Jangan Abaikan Pewaris Negara

Diterbitkan: Isnin, 21 Mac 2016 5:23 PM

Belia adalah golongan harapan negara.

(Ubah saiz teks)

DR YUSUF Al-Qardhawi pernah mengatakan "Apabila kita hendak melihat wajah negara pada masa hadapan, lihatlah generasi mudanya pada hari ini. Sekiranya golongan muda pada hari ini adalah daripada kalangan yang berakhlak dan berhemah tinggi, tentunya negara kita pada masa hadapan menjadi sebuah negara yang aman makmur tetapi jika keadaan adalah sebaliknya, maka bersedialah untuk berhadapan dengan kemungkinan buruk yang akan berlaku."

Namun begitu, apa yang dapat kita lihat dalam suasana semasa, dalam arus kemodenan dan kemajuan ini, golongan belia menghadapi cabaran sangat hebat. Golongan ini bukan sahaja terdedah kepada perkara-perkara yang tidak sihat seperti budaya Hedonisme iaitu yang suka berfoya-foya dan berhibur secara keterlaluan dan melalaikan, bahkan mereka sering kali dikaitkan dengan kegiatan penagihan dadah, seks bebas, keganasan, jenayah, ragut dan lumba haram.

Menurut laporan yang dikeluarkan oleh Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), sebanyak 1.2 juta penagih dadah berdaftar dan tidak berdaftar di seluruh negara tahun lalu sahaja. Ironinya jumlah itu menunjukkan peningkatan sebanyak 22.15 peratus berbanding 2014 dan meningkat secara konsisten sejak 2010.

Lebih menyedihkan tahun lalu sahaja seramai 15,128 penagih terdiri daripada golongan belia yang berusia antara 19 hingga 39 tahun. Apa yang membimbangkan ialah terdapat trend peningkatan golongan penagih muda terdiri daripada usia 13 tahun ke bawah yang mana pada tahun lalu seramai 557 orang dikesan terlibat.

Mungkin pada hari ini, jumlah ini sudah bertambah. Apakah punca permasalahan ini terus berlaku? Menurut Dr Syed Muhammad Naquib Al Attas, permasalahan golongan ini antaranya berpunca dari kekeliruan yang mereka hadapi dalam mencerna faham ilmu yang mereka ada dan pastinya, kehilangan adab dalam norma masyarakat.

Persoalan yang timbul sekarang, bagaimana untuk mempersiapkan golongan belia ini bagi persediaan memartabatkan dan memperkasakan diri mereka menjadi pewaris negara pada masa akan datang?

Jika dimbas semasa zaman kegemilangan tamadun Islam, antara tokoh belia yang perlu dicontohi ialah Usama Bin Zaid yang ketika itu berusia 18 tahun telah menjadi panglima perang untuk menentang kerajaan Rom di Syam.

Begitu juga semasa perkembangan Islam di Mekah sehingga berkembang ke Madinah, golongan muda seperti Saidina Ali Ibni Abi Talib, Saidina Osman Ibni Affan, Abdul Rahman bin Auf dan ramai lagi para sahabat nabi yang ketika itu menjadi pelopor kepada kebangkitan dan menjadi penggerak dan sentiasa berjuang berdasarkan prinsip agama dan negara yang mereka dukung. Kebanyakan mereka pada ketika itu, berusia 40 tahun ke bawah.

Melihat kepada suasana semasa, bagaimana sejarah lampau ini dapat diulangi semula, jika sebahagian besar golongan belia tidak mempunyai kesedaran untuk memajukan diri dan negara?

Mengapa semua ini berlaku? Apakah remaja kita begitu mudah terpengaruh dengan unsur-unsur negatif? Apa yang bakal terjadi kepada remaja-remaja kita? Kemanakah hala tuju negara? Mampukah belia-belia harapan bangsa ini menggalas aspirasi negara pada masa hadapan? Mampukah kita terus mempertahankan kemerdekaan yang telah diperjuangkan dengan titisan darah pahlawan-pahlawan terdahulu? Berjayakah kita mencapai wawasan 2020 yang telah kita impikan untuk sekian lama?

Semua ini mampu kita jawab dengan satu keyakinan iaitu hanya belia yang mempunyai ketahanan diri yang kuat sahaja mampu menangkis segala cabaran dan rintangan yang mendatangi mereka. Tanpa ketahanan diri yang jitu, mungkin belia akan hanyut dalam arus globalisasi yang begitu menyesakkan ini.

Adalah amat penting untuk mempersiapkan belia negara dengan ketahanan diri yang kukuh. Belia harus mengalami anjakan paradigma dengan pemupukan ciri-ciri yang mampu memperkuatkan daya tahan mereka.

Jati diri yang kuat dan kukuh mampu membantu belia membina benteng pertahanan diri daripada pelbagai unsur yang tidak sihat. Ketahanan diri yang jitu juga diyakini mampu membuat belia bingkas bangkit melawan kesukaran atau kepayahan yang mereka alami sepanjang menempuhi alam remaja yang begitu mencabar.

Sedari ataupun tidak, kualiti ketahanan diri telah sedia wujud dalam kalangan rakyat negara ini melalui sejarah yang telah dibuktikan. Sehubungan itu, dalam usaha mencapai matlamat belia sebagai cermin masa hadapan negara, maka golongan belia ini perlu meletakkan diri mereka sebagai penggerak dan pembina tamadun yang unggul, yang dihormati oleh masyarakat dunia.

Justeru itu, bukan sekadar belia yang perlu memikirkan masa depan negara tetapi setiap dari kita perlu proaktif agar dapat menghasilkan kesedaran. Bak kata pepatah "Menyesal dahulu pendapatan, menyesal kemudian tidak berguna." Nama baik dan keperibadian yang tinggi perlu dijaga untuk jaminan masa depan. Jika persediaan ini disempurnakan dengan baik dan rapi.

Penyair Arab pernah menyatakan;

Sesungguhnya keutuhan umat itu,

terletak pada keutuhan akhlaknya,

Apabila akhlak hilang,

maka lenyaplah bangsa itu.

Oleh itu, golongan belia hari ini perlu menunaikan tanggungjawab dan kewajipan yang boleh menjamin masa depan negara terus kekal cemerlang. Bangkitlah wahai belia negara, anda adalah tiang negara, tanpa anda maka robohlah negara tercinta ini.

> Penulis adalah Pengarah Institut Pemikiran Tun Dr Mahathir, UUM


iklan

Video

Selasa, 21 November 2017 5:42 PM

Apa Terjadi Dengan Wartawan mStar?

Selasa, 21 November 2017 2:13 PM

Selepas Setahun Amira Othman 'Tidur'

Selasa, 21 November 2017 9:00 AM

Kenali Siapa Penyanyi Lagu 'Bismillah'

Isnin, 20 November 2017 7:37 PM

Pakatan Dalam Misteri - Tun M

Isnin, 20 November 2017 2:30 PM

Karier Tak Rosak - Fezrul khan

Isnin, 20 November 2017 9:00 AM

#BiziBody: Nabila Razali Simpan Foto Aedy Ashraf?

Ahad, 19 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Cikgu Meera - Oh Sayangku

Jumaat, 17 November 2017 4:25 PM

Tokan Kantoi Bungkus Dadah Dalam Plastik Teh

Jumaat, 17 November 2017 2:00 PM

Pesawat Dedah Punca Menyepi

Jumaat, 17 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Hyper Act - Kasih

Kolumnis

iklan

Iklan