suria

Pentingnya Memelihara Warisan

KETIKA kereta yang kami naiki menyusuri laluan mendaki di kawasan Hatter’s Castle yang terletak di tengah-tengah kawasan halaman yang dijaga rapi, pemandangan memukau itu ibarat masa terhenti.

Tidak terletak jauh dari luar bangunan, dapat dilihat sebatang pokok ketapang dan pokok ara yang sangat besar.

Keadaannya yang sunyi, hijau dan tenang, menghilangkan tekanan yang dialami akibat kesibukan di kota raya.

Kami mengunjungi ladang kelapa sawit Sime Darby di Pulau Carey, Selangor yang terletak di selatan Pelabuhan Klang, di mana kira-kira 10 daripada 14 bangunan diisytiharkan sebagai bangunan warisan oleh Badan Warisan Malaysia.

Hatter’s Castle terletak di kawasan seluas dua hektar dan merupakan bangunan yang bercirikan zaman penjajahan yang dibina di Pulau Carey pada 1923 oleh jurutera Denmark, C.L Gjorup.

Rekaannya diilhamkan oleh pengasas Pulau Carey, Edward Valantine Carey manakala namanya diambil berdasarkan tajuk novel yang ditulis oleh A.J. Cronin.

Perkataan ‘“hat” merujuk kepada bentuk bumbung yang pada asalnya dibina di bahagian tingkat satu bangunan itu sebelum digantikan dengan bumbung baharu pada 1950-an ekoran struktur kayu tersebut mereput.

Hatter’s Castle dijadikan sebagai model untuk setiap banglo di ladang dan kawasan kediaman di bukit semasa era penjajahan kerana rekaannya yang unik dan kualiti pembinaan.

Rekaan itu kemudiannya digunapakai bagi pembinaan banglo di Sogomana, Perak dan Ladang Teluk Merbau yang terletak di kawasan pesisiran pantai barat laut Selangor.

Individu pertama yang tinggal di rumah itu adalah Gjorup sendiri iaitu pada 1 Januari 1923 dan James French, pengurus besar pertama Tanah Jugra yang tinggal di tingkat atas.

“Banglo yang dibina di kawasan ladang kelihatan eksotik kerana rekaan seni bina yang mewah berbanding unit banglo lain yang dibina pada masa sama.

“Rekaannya berbeza dengan banglo di ladang lain yang pernah saya lawati dan saya rasa Gjorup yang membinanya sebagai tempat tinggal, tampil dengan idea sendiri berbanding mengikut reka bentuk banglo yang kelihatan biasa,” kata Datuk Henry S. Barlow, 71, bekas ahli lembaga pengarah Sime Darby Berhad ketika ditemu bual di lobi Hatter’s Castle.

Tingkah bawah bercirikan laluan halaman yang menghala ke taman di bawah dewan dan tangga, manakala tingkat atas menampilkan apartmen berbentuk “S” yang didiami oleh French semasa lawatan beliau selama enam bulan dan ruang itu menghubungkan kawasan dapur menerusi tangga kecil.

Dilengkapi dengan perabot, apartmen yang selesa itu mempunyai siling kayu yang dicat kemas dan akses ke balkoni.

Dengan keluasan 495 kaki persegi, banglo berciri Eropah itu dikembangkan kepada empat tingkat berbeza dan menelan kos pembinaan RM25,500.

Barlow, yang merupakan Setiausaha Kehormat Badan Warisan Malaysia, menjelaskan bahawa lantai papan bangunan itu tidak rata kerana dibina tanpa dipasang cerucuk besi.

Hampir kesemua bahan pembinaan bangunan itu diperoleh dalam negara. Batu-bata dihasilkan di Pulau Carey manakala bahan kayu diambil berdekatan Bukit Jugra.

Hanya jubin bumbung diimport dari Perancis dan Britain.

Tingkap asal bangunan itu dibina tanpa kaca walaupun jaring dipasang untuk mengelakkan serangga masuk, tetapi rekaan tersebut masih menggunakan sistem pengalihan udara secara semula jadi.

Satu fakta menarik tentang bangunan ini adalah bahan konkrit yang digunakan dicampur dengan putih telur itik bagi menguatkan struktur.

“Anda boleh bayangkan berapa banyak itik diperlukan untuk mengeluarkan telur bagi mendapatkan putih telur,” kata Ezzaruddin Abdul Rapar, pengurus projek khas ketika beliau membawa kami melawat banglo klasik itu.

“Badan Warisan Malaysia juga mengesahkan batu-bata yang digunakan lebih berkualiti berbanding bangunan lain yang dibina pada era sama termasuk bangunan Sultan Abdul Samad di Kuala Lumpur,” katanya sambil menambah, kebanyakan pekerja pembinaan dibawa dari Shanghai, China manakala hanya segelintir sahaja merupakan puak tempatan iaitu Mah Meri.

Hatter’s Castle juga menggabungkan sistem simpanan air hujan dengan tangki di bawah tanah. Air yang dikumpulkan itu hanya digunakan untuk tujuan pembersihan dan taman sahaja pada hari ini.

Sebagai usaha pemuliharaan, jubin bumbung yang lama diambil dari bangunan kolonial lain di ladang Sime Darby di seluruh Semenanjung Malaysia yang akan dimusnahkan selepas diisytiharkan tidak boleh dibaiki lagi. Jubin tersebut akan disimpan di tempat khas.

Secara keseluruhannya, kos sebanyak RM5,000 sehingga RM10,000 diperlukan setahun bagi kerja-kerja penyelenggaraan untuk menjaga kualiti bangunan itu yang kini dijadikan sebagai rumah tetamu untuk pelawat Sime Darby dan pegawai eksekutif kanan.

Satu lagi bangunan penting yang disenarai sebagai satu warisan adalah West Estate Bungalow yang dibina pada 1926, juga dikenali sebagai VIP Bungalow.

Sebagai banglo terbesar dan termewah di Pulau Carey, ia terletak di tebing Sungai Langat, sekali gus memberi pandangan sungai yang cantik dan permatang yang mengelilingi pulau berkenaan. (Pulau Carey terletak di bawah paras air laut).

Satu keunikan pada bangunan itu adalah saluran udara segi tiga yang terukir di bawah tingkap di kedua-dua tingkat.

Tingkap yang luas, lantai kayu dan jeriji kayu yang dipenuhi hiasan di bahagian dalam rumah membuatkan pengunjung mengimbau zaman lampau manakala kaca berhias masih boleh dilihat di bahagian atas panel pintu.

Banglo itu masih mengekalkan perabot asal pada tahun 1900-an termasuk katil berbingkai empat dan almari kayu manakala lampu era 1930-an juga masih berfungsi menerangi bilik.

“Pada zaman dulu, pengurus asing tiada tempat hendak dituju dan perlu tinggal di dalam banglo, sehingga lima tahun. Jadi mereka mengambil insentif untuk membina dan menghiasi rumah seperti rumah mereka sendiri,” kata Barlow, Pengerusi syarikat New Britain Palm Oil Ltd, yang merupakan anak syarikat Sime Darby Plantation.

Kini, VIP Bungalow turut dijadikan rumah tetamu untuk pegawai kanan dan pelawat.

Sebuah Rumah Kelab berukuran 985 kaki persegi turut dibina sebagai sumber hiburan kepada pegawai dan pengurus ladang pada zaman itu.

Dengan dilengkapi sebuah kolam renang dan lapangan golf 18 lubang, konsep binaan terbuka menunjukkan aktiviti seperti parti diadakan di kelab itu yang dibina oleh Gjorup.

Kawasan ladang kelapa sawit di Pulau Carey seluas 15,000 hektar dengan 11,700 hektar merupakan milik Sime Darby dan selebihnya dimiliki oleh Kerajaan Negeri dan puak Mah Meri.

Bangunan-bangunan bersejarah yang terletak di Pulau Carey lebih kukuh dan tersusun dari segi aturan dan seni bina berbanding bangunan di ladang Sime Darby yang lain.

Siling yang tinggi dan tingkap terbuka membuatkan ruangan dalam banglo sentiasa sejuk pada waktu siang.

“Banglo ini mengandungi elemen penting sejarah awal industri perladangan. Industri ini dibentuk pada tahun-tahun awal pembangunan negara dan masih merupakan tonggak penting ekonomi negara.

“Kita terhutang budi kepada pewaris seperti nenek moyang kita kerana memastikan rumah ini dihargai dan dipelihara dengan menggunakan segala prinsip yang perlu dan sesuai. Warisan ini boleh terus digunakan di ladang dan menjadi saksi sejarah industri perladangan bagi masa hadapan,” kata Barlow.

Selain Hatter’s Castle, VIP Bungalow dan Rumah Kelab, terdapat West Estate Office yang kini dijadikan sebagai Muzium Ladang, Hospital Pulau Carey yang hanya merawat pesakit luar dan balai polis manakala bangunan pejabat pos menjadi tempat Pusat Penyelidikan Bakau.

Pokok kelapa sawit berasal dari Afrika Barat dan merupakan tumbuhan liar sebelum dibangunkan sebagai tanaman pertanian. Kali pertama diperkenalkan kepada Malaysia yang dulu dikenali sebagai Malaya, oleh penjajah British pada awal 1870-an sebagai tanaman hiasan.

Pada 1917, tanaman secara komersial yang pertama dilakukan di Ladang Tennamaram di Bestari Jaya, Selangor, sekali gus menjadi asas ladang kelapa sawit dan industri minyak sawit di Malaysia.

Perusahaan minyak sawit melonjak naik pada awal 1960-an di bawah program kerajaan yang mempelbagaikan hasil pertanian bagi mengurangkan kebergantungan kepada hasil getah dan timah.

Sedekad kemudian, kerajaan memperkenalkan skim penempatan tanah bagi penanaman pokok sawit sebagai kaedah membasmi kemiskinan dalam kalangan petani tanpa tanah dan pekebun kecil. Sebahagian besar perusahaan ladang kepala sawit Malaysia bergantung kepada sistem pengurusan ladang dan skim pekebun kecil.

Hari ini, sebanyak 5.64 juta hektar tanah di Malaysia digunakan untuk tanaman sawit, sekali gus menghasilkan 19.96 juta tan minyak sawit dan 2.28 juta tan minyak sawit setahun.

Malaysia merupakan satu daripada pengeluar dan pengeksport terbesar minyak sawit di dunia dengan anggaran 9.7 peratus minyak dan penghasilan lemak dunia dan 21 peratus bagi eksport perdagangan minyak dan lemak.

Sime Darby Plantation merupakan sayap perniagaan pertanian dan perladangan bagi Sime Darby Group. Syarikat itu merupakan satu daripada pengeluar terbesar minyak sawit dunia dengan anggaran 2.4 juta tan atau empat peratus minyak sawit mentah dunia setahun.

Ladang pertama Sime Darby Plantation adalah Ladang Tennamaram yang meliputi kawasan seluas 1,835 hektar.

Operasi syarikat itu di Malaysia mewakili 126 ladang merangkumi kawasan tanaman hampir 350,000 hektar di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.

Setakat ini, Sime Darby Plantation melebarkan tanaman kepala sawit ke Kalimantan, Sumatera dan Sulawesi di Indonesia, Liberia dan baru-baru ini di Papua New Guinea dan Solomon Islands dengan melibatkan kawasan lebih 650,000 hektar.

Pulau Carey

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain