suria

170 Kucing Sertai Pertunjukan Antarabangsa 1Malaysia CFA

Hofer sanggup berlepas ke Malaysia dari Thailand semata-mata untuk menyertai pertandingan kucing.

PENGGEMAR kucing tidak melepaskan peluang berkunjung ke Pusat Konvensyen Sunway Pyramid di Bandar Sunway, Petaling Jaya untuk menyaksikan Pertunjukan Kucing Antarabangsa 1Malaysia Persatuan Penggemar Kucing (CFA).

Dianjurkan buat kali kedua, pertunjukan tersebut diadakan dengan kerjasama antara Cat Advocates & Troupers Society (CATS) dan Pejabat Perdana Menteri (PMO) untuk menghimpunkan penggemar kucing dan rakyat Malaysia sama seperti Hari Malaysia.

"Kami mahu menghimpunkan penggemar kucing di rantau ini kerana idea mengadakan pertunjukan khas kucing agak baharu dan mula berkembang di negara ini," kata Duta CFA, Mohd Hussain Abdul Wahab.

Susulan itu, pertunjukan tersebut diadakan pada hujung minggu sebelum sambutan Hari Malaysia pada 16 September lalu.

Seramai 170 kucing mengambil bahagian dalam pertunjukan tersebut dengan mendapat penyertaan dari Brunei dan Hong Kong.

Antara kucing yang mengambil bahagian dalam pertunjukan tersebut.

Empat kategori dipertandingkan, antaranya, kategori kejuaraan, primer, anak kucing dan isi rumah.

"Kami tidak mengehadkan jumlah kucing yang dibenarkan untuk setiap peserta.

"Malah, salah seorang peserta membawa 12 kucing untuk pertunjukan tersebut," kata Mohd Hussain.

Salah seorang penggemar kucing, Siti Hajar, 33 dari Johor Baru, membawa empat ekor kucing kesayangannya untuk menyertai pertunjukan itu.

Siti Hajar dan Mohd Suhaireel bersama kucing mereka semasa pertunjukan tersebut.

Suaminya, Mohd Suhaireel Airelfatta, 38, sentiasa menemaninya sepanjang pertunjukan tersebut.

"Kami bukan baharu dalam perkara ini kerana pernah menyertai pertandingan seperti ini selama tiga tahun.

"Dinobatkan sebagai juara, benar-benar bergantung kepada nasib," kata pasangan itu yang mempunyai 14 ekor kucing.

Salah seorang juri, Chris Merritt meneliti kucing yang bertanding.

Seorang lagi peserta, Dr Marie Hofer, 60, dari Thailand amat yakin bahawa kucing baka Siberia miliknya akan memikat hati juri.

"Kucing tersebut dihias dengan rapi sebelum saya berlepas ke Malaysia.

"Saya amat yakin bahawa kucing saya akan memenangi pertandingan ini," kata Hofer yang mempunyai pengalaman selama 14 tahun dalam penjagaan kucing.

Juri, Toshihiko Tsuchiya mendekati seekor kucing untuk membuat pemarkahan.

Seramai 10 ekor kucing dipilih dari setiap kategori dengan menjadikan sejumlah 40 kucing berentap dalam empat kategori yang dipertandingkan.

Kucing yang menjuarai pertandingan itu menerima riben dan roset di atas ciri-ciri fizikal mereka yang berjaya memukau juri.

pertunjukan kucing, CFA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain