suria

BN Tidak Lagi Berada Di Zon Selamat

KEMEROSOTAN undi Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Rompin boleh dianggap isyarat yang menunjukkan parti itu kini tidak lagi berada dalam zon selamat.

Walaupun berjaya mengekalkan kerusi di Parlimen Rompin yang dianggap kubu kuat parti itu, jumlah undi BN merosot hampir sekali ganda.

Pada 5 Mei lalu, calon BN, Datuk Hasan Arifin menewaskan pencabarnya, Nazri Ahmad mewakili PAS dengan majoriti 8,895 undi.

Hasan memperoleh 23,796 undi, manakala Nazri, 14,901 undi.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) dua tahun lalu, Allahyarham Tan Sri Jamaluddin Jarjis memperoleh 30,040 undi menang dengan majoriti 15,114 undi menewaskan calon PAS Nuridah Mohd Salleh yang mendapat 14,926 undi.

Berdasarkan perkembangan terkini di Rompin, pemimpin BN seharusnya menolak anggapan bahawa parti itu akan terus berada dalam 'zon selesa' sampai bila-bila.


Hasan dianggap calon 'favourite' dikalangan rakyat Rompin.


Jumlah undi yang merudim itu juga bagaikan petanda supaya BN meneliti secara terperinci 'kelemahan' parti itu agar pendekatan holistik diambil sebagai langkah awal untuk menghadapi pilihan raya umum (PRU) akan datang, terutama dengan memberi tumpuan terhadap golongan muda di mana sokongannya ternyata makin berkurangan.

Pengamatan sepanjang tempoh berkampung di kawasan itu selama 16 hari, rata-rata golongan muda di tanah rancangan Felda bagaikan 'tawar hati' dengan BN yang didakwa gagal menyelesaikan isu rumah generasi kedua dan ketiga sehingga hari ini.

Isu tersebut turut dimanfaatkan PAS untuk memancing undi golongan tersebut dan ianya menampakkan hasil.

Parlimen Rompin mempunyai pengundi yang kebanyakannya golongan peneroka dari 14 tanah rancangan Felda di kawasan itu dan tidak salah jika dikatakan tanah rancangan Felda itu dahulunya dianggap sebagai 'kubu kuat' BN, tapi kini suasananya sudah berubah.

Ianya terbukti apabila BN tewas di beberapa saluran peti undi di tanah rancangan Felda Keratong 2, 4 dan 5, selain lima daripada 38 pusat daerah mengundi.

Di samping masalah perumahan generasi kedua dan ketiga Felda, isu pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dan geran tanah, malahan kritikan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad terhadap pentadbiran sedia ada turut memberi kesan kepada rakyat.


Sokongan pengundi muda terhadap calon PAS, Nazri turut meningkat.

Walaupun usaha kerajaan mengumumkan penurunan harga rumah generasi kedua dan ketiga Felda kepada RM90,000 daripada RM125,000 disambut baik, masih banyak yang perlu dilakukan di kawasan itu.

Misalnya, kegagalan kerajaan menyediakan peluang pekerjaan untuk generasi muda di Rompin, walaupun negeri itu diperintah sekian lama oleh BN, adalah antara masalah yang perlu segera ditangani.

Golongan muda terutamanya masyarakat Orang Asli mengakui masih hidup dalam kepompong kemiskinan apabila mendakwa diabaikan dari segi sosio-ekonomi dan hanya bergantung kepada hasil hutan dan sungai sebagai mata pencarian.

Tidak dinafikan ada segelintir pengundi muda di kalangan masyarakat ini mengalihkan sokongan mereka kepada parti lawan dan situasi ini seharusnya membuka mata BN bahawa kebanyakan masyarakat 'Orang Asli' di kawasan tersebut tidak lagi setia pada parti pemerintah.

Apa yang mereka inginkan adalah supaya kerajaan menunaikan janji, terutama dalam isu geran tanah di tapak kediaman mereka.

Bagaimanapun usaha PAS menerusi kempennya di kawasan penempatan Orang Asli didapati tidak begitu berkesan kerana kelompok komuniti ini masih lagi beranggapan parti itu hanya memperjuangkan hak orang Melayu dan agama Islam semata-mata.

Malah, isu hudud yang ingin dilaksanakan di Kelantan turut mempengaruhi undi di kalangan masyarakat Orang Asli terhadap PAS.

Rakyat selesa mendekati Hasan.


Namun, tindakan BN mempertaruhkan Hasan yang menerima jolokan 'Abraham Lincoln' di kawasan itu boleh dianggap satu langkah bijak.

Keperibadian dan personaliti beliau yang disenangi rakyat dikatakan faktor utama kemenangan BN di Rompin.

Penduduk di Rompin menganggap kemenangan tersebut bukan kemenangan BN tetapi kemenangan calon itu sendiri.

Pengalaman sepanjang menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Ibam dan Tioman suatu ketika dahulu membuatkan Hasan dekat di hati penduduk Rompin.

Ada yang mengakui mereka lebih mudah berurusan dengan Hasan yang akan mendengar permasalahan rakyat tanpa mengira perbezaan ideologi politik.

Meskipun Hasan diangkat sebagai calon 'favourite', sokongan undi rakyat terhadapnya harus diterjemahkan kepada pembangunan yang ingin dilakukan di Rompin.

Rompin yang memiliki keluasan sebesar Melaka dan Negeri Sembilan itu memerlukan pembangunan berskala besar untuk mengelakkan PAS terus menyifatkan daerah itu sebagai kawasan terbiar.





PRK Romin, Hasan Arifin, BN, PAS

Artikel Lain