Teruja Terbang Tinggi Dengan Belon Udara

Diterbitkan: Isnin, 14 Mac 2016 2:09 PM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Jam menunjukkan ke angka 6.15 pagi dan sekumpulan juru mudi bersama beberapa petugas sibuk mengeluarkan tiga biji belon udara panas beserta kelengkapannya dari treler dan trak sebagai persediaan untuk 'terbang'.

Saiznya yang besar beserta kelengkapan lain nampak sangat berat tetapi bagi tiga juru mudi berpengalaman dan petugas yang terlibat, mereka memerlukan kurang 45 minit sahaja untuk menegakkan tiga biji belon udara yang seberat 20-30 kilogram dan sedia untuk 'berlepas'.

Jangan bimbang, cuaca cantik dan tenang dan anda selamat," ("Dont worry, the weather is beautiful and calm and you are in safe hands, kata seorang daripada juru mudi atau 'pilot' di situ, Kapten Filip Audenaert.

Nada suaranya yang tenang dan bersahaja, pergerakan serta air mukanya yang meyakinkan sangat membantu meredakan perasaan teruja bercampur gementar lebih 12 penumpang yang kebanyakannya baru pertama kali bakal menaiki belon udara panas.

Pagi yang tenang dan nyaman itu bertempat di satu kawasan lapang berhampiran Monumen Putrajaya di Putrajaya, MyBalloonAdventure, syarikat yang mengendalikan belon udara tersebut membuat pelancaran belon udaranya.

Ia lokasi yang sama setiap kali Fiesta Belon Udara Antarabangsa Putrajayadianjurkan setiap tahun.

Kebolehan juru mudinya juga tidak perlu dipertikaikan. Audenaert misalnya sudah 20 tahun berpengalaman menaikkan belon udara panas dan mempunyai pengalaman beribu-ribu jam mengendalikan belon udara panas. Beliau juga adalah pengasas dan pemilik Filva Ballonvaarten di Belgium.

Begitu juga dengan dua lagi juru mudi berpengalaman Jonas dari Belgium dan Sobri Saad. Sobri anak kelahiran Kedah, yang juga Ketua Pegawai Eksekutif di MyBalloonAdventure, turut memiliki pengalaman lebih 15 tahun dalam industri itu.

"Cuaca memainkan peranan yang sangat besar dalam memastikan belon udara dapat terbang dengan baik. Setiap penerbangan memberikan pengalaman yang berbeza dan situasi itulah yang membuatkan juru mudi lebih teruja menjayakan setiap penerbangan mereka.

"Selain cekap mengendalikan belon udara panas, juru mudi juga perlu mempunyai kepakaran melihat keadaan cuaca seperti bentuk awan, kelajuan angin dan sebagainya," jelas Sobri.

Belon udara panas juga tidak akan dinaikkan jika angin bertiup terlalu pantas melebihi 15 knot, hujan dan cuaca yang sangat panas.

RIADAH PELANCONGAN

Bagi yang memiliki bajet apa salahnya cuba merasai pengalaman manis terbang tinggi seperti burung sambil menikmati keindahan matahari terbit dan panorama yang saujana mata memandang. Sungguhpun berada di dalam gondola (raga yang menempatkan penumpang), namun berada di udara secara terbuka tentunya satu pengalaman yang menarik.

Pakej yang bermula dengan RM850 ini lengkap dengan sajian makan untuk berdua sebelum dan selepas hampir 45 minit-1 jam di udara.

Buat pengusaha atau peminat belon udara panas, ada yang mengkategorikan aktiviti belon udara panas atau belon helium ini sebagai satu hobi dan ada pula yang mengkelaskannya sebagai satu riadah.

Tetapi buat pengunjung atau pelancong, lebih tepat ia dikatakan sebagai riadah pelancongan kerana aktiviti itu menguji daya tahan dan kelasakan diri seseorang. Ia mengundang rasa gementar dan teruja yang akan memberi satu kepuasan selepas mencabar diri untuk mencubanya.

Setelah berada di udara, mereka dihadiahi pemandangan yang indah lagi mengkagumkan. Selain keindahan Putrajaya dan tasiknya, jika bernasib baik dengan cuaca, mungkin dapat melihat KLCC, Menara Kuala Lumpur dan Tanah Tinggi Genting.

Pengalaman terbang setinggi 500 kaki (ketinggian maksimum belon udara panas) secara terbuka sambil merasai tiupan angin membelai wajah membuatkan model terkenal Amber Chia berasa sangat teruja. Apatah lagi berpeluang menyaksikan keindahan matahari terbit di negara sendiri.

"Saya memang teringin nak naik belon udara panas semasa saya di Adelaide, Australia dahulu. Saya juga seorang pengembara, dan pernah melakukan 'skydiving', memanjat batu dan menaiki belon udara panas adalah senarai teratas saya.

"Akhirnya, saya dapat melakukannya dengan MyBalloonAdventure, anda tidak perlu pergi jauh untuk mengalaminya, malahan saya dapat berkongsi pagi hari dengan anak lelaki di udara. Siapa yang tak nak merebut peluang ini," kongsinya ceria dan puas.

JURUMUDI WANITA

Memiliki lesen FAA( FAA-Certificate) untuk mengendalikan belon udara panas, dua beradik Izzati Khairuddin, 29, dan adiknya Atiqah Khairuddin, 27, adalah dua individu yang bertanggungjawab dan terlibat secara langsung dalam bisnes belon udara.

Kedua-duanya meneruskan legasi si ayah, arwah Kapten Khairuddin yang telah memperkenal dan membawa masuk ke negara ini belon udara panas menerusi syarikat mereka AKA Ballon yang saban tahun menganjurkan Fiesta Belon Udara Panas di Putrajaya.

Kini dua beradik ini mengembangkan lagi sayap mereka dengan MyBalloonAdventure bagi memenuhi permintaan secara individu dan orang ramai yang tidak berkesempatan mencuba belon udara panas ketika pesta diadakan. Ini memandangkan AKA Balloon lebih kepada memenuhi permintaan syarikat-syarikat korporat dan acara.

Bukan sahaja gigih meneruskan legasi si ayah, lebih membanggakan, Atiqah dan Izzati juga adalah juru mudi belon udara panas wanita yang pertama di negara ini.

Memandangkan bapa juru mudi pertama belon udara panas di negara ini, tidak menjadi masalah kami mempelajarinya daripada ayah. Ia memang menjadi keinginan dan harapan keluarga kami.

Walaupun aktiviti belon udara panas ini masih baru di sini, kami melihatnya sebagai satu sukan baru, yang masih banyak ruang dan peluang untuk diterokai," jelas Atiqah.

Beliau turut menyatakan mereka mendapat Sijil Operasi Udara daripada Jabatan Penerbangan Awam Malaysia.

"Jadi, tidak perlu lagi ke Eropah atau Istanbul jika mahu merasai manisnya pengalaman terbang tinggi dengan belon udara. Datang sahaja ke Putrajaya," pelawa Atiqah.

Tags / Kata Kunci: Belon Panas , Putrajaya

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan