Hasil Seni Pelukis Bertaraf Dunia Dibawa Ke Malaysia

Diterbitkan: Ahad, 8 Februari 2015 10:40 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Rakyat Malaysia yang menggemari hasil seni pelukis kontemporari bertaraf antarabangsa seperti Henri Matisse dan Pablo Picasso kini berpeluang menyaksikannya di Galeri Petronas, KLCC.

Galeri itu sedang mempamerkan hasil kerja 76 artis kontemporari yang sangat prolifik serta popular di sepanjang abad ke-19 pada pameran berjudul Maestro-Karya Agung Dunia Seni Moden dan Kontemporari.

Ia adalah pameran seni luar biasa yang mempertontonkan 200 koleksi grafik utama yang dipilih daripada koleksi Arte 10, iaitu satu himpunan yang memaparkan gaya seni moden dan kontemporari di arena lanskap antarabangsa.

Kumpulan adiguru seni ini telah dipilih bukan sahaja berdasarkan sumbangan mereka sebagai artis grafik tetapi turut mengambil kira hasil karya dan perspektif pengaruh luas mereka sebagai pelukis cat dan pengukir arca.

Menurut Naib Presiden Operasi Kecemerlangan Kumpulan Petronas, Datuk Ir Kamarudin Zakaria, pameran itu boleh dinobat antara yang terbaik global, menghimpunkan hasil kerja yang menakjubkan yang diingini oleh mana-mana galeri dan muzium.

"Himpunan koleksi seni lukisan kontemporari terhad yang dipamerkan di galeri ini sungguh besar bilangannya. Ia boleh dianggap unik serta tiada taranya. Paling penting, ia menghidangkan peluang buat pencinta seni mendekati dan menghayati kesemua lukisan yang tidak pernah dipertontonkan di Malaysia sebelum ini," sambung beliau.

KOLEKSI PIKAT HATI PENGUNJUNG

Pameran ini menampilkan sekumpulan artis yang terpilih daripada abad ke 19,himpunan artis-artis selepas perang Amerika, artis-artis Latin-Amerika dan artis-artis utama Sepanyol yang mewakili seni moden dan kontemporari Sepanyol.

"World's Modern and Contemporary Art Masters" (Maestro) mempamerkan 200 cetakan yang merangkumi pelbagai teknik cetakan dan 22 objek oleh artis-artis berkenaan.

Walaupun tidak menyeluruh, pameran ini memberikan sedikit gambaran tentang dunia seni dari zaman simbolisme, impresionisme sehingga ke era moden. Semua karya seni hadir bernombor dan ditandatangani oleh artis masing-masing.

Namun, ini tidak termasuk karya seni sebelum tahun 1900, ketika itu amalan menandatangan belum lagi dipraktikkan dengan meluas. Bagaimanapun, sejumlah besar daripada karya-karya seni ini telah dimeterai oleh pengumpul yang berilmu dan dihormati serta editor grafik Perancis; Henri M. Petiet (1894-1980).

Menurut Kamarudin, pameran ini adalah inisiatif untuk menggalakkan pertukaran budaya antarabangsa, penghayatan seni dan hubungan antara budaya Malaysia dan Sepanyol.

KARYA YANG TERUS RELEVAN

Antara karya Picasso (1881-1973) The Dance, The Water Bowl dan Saltimbangue At Rest yang dihasilkan pada 1905 menggunakan teknik "drypoint" dalam warna hitam putih.

The Water Bowl yang dihasilkan Picasso.

Namun hasil karyanya yang berwarna seperti The Man With the Vine Arbor adalah antara karya yang memperlihatkan gaya hidup masyarakat ketika era beliau.

Karya-karya hasil Julio Le Parc yang kontemporari penuh warna berjudul The Long Walk dihasilkan pada 1975 juga boleh memberikan dimensi kepada mereka yang melihat hasil karyanya yang menggunakan teknik serigraf.

Satu lagi lukisan yang menarik adalah sentuhan Francisco Masson (1864-1924) yang dihasilkan pada 1900. Berjudul Riders and Greyhound dengan teknik "etching" dan "aquatint". Ia juga satu paparan zaman yang mudah difahami.

"Seni yang bagus masil relevan," demikian pandangan pemilik Galeri Lukisan Project Room Fine Arts Sdn Bhd Azad Daniel Haris.

Beliau hadir ke galeri itu bersama isteri, Syarifah Farah Waheeda Syed Mohsin nampaknya begitu menghayati karya-karya seni yang dipamerkan.

Menurutnya bukan senang untuk melihat karya-karya hebat sedemikian memandangkan kebanyakan pelukis adalah mereka yang dikenali di peringkat antarabangsa.

Tambahan pula pendedahan sebegini jarang sekali diadakan di negara ini. Selain dapat melihat sentuhan mereka, cetakan yang dipamerkan juga memberi peluang untuk pengunjung mengenali komuniti, latar serta budaya pada era ia dihasilkan.

"Ia juga boleh dijadikan penanda aras buat pengkarya seni seumpama ini yang ada di negara kita," ujarnya yang membuka galeri seni di Great Eastern Mall di Jalan Ampang.

SESUAI PELBAGAI PERINGKAT USIA

Pakar kulinari yang juga seorang juri tetap rancangan MasterChef Malaysia, Chef Adu Amran yang turut berkunjung ke pameran tersebut tertarik dengan sentuhan seni pelukis-pelukis yang dianggapnya mempunyai gaya sendiri.

Berpendapat pameran sedemikian bukan sahaja untuk elitis seni tetapi sesuai juga dikunjungi oleh pelbagai peringkat usia.

"Terpulang kepada pengunjung cara bagaimana mereka mahu menikmati lukisan yang dipamerkan. Ada yang melihat secara keseluruhan, ada yang lebih kepada teknik dan macam-macam lagi. Saya juga menilai dengan cara saya sendiri, kadang-kadang lukisan yang melibatkan era lampau boleh membuatkan saya berfikir apa yang sedang dilalui oleh si pelukis ketika ia dihasilkan," katanya.

Selain pakar memasak dan menghias, Chef Adu Amran berkebolehan melukis dan minat itulah yang menggerakkannya ke galeri berkenaan.

Mengakui dirinya peminat karya seni tetapi bukan pakar, beliau lebih tertarik kepada hasil karya yang mempunyai judul. Bagi beliau ia lebih mudah difahami. Manakala bagi karya yang tidak bertajuk, beliau menganggapnya sebagai hasil karya yang tidak bermatlamat ketika dihasilkan.

"Seperti kerja yang tidak siap,macam masakan yang tidak ada nama. Suka hatilah nak namakan apa sahaja," katanya dalam nada bergurau.

Pameran Maestro kini dibuka kepada tontonan umum secara percuma dari 13 Januari hingga 22 Mac, 2015, dari 10 pagi hingga 8 malam, Selasa hingga Ahad.

iklan

Video

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Jumaat, 15 September 2017 2:00 PM

Cassidy Malu Cakap Melayu?

Jumaat, 15 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Payslip - Semangat Yang Hilang

Khamis, 14 September 2017 4:00 PM

Farida Jalal Mahu Lebih Kolaborasi Malaysia-Bollywood

Khamis, 14 September 2017 9:00 AM

Faye Kusairi Menangis Tonton Diri Sendiri

Rabu, 13 September 2017 2:00 PM

Saya Tak Jual Rupalah! - Erwin Dawson

Rabu, 13 September 2017 9:00 AM

EKSKLUSIF! Kisah Elizabeth Tan Nak Bunuh Diri

Kolumnis

iklan

Iklan