Batu Nisan Bukti Perkuburan Berusia 200 Tahun

Diterbitkan: Rabu, 20 April 2016 9:46 AM

(Ubah saiz teks)

KERJA-KERJA pembinaan projek Sungai Nadi Kita (RoL) di sekitar masjid tertua di Kuala Lumpur, Masjid Jamek membongkar penemuan berpuluh-puluh batu nisan yang dipercayai berasal dari awal kurun ke-18.

Setakat ini, lebih 45 batu nisan yang kebanyakannya diperbuat daripada batu granit selain marmar dan batu pasir berusia hampir 200 tahun, ditemukan tertanam berdekatan kawasan pembinaan sejak Disember 2015 sehingga Mac lalu.

Difahamkan, pasukan pemuliharaan projek RoL telah memaklumkan kepada pekerja yang terlibat dalam pembinaan air pancut supaya peka terhadap lebih banyak artifak berharga yang ditemui.

Kawasan penemuan itu yang terletak di lokasi pembinaan merupakan tanah perkuburan Islam yang berusia kira-kira dua kurun lalu.

Batu nisan yang ditemukan telah ditanda dan disimpan untuk kajian lanjut. Namun tidak dapat dipastikan pihak mana yang akan bertanggungjawab untuk melakukan kajian terhadap batu nisan itu.

Tapak Warisan Negara

Kawasan Masjid Jamek dan sekitarnya diisytiharkan sebagai tapak Warisan Negara oleh Jawatankuasa Warisan Negara (JWN).

Kontraktor yang terlibat dengan projek pembinaan di kawasan itu diingatkan supaya memaklumkan tentang sebarang penemuan artifak kepada JWN mengikut Akta Warisan Negara 2005.

"Penemuan batu nisan itu sangat menarik," kata ketua pengurusan Masjid Jamek, Mohd Faisal Tan Mutalib.

"Pengetahuan tentang sejarah di kawasan itu sangat terhad, tetapi kami sedar kewujudan tanah perkuburan Islam yang berusia awal kurun ke-18," katanya.

"Tanah perkuburan itu dialihkan ke Jalan Ampang secara berperingkat antara awal tahun 1900-an sehingga lewat tahun 1970-an," ujarnya.

Kami menjangkakan saki-baki tanah perkuburan akan ditemui pada bila-bila masa terutamanya selepas projek RoL bermula," tambah Mohd Faisal.

"Untuk mengetahui usia batu nisan itu, beberapa tulisan yang mudah dibaca berasal dari kurun ke-18 merupakan penemuan yang menarik," katanya.

Masjid Jamek yang berusia 108 tahun kini sedang dinaiktaraf berdasarkan sebahagian daripada projek RoL yang menelan kos RM4 bilion.

Fasa satu yang bermula pada 2012 melibatkan bahagian dalaman dan luaran masjid manakala fasa dua melibatkan kerja-kerja landskap.

Masjid Jamek yang terletak di bawah Presint 7, satu daripada 11 Presint yang melibatkan lingkungan jarak projek RoL seluas 10.7 kilometer dan sedang dibangunkan menjadi sebuah esplanad berdekatan sungai.

Perlu direkodkan

Mohd Faisal berkata, kira-kira lebih 100 tahun dahulu, kawasan di sekitar Masjid Jamek dipanggil sebagai Kampung Rawa.

"Kampung itu terletak antara Jalan Jawa (kini Jalan Tun Perak) dan Jalan Melayu.

Kawasan itu kini meliputi restoran Burger King, 7-Eleven dan stesen LRT Masjid Jamek.

Kawasan tersebut juga merupakan tanah perkuburan Islam rasmi pertama di Kuala Lumpur.

Semasa lewat tahun 1800-an, pertembungan Sungai Klang dan Sungai Gombak menjadi pusat aktiviti komersial.

Masyarakat yang tinggal di situ kebanyakannya etnik Melayu dari Rawa, Mendaling, Minangkabau, Jawa dan Bugis yang membentuk kawasan penempatan pertama di Kuala Lumpur dengan menjadikan kerja perlombongan timah bagi menyara kehidupan.

"Ketika itu, apabila berlaku kematian, jenazah mereka akan dikebumikan di depan rumah. Maka tidak hairan jika batu nisan lama ditemukan di kawasan ini.

"Ada batu nisan yang indah dan cantik.

"Penemuan ini perlu direkodkan," kata Mohd Faisal.

"Pada masa itu, pedagang Aceh akan mengembara dengan membawa batu nisan bersama.

"Sesetengah batu nisan mempunyai reka bentuk yang unik dan perlu dikaji," jelasnya.

Faisal menambah, penduduk awal Melayu tinggal di kawasan utara di Sungai Klang manakala penduduk China mendiami bahagian selatan.

