Ampang Park: Akan Roboh Sebuah Mercu Tanda Ibu Kota...

Diterbitkan: Rabu, 4 November 2015 8:28 PM

(Ubah saiz teks)

SEBELUM wujud pelbagai pusat beli-belah berprestij di Kuala Lumpur, Ampang Park berdiri megah sebagai pusat tumpuan ramai yang paling awal di ibu kota Malaysia ini.

Menakjubkan ia terus bertahan sehingga ke hari ini. Namun kompleks yang mula beroperasi pada tahun 1973 itu sudah berada di ambang akhir hayatnya dan tidak lama lagi bakal menyembah bumi berikutan rancangan merobohkannya untuk memberi laluan kepada pembinaan stesen bawah tanah MRT laluan Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya (SSP).

Rancangan merobohkan Ampang Park ini sudah pasti bakal meninggalkan kesan pahit kepada para pemilik premis niaga di kompleks tersebut khususnya dan para pengunjung setianya selama ini. Ampang Park sudah menjadi sebahagian daripada denyut nadi warga kota dan sudah sangat sinonim dengan mereka.

Setelah 42 tahun mewarnai wajah ibu kota, hayat kompleks membeli-belah tersebut akan berakhir atas nama pembangunan dan pembaharuan. Pembinaan stesen bawah tanah MRT di situ dijangka bermula pada April 2016.

Dibina di atas tanah seluas 4.5 ekar atau 18,000 meter persegi, kompleks yang terletak di pertemuan Jalan Ampang dan Jalan Tun Razak (dulu dikenali dengan nama Jalan Pekeliling) ini menyediakan pelbagai kemudahan, antaranya restoran, pusat hiburan, pelbagai kedai barangan dan juga perbankan serta 450 petak tempat letak kereta.

Reka bentuk bangunan lima tingkat ini (termasuk aras bawah tanah dan aras bumbung) diilhamkan oleh Design Partnership Singapura yang membangunkan People’s Park Complex,  dengan kerjasama seorang artkitek di Kuala Lumpur, Thomas A.S.Tiang. Pemajunya ialah Low Keng Huat Brothers Realty Sdn. Bhd. Kini terdapat 253 hak milik strata dalam bangunan kompleks Ampang Park itu.

Pembinaan banyak pusat membeli-belah lain yang hebat di Kuala Lumpur tidak menjadikan  Ampang Park tersisih. Ini kerana kompleks tersebut mempunyai daya tarikannya yang tersendiri dengan segmen pengunjung tertentu, khususnya golongan pertengahan.

Sekalipun dikelilingi oleh pusat membeli-belah yang baru seperti Avenue K dan Suria KLCC, ia masih tetap menjadi tumpuan pengunjung sama ada untuk bersantai, membeli-belah, membuat  urusan perbankan atau menjamu selera.

IKONIK

Ini kerana kedudukannya yang strategik dan berhampiran dengan pejabat-pejabat utama kerajaan seperti Permodanan Nasional Berhad (PNB), Tabung  Haji dan Petronas menjadikannya sebagai pusat kunjungan orang ramai khususnya mereka yang bekerja di kawasan sekitarnya.

Ampang Park juga menjadi tumpuan ramai kerana di sini terdapat stesen bawah tanah Transit Aliran Ringan (LRT) yang menghubungkan rangkaian Kelana Jaya dengan Hentian Putra di Gombak. Laluan ini memudahkan mereka yang hendak datang ke kompleks ini menggunakan pengangkutan awam. Jumlah mereka yang turun naik menggunakan LRT setiap hari menjadikan kompleks tersebut sentiasa sibuk dan penuh dengan pengunjung.

Justeru  amat menyedihkan kompleks tersebut bakal menjadi korban pembinaan stesen MRT  Ampang Park, yang akan berintegrasi dengan stesen LRT Ampang Park sedia ada. Tujuannya  memudahkan penumpang MRT laluan Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya nanti bertukar ke LRT laluan Kelana Jaya dan sebaliknya apabila projek itu siap sepenuhnya.

Wajarkah bangunan ikonik dan bersejarah yang menjadi pelopor kepada pembinaan pusat-pusat membeli-belah di Kuala Lumpur ini dirobohkan? Jika ditanya kepada pemilik premis niaga di situ jawapannya sudah pasti tidak. Malah mereka memberi cadangan agar stesen tersebut dibina di bawah padang di belakang kompleks tersebut.

Namun MRT Corporation yang akan membangunkan stesen tersebut dijangka tidak akan menerima cadangan para peniaga tersebut. Malah ia memberi masa tiga bulan setengah mulai 15 Oktober lalu kepada 253 pemilik lot kedai untuk menandatangani persetujuan bersama bagi memberi laluan kepada pembinaan stesen berkenaan.

Jika persetujuan gagal dicapai, Akta Pengambilan Tanah (APT) 1960 akan diguna pakai bagi membolehkan hartanah tersebut diambil. Pampasan akan dibayar menurut nilai semasa Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta.

LOKASI

Para pemilik lot kedai tentulah berat hati hendak melepaskan pegangan masing-masing kerana sekalipun Ampang Park tidak sehebat pusat membeli-belah berprestij yang lain, ia masih tetap menjadi tumpuan ramai.

Malah kompleks ini sebenarnya adalah pilihan utama golongan berpendapatan sederhana  untuk membeli-belah.

Ampang Park juga lokasi menjamu selera yang popular dengan pelbagai jenis makanan disediakan melalui restoran-restoran, café atau kios yang ada di situ. Kerana itu di waktu rehat makan tengah hari misalnya, ia menjadi tumpuan ramai, terutama kakitangan pejabat-pejabat berhampiran. Merobohkannya bererti hilang sudah sebuah tempat menjamu selera yang popular di kalangan warga kota.

Sudah lebih empat dekad Ampang Park berdiri dan sinonim dengan warga kota. Namanya sudah terpahat di dalam sanubari para penghuni Kuala Lumpur. Justeru sukar bagi mereka menerima hakikat yang hayat kompleks ini akan berakhir tidak lama lagi. Pasti sedih jika tempat membeli-belah, menjamu selera atau bertemu kekasih hati lenyap daripada pandangan untuk selama-lamanya.

Kewujudan stesen LRT di Ampang Park sekarang pun tentunya atas kekuatan kompleks itu sendiri. Adanya kompleks tersebut dan menyedari kompleks tersebut menjadi tumpuan ramai,  menyebabkan stesen LRT dibina di situ. Jika kompleks yang menjadi kekuatan stesen itu sudah tiada, mungkin jumlah penumpang LRT yang turun naik di stesen berkenaan akan berkurangan.

BERAKHIR

Namun jika MRT Corporation tetap dengan keputusan merobohkan kompleks tersebut, tidak ada pilihan bagi pemilik kedai. Mereka terpaksa akur jika APT 1960 diguna pakai bagi pengambilan tanah tersebut. Cuma yang mungkin masih boleh dirunding ialah pampasan.

Ampang Park akan beroperasi seperti biasa sehingga tarikh tempoh persetujuan yang diberikan oleh MRT Corporation kepada para pemilik lot kedai berakhir pada 31 Januari 2016. Ketika itu akan diketahui nasib sebenar yang bakal diterima oleh Ampang Park dan para pemilik kedai berkenaan.

Bolehkah Ampang Park diselamatkan? Sukar untuk menjawab soalan ini. Yang pasti memang amat menyedihkan jika nasib kompleks berakhir dengan debu runtuhan. Hilanglah sudah satu ikon popular yang sekian lama mewarnai kemeriahan ibu kota dan menjadi tumpuan golongan pertengahan. Ia akan hanya tinggal dalam lipatan sejarah dan bahan cerita untuk generasi akan datang.

Tags / Kata Kunci: Ampang Park , Kuala Lumpur , MRT

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan