Graduan Usah Jadi Berlian Terbuang

Diterbitkan: Selasa, 27 Oktober 2015 11:41 AM

(Ubah saiz teks)

IMPIAN indah setiap mahasiswa pastinya segera mendapat kerja selepas tamat pengajian.  Namun sehingga kini dianggarkan lebih 200,000 lulusan universiti masih mencari pekerjaan dalam sektor awam atau swasta walaupun selepas dua tahun menamatkan pengajian.

Adakah impian indah mahasiswa bakal bertukar menjadi mimpi ngeri?

Fakta yang didedahkan oleh Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF), Datuk Shamsuddin Bardan ini tentunya merisaukan kita semua. Jumlah lulusan universiti  bertambah setiap tahun. Ini bermakna, jumlah pencari pekerjaan juga secara automatisnya turut bertambah. Adakah masa depan mereka makin suram? 

Jelas sekali era sekarang sudah amat jauh berbeza dengan era tahun 60-an dan awal 70-an serta era sebelumnya. Ketika itu peluang pekerjaan bagi lulusan universiti amat luas terbuka. Malah dalam banyak keadaan ada pelajar yang sudah ditawarkan kerja enam bulan sebelum menamatkan pengajian.

Ketika itu, jumlah permintaan tenaga kerja yang banyak di sektor awam atau swasta berbanding penawaran lulusan yang kurang membolehkan kerja menunggu graduan bukan graduan menunggu kerja.

Juga perlu diingat ketika itu hanya ada satu universiti sahaja iaitu Universiti Malaya (UM). Jumlah kemasukan sangat terhad dan jumlah calon yang memohon juga terhad. Oleh itu, persaingan di antara para graduan tidak sengit.

Sejajar dengan pembangunan dan kemajuan negara, beberapa buah institusi pengajian tinggi awam (IPTA)  menyusul seperti Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti  Sains Malaysia (USM) yang pada awalnya dikenali sebagai Universiti Pulau Pinang.

Juga Institut Teknologi Mara (ITM) atau kini dikenali sebagai Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang pada mulanya di bawah Kementerian Pembangunan Negara dan Luar Bandar sebelum dinaungi oleh Kementerian Pendidikan dan kemudian Kementerian Pengajian Tinggi.

Untuk menyediakan lebih banyak peluang pendidikan tinggi, lebih banyak IPTA ditubuhkan kemudiannya. Sehingga kini terdapat lebih 20 buah IPTA di seluruh negara. Ini belum termasuk institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) dengan lebih 41 buah kesemuanya yang berdaftar serta 28 kolej universiti lagi.

Jumlah IPTA dan IPTS yang kian bertambah menyaksikan persaingan mendapatkan kerja di kalangan para lulusan semakin sengit. Tidak seperti tahun 60-an dan awal 70-an di mana kerja lebih banyak daripada pencari kerja, kini suasana adalah sebaliknya. Justeru timbullah fenomena graduan gagal mendapat kerja selepas lebih dua tahun bergraduat, malah lebih lama daripada itu.

Senario ini juga menyebabkan ramai graduan yang tidak lagi boleh memilih kerja berdasarkan bidang yang mereka pelajari di universiti. Sebaliknya mereka menerima apa juga jawatan `lelong’ yang ditawarkan. Tentunya ini lebih baik daripada menganggur.

Sebenarnya pihak universiti tidak bertanggung jawab dalam menyediakan kerja kepada para lulusannya kerana tugas mereka hanyalah menyediakan pelajar dengan ilmu pengetahuan dan kemahiran sebagai persediaaan menghadapi cabaran dunia pekerjaan. Tugas utama mereka  merangka kursus dan kurikulum yang sentiasa ditambah baik dari semasa ke semasa bagi disesuaikan dengan keperluan pasaran kerja.

Oleh itu, penyedia pekerjaan, khususunya kerajaan dan pihak swasta, adalah entiti yang diharap akan membantu menyerap para lulusan ini. Tetapi berdasarkan angka yang besar belum mendapat kerja selepas dua tahun menamatkan pengajian menampakkan bahawa proses penyerapan ini amat perlahan.

Menurut Shamsuddin Bardan, pada tahun ini kerajaan telah menghentikan pengambilan kakitangan awam sehingga menutup kira-kira 13,000 hingga 15,000 peluang pekerjaan di sektor awam. Di sektor swasta pula, keupayaan mengambil pekerja agak terkekang kerana suasana ekonomi yang tidak menentu.

Salah satu punca yang dianggap menjadi penyumbang kepada penawaran kerja yang suram ialah langkah kerajaan dan sektor swasta meningkatkan umur persaraan daripada 55 tahun kepada 60 tahun, berkuatkuasa mulai 2013.

Dengan pelaksanaan akta ini, pengambilan pekerja baru dengan sendirinya menjadi perlahan kerana mereka yang sepatutnya bersara pada umur 55 tahun masih boleh bertugas sehingga lima tahun lagi. Ini dengan sendirinya menyekat peluang kenaikan pangkat kepada pekerja bawahan.

Peluang pekerja bawahan naik pangkat terhalang dengan sendirinya kerana penyandang masih ada di situ untuk tempoh sekurang-kurangnya lima tahun lagi.

Seperkara yang membimbangkan lagi ialah, kini terdapat syarikat swasta mengurangkan tenaga kerja atau menutup terus operasi dan berpindah ke negara lain yang lebih berdaya saing, berdaya maju dan berdaya tahan.

Menurut Shamsuddin, sehingga kini hampir 10,000 pekerja telah diberhentikan di negara kita sejak Januari hingga Julai lalu. Angka ini mungkin meningkat menjelang hujung tahun ini apabila pihak perbankan juga dikatakan sedang mengambil langkah-langkah konsolidasi sekarang dengan mengurangkan tenaga kerja.

Oleh itu penting bagi pihak kerajaan dan swasta sama-sama berusaha mencari jalan bagi mengatasi masalah ini. Mungkin kerajaan perlu memberi insentif atau galakan kepada pihak swasta untuk memastikan mereka terus mengekalkan perniagaan dan pada masa yang sama berupaya mengambil pekerja baru secara berterusan.

Bagi para lulusan universiti khususnya, senario yang wujud sekarang menampakkan peluang pekerjaan menjadi semakin kelam. Bagaimanapun usah anggap ini sebagai tiada cahaya di hujung terowong.

Untuk menambah kebolehan pasaran, graduan perlu berusaha melengkapi diri dengan ilmu dan kemahiran tambahan selain yang pernah ditimba di bilik kuliah. Ini akan menjadi nilai tambah yang sangat berguna.

Juga penting untuk menguasai bahasa kedua seperti Bahasa Inggeris atau Mandarin di samping meningkatkan penampilan diri. Dua faktor ini dikenal pasti antara punca graduan sukar mendapat kerja pada masa ini.

Mereka tidak fasih berbahasa Inggeris sedangkan ia penting sebagai bahasa antarabangsa. Juga, mereka gagal menunjukkan personaliti dan kematangan yang diharapkan majikan.

Graduan universiti juga perlu berfikir di luar kotak. Usah hanya berharap makan gaji tetapi berusahalah untuk bekerja sendiri. Gunakan ilmu yang telah ditimba sebagai pengalaman.  Mereka yang ada inisiatif sebegini tidak perlu bersaing mendapatkan kerja tetapi memajukan kerjaya secara sendiri, malah boleh pula kemudiannya membantu rakan-rakan yang masih menganggur.

Ramai yang sudah berjaya menjadi ‘bos’ sendiri.

Pendidikan adalah satu pelaburan. Lulusan universiti adalah hasil pelaburan yang menjadi  harapan negara. Mereka adalah umpama berlian yang bersinar. Justeru ilmu yang dituntut  tidak harus dipersia-siakan, sebaliknya dicurahkan kembali untuk memajukan negara selain diri sendiri. Jadilah berlian yang bersinar, bukan berlian terbuang yang ada cahaya tetapi tiada harga.

Tags / Kata Kunci: UM , Mahasiswa , Berlian

iklan

Video

Isnin, 25 September 2017 2:24 PM

Bersama Abby Adalah Momen Indah - Memey

Isnin, 25 September 2017 9:00 AM

#BiziBody: Nadia Brian Bawa 'Beg Doraemon'

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Kolumnis

iklan

Iklan