: Selasa, 26 April 2016 10:39 AM

Baharom melihat peralatan untuk digunakan dalam industri minyak dan gas di premisnya.

(Ubah saiz teks)

PADA pandangan pertama, Baharom Hamzah kelihatan seperti individu yang serius dan garang. Namun tanpa disangka, beliau juga seorang yang peramah dan suka ketawa.

Pada usia 58 tahun, pengasas syarikat pengeluaran pin pintar (tolok pemeriksaan saluran paip), Romstar berada pada tahap kesihatan yang baik.

Pelabur sentiasa mengintai peluang untuk melabur dan syarikat beliau baru mengumumkan bonus buat kali pertama.

"Kini segalanya waktu yang indah. Tetapi tiga tahun pertama merupakan tempoh paling getir," kata Baharom sambil menghirup kopi ais buatan Vietnam di pejabat Romstar sambil melayan lagu kumpulan kegemarannya, Eagles.

Anak kelahiran Pahang dan membesar di Johor kerana mengikuti bapanya yang bertugas di sana, telah mempelajari erti kesusahan yang sebenar dan mampu berdiri teguh seperti hari ini.

Segalanya tentang cara untuk terus bertahan, kata Baharom.

Baharom Hamzah

Ketika ini, Romstar merupakan pengeluar utama pin pintar di Malaysia. Pin itu digunakan untuk memeriksa saluran paip gas dan minyak bagi mengesan kakisan atau kerosakan akibat tindak balas kimia.

Kini Baharom memasang impian untuk mengembangkan perniagaannya ke peringkat serantau.

Ada satu ketika, sektor minyak dan gas tidak mempedulikan perancangannya. Ketika muda, Baharom mengambil diploma dalam bidang pertanian dan menghabiskan masa selama beberapa tahun bekerja di ladang. Kemudian beliau mengambil keputusan untuk menyambung pelajaran dalam bidang perniagaan. Selepas memiliki ijazah sarjana, Baharom bekerja di beberapa buah syarikat minyak dan gas.

Romstar ditubuhkan pada 1997 sebagai ejen perdagangan untuk perkhidmatan dan peralatan bidang minyak dan gas. Pada mulanya, syarikat itu bermula dengan skala kecil dan tidak diuruskan sepenuh masa kerana Baharom masih bekerja dengan syarikat lain.

Kemudian Romstar mula dipinggirkan kerana Baharom ditawarkan jawatan pengarah urusan dalam unit pemeriksaan saluran paip tempatan milik syarikat General Electric, GE PII pada tahun 2000. Sepanjang tempoh lima tahun di firma tersebut, Baharom belajar banyak perkara tentang teknologi, pasaran dan masalah yang dihadapi dalam industri pemeriksaan saluran paip.

Ketika itu, terdapat dua syarikat utama perkhidmatan dan peralatan saluran paip iaitu GE dan Rosen Group.

Satu perkara yang disedari oleh Baharom adalah stok peralatan dalam pasaran tempatan merupakan satu cabaran besar.

“Kami perlu membawa masuk peralatan dari Eropah apabila mendapat tugasan. Jadi apabila syarikat mendapat kontrak pemeriksaan saluran paip, kami perlu menempah peralatan berkenaan dan terpaksa menunggu antara tiga hingga enam bulan untuk mendapatkannya. Kami memiliki pekerja, tetapi tiada peralatan,” jelasnya.

Apabila beliau meninggalkan GE pada 2005, Baharom mengambil keputusan untuk menukar asas perniagaan Romstar daripada syarikat perdagangan menjadi penyedia perkhidmatan selepas mendapati kekurangan dalam pasaran saluran paip dan gas dan bersedia mengisi kekosongan tersebut.

“Apabila wujud satu masalah, saya mengambil keputusan untuk menukar masalah itu kepada peluang,” katanya.

Apa yang dilakukannya kelihatan sangat mudah. Pinjam sebanyak RM15 juta untuk membeli 20 unit pemeriksaan pin dan bertemu dengan klien untuk menawarkan perkhidmatan dan peralatannya.

Hasilnya, tidaklah semudah yang disangka.

Terdapat kira-kira 15 syarikat di dunia ini yang membuat peralatan itu dan tiada satu pun mahu menjual produk mereka kepada syarikat yang tidak dikenali seperti Romstar. Namun Baharom bertuah kerana sebuah syarikat di Jerman sedia berurusan dengannya.

Bagaimanapun apabila dua unit pertama pin pemeriksaan tiba, beliau mendapat tahu peralatan itu tidak memenuhi syarat teknikal.

Baharom kemudiannya membatalkan kontrak tersebut dan mencari pembekal lain. Kali ini, beliau mendapatkan bekalan dari Asia Barat. Dengan kos antara RM6 hingga RM7 juta, Romstar akan mendapat bekalan peralatan dan lakaran untuk reka bentuk peralatan itu.

Namun Baharom berkata, hanya peralatan sahaja yang diterima tetapi lakaran reka bentuk tersebut tidak pernah dihantar.

Malah setahun kemudian, syarikat pembekal itu memaklumkan kos tambahan sebanyak RM6 juta untuk menampung kos mengemaskini perisian terbaharu peralatan tersebut.

“Kami tidak mempunyai dana untuk berbuat demikian.

“Namun Romstar masih mempunyai kontrak di bawah program vendor dengan Petronas. Saya berasa sungguh tertekan sehinggalah saya mengambil keputusan untuk mencari pihak yang boleh membina peralatan itu untuk kami,” katanya.

Baharam menemukan seorang lelaki di India. Kos yang perlu ditanggung tidak murah tetapi Baharom tidak mempunyai pilihan lain selain mengambil risiko tersebut.

Beliau menjelaskan kepada lelaki terbabit tentang peralatan yang diperlukannya dan pasukan kejuruteraan beliau di Romstar yang terdiri daripada golongan ekspatriat bergaji tinggi untuk menyumbang tenaga membina pin pemeriksaan dari awal. Situasi tersebut berlaku pada 2007.

Pada masa yang sama, Baharom melakukan apa yang termampu untuk mendapatkan peralatan daripada syarikat sokongan minyak dan gas bagi memastikan kontraknya dengan Petronas terjamin.

Tempoh setahun setengah berikutnya merupakan waktu percubaan.

Kakitangan Romstar

“Pada awalnya, saya berasa yakin dengan perniagaan ini. Namun segalanya tidak menjadi. Sudah pasti perniagaan ini mengalami detik-detik yang begitu sukar.

“Kami tidak pernah merancang untuk membangunkan peralatan sendiri. Kami hanya fikir untuk membeli peralatan tersebut bagi memenuhi syarat kontrak. Kemudian kami tidak mempunyai pilihan selain membangunkan peralatan sendiri,” jelasnya.

“Tindakan itu merupakan cara menyelamatkan Romstar. Saya tidak mahu gagal. Saya perlu buktikan pada diri sendiri dan orang lain bahawa saya mampu melakukannya. Apabila saya kata perkara itu boleh dilakukan, saya pasti akan mencubanya. Saya tidak boleh menempa kegagalan,” ujarnya.

Dana untuk menampung impiannya itu sangat terhad dan di sebalik tekanan dan kesusahan, beliau menanggung beban itu bersendirian. Baharom berkata, hanya perkara baik sahaja yang perlu dikongsi.

Berkat kegigihan beliau, usaha syarikatnya iu membuahkan hasil. Pada 2010, Romstar menghasilkan teknologi dan perisian mereka sendiri. Teknologi itu merupakan 100 peratus direka dan dibangunan di Malaysia.

Kemudian Romstar membangunkan pin pintar yang mempunyai pelbagai jenis ukuran diameter bagi memenuhi keperluan klien. Buat masa ini, Romstar memiliki kira-kira 35 peralatan dengan saiz sehinggi 24 inci. Baharom berharap jumlah itu akan ditambah dua kali ganda dalam tempoh terdekat. Beliau juga mula mengambil bakat-bakat tempatan untuk menyertai pasukan kejuruteraan Romstar. Baginya, jurutera tempatan juga berbakat kerana mereka mampu membantu dan menyumbang kepada pembangunan teknologi syarikat.

Ketika ini,Romstar memiliki kira-kira 90 pekerja dan 60 daripadanya adalah jurutera.

Syarikat itu juga menerima projek dari negara luar termasuk Indonesia, China, Iran dan Thailand. Tahun lalu, kontrak dari luar negara menjana pendapatan sebanyak RM25 juta. Bagi tahun 2016, Baharom mensasarkan pendapatan RM35 juta.

“Saya berbangga dengan syarikat ini dan saya tahu lebih banyak lagi kejutan akan datang. Ramai orang menghargai usaha kami sebagai rakyat Malaysia yang mampu menghasilkan teknologi ini dan kita boleh melakukannya,” ujar Baharom.

Romstar semakin berkembang perlahan-lahan sejak Baharom menukar teras perniagaan pada 2005 dan tanpa rasa putus asa, usahawan itu memerah segala kudrat dan keringat untuk mencapai pertumbuhan yang lebih baik. Hasil usahanya itu ternyata berbaloi apabila Romstar menerima pelabur baharu.

Namun Baharom berkata beliau segala usahanya itu dinikmati terlebih dahulu. Baginya, segala wang yang diperolehi bukan milik kita selagi tidak menggunakannya.

Adakah beliau bmbang dengan kejatuhan industri minyak dan gas? Tidak sebenarnya. Saluran paip sudah terbentang dan peralatan itu perlu diselenggara.

“Apa yang penting, kita perlu menyesuaikan diri dengan situasi,” katanya.

Tags / Kata Kunci: Romstar , Petronas , Pin , Minyak dan Gas

iklan

Video

Rabu, 13 Disember 2017 9:00 AM

Jadi Pilihan Pekin Ibrahim, Siapa Donny Alamsyah?

Selasa, 12 Disember 2017 5:41 PM

Jom Lepak Tempat 'Best' Tapi Percuma

Selasa, 12 Disember 2017 8:30 AM

Isteri Pertama Kena Kuat, Tak Boleh Lemah - Elizad

Isnin, 11 Disember 2017 9:00 AM

#BiziBody : De Fam Kantoi Gambar Selfie

Ahad, 10 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Aziz Harun - Jangan

Jumaat, 8 Disember 2017 8:15 PM

Malaysia Tak Diam Diri, Terus Bela Nasib Palestin

Jumaat, 8 Disember 2017 2:02 PM

Zarul Husin Takut Tua

Kolumnis

iklan

Iklan