Seorang perunding yang bekerjasama dengan Ekovest Bhd, yang dilantik sebagai rakan perundingan projek RoL, berkata, "Mereka menemukan sejumlah artifak dari tapak projek sejak hujung tahun lalu. Pada awalnya mangkuk seramik yang pecah, gelas, botol dan tembikar," katanya.

"Kumpulan batu nisan pertama dijumpai beberapa hari sebelum Disember berakhir.

"Sesetengah daripadanya mempunyai banyak hiasan manakala yang lain mempunyai tulisan Jawi," jelasnya.

Satu daripada batu nisan terbabit mempunyai ciri-ciri etnik Aceh berdasarkan bentuk teratak di bahagian atas batu itu.

Perunding berkenaan berkata, pada tahun 2013, pekerja kontraktor di tapak tersebut menemukan tangga lama bersambung dengan Masjid Jamek yang dipercayai telah dilupakan.

Tangga itu merupakan sebahagian daripada reka bentuk masjid yang berusia lebih 100 tahun lalu.

Ketelusan diperlukan

Sementara itu, kumpulan pemuliharaan meminta ketelusan berhubung penemuan tersebut memandangkan batu nisan terbabit merupakan kepentingan umum dan orang ramai perlu tahu tentang kewujudannya.

"Generasi kini mempunyai hak untuk mengetahui tentang penemuan tersebut dan mereka perlu diberitahu," kata Pengerusi Majlis Antarabangsa Tapak dan Monumen (Icomos) Malaysua, Datuk Hajeedar Majid.

"Beberapa maklumat yang terdapat pada batu nisan itu mudah dibaca termasuk tarikh dan nama selain tarikh kelahiran dan kematian. Orang ramai perlu dimaklumkan tentang ini," tambahnya.

Hajeedar yang juga merupakan Pengerusi Majlis Warisan Negara, menggesa pihak yang terlibat dengan projek itu supaya melaporkan dan menyerahkan semua artifak kepada JWN, entiti yang mempunyai kuasa untuk melakukan kajian lanjut.

Pegawai Pusat Kajian Arkeologi Global dari Universiti Sains Malaysia, Shaiful Idzwan Shahidan berkata, penemuan tersebut menunjukkan bukti terhadap kewujudan penempatan awal orang Melayu di Kuala Lumpur.

"Penemuan ini perlu direkodkan dan dikaji lebih lanjut. Kami menggesa kumpulan pemuliharaan dan kerajaan untuk bekerjasama bagi mencari mengorek sejarah batu nisan itu," katanya.

"Kita tidak tahu apa lagi yang bakal ditemukan di kawasan itu dan perkara ini menjadi semakin menarik," jelasnya.

Pakar warisan dan penulis, Abdur-Razzaq Lubis, yang menulis buku bertajuk Sutan Puasa: Pengasas Kuala Lumpur 1800-an-1908, berkata, penemuan tersebut merupakan pengetahuan asas memandangkan kawasan Masjid Jamek sebelum ini adalah tanah perkuburan Islam.

"Pembinaan perlu dihentikan. Kes ini menyamai seperti di Eropah di mana nilai warisan akan dilindungi.

"Pihak berkuasa yang sewajarnya, JWN dan Icomos perlu mengambil perhatian segera," katanya.

"Terdapat peruntukan undang-undang yang melindungi artifak, sejarah dan tapak warisan.

"Masjid Jamek merupakan tempat bersejarah dan suci, selain perlu dijaga dengan penuh hormat," tambah Lubis.

"Kuala Lumpur kehilangan banyak khazanah lama yang berharga. Ini mungkin peninggalan yang terakhir dan kita perlu melindunginya," kata beliau.

iklan

Video

Jumaat, 24 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Harry - Abang Lori Tenonenonet

Khamis, 23 November 2017 11:18 PM

Fazura Sah Tunangan Fattah Amin

Khamis, 23 November 2017 7:36 PM

Alahai KTM! Bila Isu Tren Tergelincir Nak Selesai?

Khamis, 23 November 2017 4:00 PM

Tatang Bagai Puteri, Tapi Ini Jadinya - Harris Baba

Khamis, 23 November 2017 3:45 PM

Tak Perlu 'FB Live' Anak Berjaya UPSR - Prof Muhaya

Khamis, 23 November 2017 2:32 PM

Bayar 'Ciput', Lepak Sampai Puas

Khamis, 23 November 2017 9:00 AM

Lagu Tak Layak, Ayda Jebat Sekadar Nak Tahu Punca

Rabu, 22 November 2017 7:00 PM

"Saya Sedih, Kecewa Dengan Nabil" - Chef Wan

Selasa, 21 November 2017 9:00 AM

Kenali Siapa Penyanyi Lagu 'Bismillah'

Kolumnis

iklan

Iklan