suria

Enam Bulan Berlalu, Mangsa Banjir Di Kelantan Terus Terima Sumbangan

Salah seorang mangsa banjir membawa pulang kit bantuan yang diterima daripada PKKN.

KUALA KRAI: Selepas hampir enam bulan dilanda banjir teruruk dalam sejarah, mangsa bencana itu di Kelantan terus menerima sumbangan daripada individu dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Bantuan terkini diterima daripada Persatuan Pengusaha Kem Latihan Khidmat Negara (PKKN) yang menyalurkan sumbangan ke Kampung Mambong, sebuah kawasan pedalaman di Kuala Krai, Kelantan.

"Kita tumpu kepada kawasan Ulu Kelantan untuk misi bantuan kemanusiaan kali ini kerana kawasan ini menjadi salah satu lokasi paling teruk dilanda banjir Disember lalu.

"Sumbangan yang diberikan lebih bersifat 'pemulihan' dan kita fikir sekarang adalah masa yang tepat untuk melakukannya kerana umat Islam akan menyambut puasa tidak lama lagi," kata Presiden PKKN Datuk Seri Ahmad Kamel Ibrahim, yang turun padang untuk menyampaikan sendiri bantuan kepada mangsa banjir di Kampung Mambong baru-baru ini.

Ahmad Kamel (dua, kiri) bersama bekas Ketua Pengarah JLKN Datuk Abdul Hadi Awang Kechil (kanan) menyampaikan sumbangan kepada salah seorang mangsa banjir.

Untuk tiba di Kampung Mambong, penulis bersama rombongan mengambil masa kira-kira satu jam dengan menaiki bot menelusuri Sungai Kelantan dari jeti Kuala Krai.

Ia merupakan perkampungan kecil di kawasan tinggi di tebing sungai Kelantan dan majoriti penduduknya mencari rezeki dengan menoreh getah.

Menurut cerita penduduk kampung itu, banjir merupakan bencana biasa bagi mereka namun musibah pada Disember 2014 sangat luar biasa kerana air sungai Kelantan naik setinggi kira-kira 50 meter dan menenggelamkan semua rumah yang terletak di atas bukit.

Salah sebuah rumah yang roboh akibat banjir di Kampung Mambong yang belum dibaik pulih.

Mengulas lanjut, Ahmad Kamel berkata, misi bantuan kali ini adalah yang  kelima, melibatkan 150 keluarga diberi kit bantuan banjir bersesuaian dengan keperluan harian mereka dan menjelang Ramadan.

Mangsa banjir menunggu giliran untuk menerima bantuan kit banjir PKKN.

Kanak-kanak melihat sumbangan yang diterima.

"Sebelum beri bantuan, kita buat kajian dari segi sosio-ekonomi dan apa yang diperlukan mereka.

"Kita dapati, kehidupan mereka lebih baik berbanding selepas dilanda banjir dulu, tetapi belum pulih sepenuhnya.

"Sebab itulah bantuan untuk setiap mangsa juga berbeza. Contohnya kit untuk ibu mengandung ada 'pampers', begitu juga kit untuk warga emas yang berlainan dengan kit lain," katanya, sambil menambah bantuan akan dihulurkan dari masa ke semasa.

Beliau berkata, PKKN sentiasa berhati-hati dalam menggunakan dana RM515,000 yang berjaya dikumpul daripada 80 ahlinya khusus untuk mangsa banjir di Kelantan bagi memastikan ia digunakan sebaik mungkin dalam membantu mangsa banjir yang memerlukan.

"Setakat ini kita anggarkan telah membantu lebih kurang 1,000 mangsa banjir.

"Selain bantuan wang dan barangan keperluan, kita juga telah membina sebuah rumah dua bilik untuk seorang ibu tunggal di Gua Musang kerana kediaman lamanya telah hanyut ketika banjir baru-baru ini," ceritanya.

Katanya, bantuan terhadap mangsa banjir pada kali ini merupakan program tanggungjawab sosial korporat selepas 10 tahun persatuan itu ditubuhkan.

"Inilah sumbangan kami kepada masyarakat yang dihulurkan terus kepada golongan sasar.

"Kesedaran untuk memberi sumbangan timbul setelah kami melihat sendiri betapa teruknya banjir yang digelar 'tsunami darat' di Kelantan selepas banjir teruk pada 

1924," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain