suria

AKPK Tawar Khidmat Kaunseling Mengurus Belanjawan

KUALA LUMPUR: Berapa ramai di antara kita yang memperuntukkan sekurang-kurangnya sepuluh peratus daripada gaji bulanan sebagai tabung kecemasan?

Adakah kita berisiko menanggung bebanan kredit yang banyak sekiranya tidak mengambil langkah-langkah pencegahan awal? Sekiranya belum berkesempatan lagi berbuat demikian, belum terlambat untuk bertindak.

Peribahasa "sediakan payung sebelum hujan" sangat bersesuaian untuk diamalkan kerana kegagalan membuat persediaan awal dalam urusan kewangan akan mempengaruhi gaya hidup kita di masa akan datang.

Menurut Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) yang ditubuhkan pada 2006, statistik menunjukkan sehingga 30 Sept 2014 seramai 292,775 orang memohon untuk mendapatkan khidmat kaunseling di agensi itu dan 115,706 untuk mengurus bebanan kredit.

Angka ini memberi gambaran bahawa ramai di kalangan rakyat Malaysia telah sedar tentang pentingnya mengawal hutang melalui pendidikan dan bimbingan kewangan yang ditawarkan oleh AKPK.

LELAKI PALING RAMAI BERHUTANG

Jika merujuk statistik tahun ini sahaja iaitu sehingga 30 Sept, seramai 106,391 individu terlibat dalam pengurusan bebanan kredit dan daripada statistik itu sekiranya dibuat pecahan berdasarkan jantina, ternyata lelaki merupakan bilangan teramai menghadapi bebanan kredit.

Dianggarkan seramai 46,453 orang atau 43.7 peratus lelaki yang berumur lebih 40 tahun telah mendapatkan perkhidmatan pengurusan bebanan kredit dengan AKPK.

Peratusan ini merupakan yang paling tinggi berbanding golongan lelaki yang berumur 30 tahun ke 40 tahun iaitu sebanyak 39.7 peratus atau bersamaan 42,219 orang.

Sementara itu, bagi golongan lelaki yang berumur 20 sehingga 30 tahun sebanyak 17,719 orang atau 16.6 peratus mendapatkan perkhidmatan untuk menguruskan kewangan mereka.

"Adalah sangat mustahak untuk mendapatkan maklumat yang tepat sebelum seseorang bercadang untuk berhutang.

Kami di AKPK menyambut baik orang ramai datang untuk mendapatkan khidmat nasihat sebelum berhutang supaya mereka menyedari kemampuan kewangan masing-masing. Khidmat ini ditawarkan secara percuma," kata Ketua Jabatan, Komunikasi Korporat AKPK, Mohamad Khalil Jamaldin.

TIADA TABUNGAN KECEMASAN

Menurut statistik yang sama, dianggarkan sebanyak 22.8 peratus rakyat Malaysia gagal dalam merancang kewangan disebabkan pengurusan kewangan yang lemah, 16.2 peratus mempunyai hutang kerana kos perubatan yang tinggi dan 16.1 peratus kerana kegagalan dalam perniagaan.

Khalil berkata sekiranya mampu, disarankan supaya setiap orang mewujudkan tabung kecemasan dengan jumlah bersamaan dengan perbelanjaan untuk tiga hingga enam bulan.

"Sekiranya gaji RM2000 dan perbelanjaan bulanan adalah sebanyak RM1000, maka jumlah minima di dalam tabung kecemasan bersamaan dengan RM3000 hingga RM6000," katanya.

TANDA AWAL SESEORANG MEMPUNYAI MASALAH KEWANGAN

Menurut Khalil untuk mengelakkan bebanan kredit yang teruk, jumlah hutang seseorang tidak boleh melebihi 40 peratus daripada jumlah bersih keseluruhan gaji.

Justeru sekiranya hutang melebihi jumlah itu, bermaksud individu itu berisiko mengalami masalah pengurusan bebanan kredit.

Mengulas tentang tanda-tanda awal seseorang yang mempunyai masalah kewangan, Khalil berkata keadaan ini boleh diketahui apabila individu itu mula meminjam daripada kawan-kawan, membuat pengeluaran secara tunai daripada kad kredit untuk perbelanjaan atau membuat bayaran kad kredit lain, atau hanya mampu membuat bayaran minima sebanyak lima peratus daripada jumlah hutang kad kredit itu.

Individu juga perlu menyedari bahawa sekiranya mereka tidak mempunyai sebarang simpanan atau insurans untuk menampung keperluan kecemasan, mereka turut berisiko menanggung bebanan kredit yang tinggi.

PENDIDIKAN AWAL PENGURUSAN KEWANGAN

Menurut Khalil, pendidikan kredit dan kewangan merupakan jawapan bagi kebanyakan masalah kewangan yang dihadapi pada masa kini.

"Di AKPK, kami bukan sahaja memberikan perkhidmatan kaunseling dan pengurusan kredit tetapi juga pendidikan kewangan.

Sasaran AKPK adalah untuk menyediakan pelbagai khidmat pendidikan yang dirangka khas untuk membantu para individu supaya mereka dapat mengawal kedudukan kewangan mereka lalu mendapatkan ketenangan melalui penggunaan kredit secara bijak," katanya.

Sementara itu, AKPK juga turut bekerjasama dengan institusi pendidikan melalui program Pengurusan Kewangan Peribadi untuk memupuk kesedaran di kalangan belia supaya mereka mengamalkan pengurusan kewangan berhemat.

Program yang sama juga turut didedahkan kepada pelatih-pelatih Program Latihan Khidmat Negara melalui kerjasama AKPK dengan Kementerian Pertahanan.

"Ini sejajar dengar hasrat kami 'melentur buluh biarlah daripada rebungnya'. Pendidikan kewangan ini perlu diterapkan seawal mungkin supaya lebih ramai yang mengetahui cara-cara menguruskan kewangan mereka, katanya.

Selain program tersebut, Bank Negara Malaysia melalui AKPK mewujudkan program POWER! 'Pengurusan Wang Ringgit Anda' untuk menggalakkan budaya celik kewangan di kalangan pengguna Malaysia.

Program itu mensasarkan golongan dewasa muda antara 18 dan 30 tahun, peminjam kali pertama dan bakal peminjam dengan pengisiannya menunjukkan cara-cara berkesan menguruskan hutang dan membuat keputusan kewangan dengan bijak.

PROSES BERURUSAN DI AKPK

Khalil menjelaskan bahawa AKPK tidak menyediakan pinjaman atau pembiayaan kewangan tetapi membantu orang ramai melalui program pengurusan kredit. Program ini disediakan untuk semua individu yang memerlukan bantuan dalam mengurus bebanan kredit dengan institusi kewangan yang dikawal selia oleh Bank Negara Malaysia.

Menjelaskan lebih lanjut prosedur berurusan di AKPK, Khalil berkata pelanggan perlu menghadirkan diri ke 11 cawangan atau 12 pejabat kaunseling AKPK seluruh negara dengan membawa beberapa dokumen penting seperti penyata gaji atau pendapatan, penyata pinjaman, maklumat laporan kredit (CCRIS) dan penyata terkini Kumpulan Simpanan Wang Pekerja (jika perlu).

"Pelanggan seharusnya tidak mempunyai hutang melebihi RM2 juta, memiliki sumber pendapatan yang positif, tidak diisytiharkan muflis dan tidak berada di bawah tindakan undang-undang tahap lanjut," katanya.

Sewaktu sesi kaunseling, kaunselor kredit akan membuat penilaian atas pendapatan, perbelanjaan dan semua jumlah pinjaman dan akan cuba menstruktur semula bayaran bulanan mengikut kemampuan yang munasabah setelah mendapat persetujuan daripada pihak pengeluar kredit.

"Apabila pelanggan bersetuju dengan pelan pembayaran balik hutang yang dikemukakan oleh kaunselor, dan seterusnya dikehendaki membuat bayaran pertama seperti yang dicadangkan dalam tempoh 10 hari daripada tarikh pelanggan mengemukakan permohonan," katanya.

Daripada tarikh penerimaan bayaran pertama pelanggan, AKPK akan memaklumkan pelanggan secara bertulis tentang status permohonan dan memaklumkan institusi-institusi kewangan yang terlibat.

Seterusnya, pihak AKPK akan mengeluarkan Surat Tawaran (Tanpa Prejudis) dan pelanggan dikehendaki untuk menandatangani perjanjian itu.

"AKPK menyeru orang ramai mendapatkan maklumat yang tepat sebelum berhutang selain mengetahui cara-cara pengurusan kewangan yang berhemah. Sebelum berhutang, sangat penting untuk individu mengetahui kemampuan kewangan mereka bak kata pepatah "ukur baju di badan sendiri", katanya.

Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut boleh menghubungi AKPK di talian bebas tol 1800-88-2575 atau layari laman web www.akpk.org.my


AKPK, Bank

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain