suria

Hub IT Di Mara: Kalau Nak Buat Teruskan Saja...

CADANGAN Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW),  Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang menyarankan supaya sebuah pusat perniaagaan atau hub IT dibangunkan di bangunan Majlis Amanah Rakyat atau Mara Kuala Lumpur sewajarnya dipandang sebagai  satu idea proaktif ke arah membantu golongan Bumiputera menceburkan diri secara lebih efektif dalam bidang telekomunikasi.

Sebenarnya, kalau idea ini dirasakan wajar dan perlu, maka teruskan saja tanpa perlu berpolemik. Ini kerana, yang hendak memajukannya adalah Mara - sebuah agensi di bawah kementerian berkenaan.

Mara mempunyai bangunan dan premisnya sendiri. Ia tidak memerlukan kebenaran atau kelulusan mana-mana pihak untuk memulakan langkah pertama dengan membentuk hub ITnya sendiri.

Malah ia tidak memerlukan keizinan mana-mana pihak pun untuk melancarkan projek ini melainkan mendapat kelulusan ahli lembaga Mara sahaja.

Idea ini yang Ismail Sabri utarakan sebaik sahaja mengambil alih jawatan menteri KKLW merupakan satu pendekatan yang berani dan di luar kotak pemikiran biasa.

Beliau berani untuk mencabar para pengusaha Bumiputera agar tampil menyahut cabarannya. Dalam ertikata yang lain, jika perniagaan seperti ini boleh wujud di Plaza Low Yat Kuala Lumpur atau premis-premis perniagaan besar yang lain di seluruh negara mengapa tidak di Mara.

Rata-rata majoriti pelanggan alat telekomunikasi adalah Bumiputera. Jika diusahakan bersungguh-sungguh mungkin boleh menjadi maju dan berdaya saing. Malangnya idea ini dianggap oleh sesetengah pihak sebagai rasis dan mendapat tentangan.

Haruskah idea untuk membantu Bumiputera seperti ini dianggap rasis? Cadangan tersebut sama sekali tidak bertujuan menggugat atau mengambil alih perniagaan kaum lain yang sudah lama bertapak dalam bidang tersebut di seluruh negara.  Ia sekadar untuk memberi pilihan atau alternatif kepada pelanggan.

Majoriti perniagan IT termasuk peralatan komputer dan telefon bimbit sudah lama dimonopoli oleh bukan Bumiputera sementara kaum Bumiputera tetap menjadi pelanggan setia. Tetapi hakikat ini tidak pula dianggap rasis.

Tanggungjawab Utama

Inisiatif oleh KKLW ini bukan sesuatu yang asing kerana memang sudah menjadi tanggung jawab Mara untuk membangunkan usahawan Bumiputra agar menjadi berdaya maju, berdaya tahan dan berdaya saing dalam perniagaan.

Selama ini pun tanggungjawab utama Mara ialah menyediakan kemudahan latihan, dana dan juga premis perniagaan untuk usahawan Bumiputera yang berkelayakan.

Telah menjadi tanggungjawab Mara membantu usahawan Bumiputera menembusi pelbagai perniagaan yang dianggap baru dan belum pernah diterokai oleh mereka.

Perniagaan IT memerlukan modal yang tinggi di samping sewa premis perniagaan yang sudah pasti mahal di ibu negara. Oleh itu langkah membawa mereka beroperasi di bawah satu bumbung di bangunan ibu pejabat Mara Kuala Lumpur, dengan kadar sewa yang tidak membebankan akan membantu para peniaga ini untuk bertapak dan memulakan perniagaan mereka.

Tidak mudah untuk menjadikan hub IT di bangunan Mara itu nanti sepertimana di Plaza Low Yat kerana ia memang sudah `established’. Tetapi untuk setiap sesuatu itu bergerak, mesti ada permulaan. Inilah yang diilhamkan oleh Ismail Sabri.

Belajar Bagaimana Cina Berniaga

Usahawan Bumiputera wajar mempelajari cara usahawan Cina menjalan dan menguruskan perniagaan. Komitmen dan usaha bersungguh-sungguh serta rajin berusaha adalah kunci kejayaan. Dalam hubungan ini kita mengharapkan  kaum lain yang lebih dahulu maju dalam bidang perniagaan tertentu memberi kerjasama dan tidak menganggap usaha membantu Bumiputera berniaga dalam bidang IT ini sebagai satu ancaman atau cuba merampas monopoli mereka selama ini.

Pada waktu ini pun sudah ada Bumiputera yang melibatkan diri dalam perniagaan IT cuma jumlahnya tidak begitu ramai. Kebanyakannya secara kecil-kecilan. Ada yang masih baru merangkak. Ada juga yang sudah maju. Namun  belum ada pusat sehenti yang mengumpulkan mereka di bawah satu bumbung sepertimana yang disyorkan oleh menteri KKLW itu.

Andai wujud sokongan padu daripada pelanggan Bumiputera, hub IT yang dicadangkan di bangunan Mara ini nanti akan menambahkan lagi kemeriahan industri telekomunikasi di negara kita dengan menawarkan pilihan yang pelbagai sama sepertimana wujudnya pelbagai pasar raya besar di negara kita yang bersaing menawarkan harga paling rendah kepada para pelanggan.

Mara telah membina banyak premis perniagaan di ibu negeri, daerah malah pekan-pekan kecil seluruh negara  untuk membantu peniaga Bumiputera.  Ada di antara premis ini yang  berkembang maju dengan pelbagai aktiviti perniagaan yang menguntungkan peniaga.

Namun tidak kurang pula banyak di antara premis-premis yang dibina indah ini kosong dan terbiar. Langsung tidak ada aktiviti perniagaan sehinggakan premis yang dibina menjadi bangunan tinggal .

Ada juga premis ini yang berpenghuni tetapi keadaannya bagai hidup segan mati tak mahu. Hanya ada beberapa ruang  yang dimanfaatkan peniaga dan aktiviti perniagaan juga kelihatan malap dan lembab.

Aspek inilah yang juga wajar diberi perhatian dengan mengkaji apakah sebenarnya punca premis-premis perniagaan ini menjadi begitu dingin. Kenapakah perniagaan begitu lembab dan akhirnya boleh menyebabkan premis-premis itu ditinggalkan begitu sahaja. Pastinya ini sesuatu yang merugikan kerana Mara telah membelanjakan wang yang banyak dalam mendirikan premis-premis perniagaan ini.

Barangkali premis-premis ini boleh ditransformasikan semula dengan menyediakan pelbagai daya tarikan kepada pengunjung di samping promosi berterusan. Pembinaan premis perniagaan di masa depan perlu mengambil kira lokasi yang strategik serta menjadi tumpuan pengunjung.

Perniagaan yang dijalankan di premis-premis ini juga mestilah yang memenuhi citarasa pelanggan selaras dengan keperluan mereka. Dalam konteks ini jugalah premis-premis ini boleh juga bergerak ke arah menjadi hub IT selari dengan usaha yang bakal dilakukan di ibu pejabat Mara.

Dunia IT sudah berkembang pesat sehingga ke kawasan pedalaman. Komputer riba atau telefon bimbit bukan lagi benda asing bagai penduduk pinggiran bandar dan desa. Oleh itu premis-premis perniagaan Mara yang wujud di seluruh negara boleh menjadi pemangkin bisnes ini di kalangan peniaga Bumiputera di samping memperkukuhkan bisnes produk-produk lain.

Justeru lebih banyak Bumiputera harus terlibat dalam bisnes ini dan tidak semata-mata menjadi pengguna sahaja. Keusahawanan harus dijadikan satu kerjaya bukan pilihan kedua apabila tidak mendapat pekerjaan yang lain.


Artikel Lain