Pereka Fesyen Malaysia Hasilkan Pakaian Bintang Hollywood

Diterbitkan: Khamis, 4 Disember 2014 12:00 AM

Amir Kadir di depan butik Al Jasmi Bride tempat dimana dia bekerja di Kuwait City.

(Ubah saiz teks)

KUWAIT CITY: Mengambil keputusan untuk meninggalkan negara atas matlamat ingin berhijrah, bukanlah sesuatu keputusan yang mudah apatah lagi pada ketika itu namanya sedang memuncak.

Namun bagi pereka fesyen, Amir Kadir, 49, dia percaya jika seseorang itu ingin memperkukuhkan nama masing-masing, mereka wajar menyahut cabaran baharu.

Itulah pengorbanan yang dilakukan oleh Amir hampir 14 tahun lalu selepas membuat keputusan menutup operasi butiknya, Amir Kadir Design yang terletak di Bukit Bintang, Kuala Lumpur untuk berhijrah ke Kuwait.

Ketika zaman kegemilangannya di Malaysia, Amir banyak menghasilkan pakaian untuk dipakai selebriti-selebriti ternama antaranya Datuk Sharifah Aini, Ziana Zain, Datuk Siti Nurhaliza dan juga Datin Seri Normala Samsudin.

mStar Default Image
Taylor Swift (kiri) bersama Jessie J ketika membuat persembahan semasa American Music Awards ke 42 di Los Angeles, Amerika Syarikat pada 23 November 2014. Kedua-dua artis ini memakai pakaian rekaan Amir Kadir.

Malah busana rekaannya juga menjadi penghias banyak majalah hiburan dan fesyen tempatan.

Penulis yang mengenali Amir sejak sekian lama kerap kali menggunakan khidmatnya dalam membentuk imej sewaktu sesi fotografi artis-artis khususnya bagi keluaran khas majalah hiburan untuk Hari Raya.

Kunjungan penulis ke Kuwait pada 18 November lalu memberi ruang untuk kami berjumpa dan bercerita banyak perkara.

Pereka fesyen baharu, mungkin tidak mengetahui siapa Amir Kadir tetapi penulis pasti individu seperti Rizalman Ibrahim, Datuk Radzuan Radziwill, Salikin Sidek dan Micheal Ong tentu mengenalinya.

“Saya membawa diri ke negara orang dengan harapan ingin berubah. Saya melihat pasaran dunia fesyen di Malaysia agak terhad kepada rekaan-rekaan tertentu sahaja.

“Sebab itulah saya membuat keputusan mengejutkan untuk mencari pengalaman baharu dan Alhamdulillah… atas usaha saya itu hasil rekaan saya mula dipandang pada peringkat antarabangsa,” katanya kepada mStar Online.

mStar Default Image
Pakaian rekaan Amir yang dipakai Jennifer Lopez ini adalah sempena persembahannya pada 'MTV Videos Music Awards', 24 Ogos 2014. 

Janji Amir akhirnya tercapai apabila buat pertama kalinya busana rekaan beliau dipakai oleh bintang Hollywood ternama iaitu Jennifer Lopez pada persembahan MTV Video Music Awards di Los Angeles pada 24 Ogos lalu.

Sayap kehebatannya di peringkat antarabangsa terus dilebarkan apabila penyanyi Taylor Swift dan Jessie J turut menggayakan busana terbaharunya semasa American Music Awards ke 42 tahun di Nokia Theater, Los Angeles pada 23 November lalu. Ia ditonton kira-kira 82 juta penonton.

Dan kini, Amir sedang menyiapkan rekaan terbaharu untuk Lady Gaga.

“Alhamdulillah… saya tidak menyangka busana rekaan saya menjadi pilihan bintang-bintang antarabangsa itu. Malah lebih membanggakan, mereka memakainya tanpa banyak rungutan,” ujar Amir saat penulis menjenguk butik tempat kerjanya di Kuwait City, ibu negara kota minyak itu.

Segalanya Bermula Di Lubnan

Menyingkap bagaimanakah sentuhan tangannya itu mendapat perhatian bintang antarabangsa Amir berkata, segala-galanya bermula di Lubnan apabila dia mewakili butik tempatnya bekerja iaitu Al Jasmi Bride dalam satu pertunjukan fesyen.

Sebagai perunding fesyen bagi syarikat itu, Amir telah membawa pelbagai rekaan terbaharunya untuk digayakan pada majlis yang diadakan pada Februari lalu.

mStar Default Image
Persembahan bertenaga Taylor Swift bersama pakaian rekaan rakyat Malaysia.

Pertunjukan itu dihadiri oleh ramai pereka fesyen seluruh dunia termasuklah wakil kepada selebirti-selebriti antarabangsa.

Selepas pertunjukan selesai, Amir berkata dia didatangi oleh wakil kepada pihak pengurusan Jennifer Lopez (Jlo) yang memberitahu berminat dengan rekaan fesyen yang dihasilkannya.

“Semasa wakil artis antarabangsa itu memuji busana rekaan saya, saya tidak yakin dia benar-benar tertartik dengan kerja tangan saya itu.

"Sehinggalah apabila saya pulang semula ke Kuwait, pada ketika itu dia menghubungi saya dan meminta dibuat pakaian untuk Jlo pada sebuah acara anugerah yang bakal berlangsung pada bulan Ogos.

“Selepas mendapatkan ukuran badan Jlo, imej yang ingin ditampilkan dan gambaran acara yang hendak dihadirinya itu, saya menghasilkan beberapa busana sebelum ia dihantar kepada wakil penyanyi itu di Los Angeles untuk dibuat pilihan,” ujar Amir.

Kata Amir proses menghasilkan pakaian itu agak rumit apabila pihaknya perlu melalui beberapa syarat terlebih dahulu iaitu perlu menyediakan lakaran pakaian yang ingin dihasilkan sebelum dinilai sendiri oleh Jlo.

Kemudiannya selepas busana berkenaan siap, pihak Amir perlu merakamkan video baju itu yang dipakai oleh seorang model sebelum ia ditunjukan kepada wakil artis tersebut.

“Apabila pihak Jlo bersetuju dengan pakaian berkenaan, pihak kami akan pos pakaian itu kepada pihak pengurusan Jlo di Los Angeles dan mereka akan membuat peniliaan.

“Sebenarnya, bukan busana saya sahaja yang diterima oleh pihak pengurusan artis berkenaan sebaliknya ada juga pereka fesyen lain yang diminta menghasilkan rekaan untuk penyanyi itu.

“Mungkin ada rezeki untuk saya apabila Jlo berminat dengan hasil baju daripada idea saya,” jelas Amir.


mStar Default Image
Antara koleksi pakaian yang direka oleh Amir untuk pasaran tempatan.

Tambah beliau, walaupun pihaknya tidak mendapat banyak keuntungan kerana pakaian berkenaan adalah tajaan semata-mata namun apa yang penting kepuasan itu timbul kerana ia dipakai oleh bintang popular dunia.

Begitu juga pakaian buat Taylor Swift dan Jessie J yang melalui proses serupa sebelum mereka memilih busana berkenaan untuk dipakai.

Katanya, seseorang pereka fesyen itu akan mendapat kepuasan maksimum apabila karya mereka diangkat setinggi mungkin.

“Ya… jujurnya saya gembria. Percubaan saya melangkah keluar dari Malaysia untuk membuktikan sesuatu kepada diri saya dan juga negara akhirnya tercapai apabila pakaian yang saya hasilkan itu ditonton puluhan juta orang seluruh dunia,” katanya.

Ditipu Pak Arab

Bukan mudah untuk berada pada kedudukan Amir ketika ini jika beliau tidak melalui kesusahan bergelar pereka fesyen khususnya apabila berada di negara orang.

Menurut Amir, keputusan beliau untuk berhijrah dibuat selepas seorang lelaki   memberikan Amir cadangan agar menjadi rakan kongsi di butik yang dimilikinya di Kuwait.

Bagaimanapun semasa berada di Kuwait, lain pula jadinya apabila Amir diminta menjadi pekerja dan bukannya rakan kongsi dengan butik milik lelaki Arab berkenaan.

Katanya, bukan sahaja terpaksa bekerja dalam suasana tertekan tetapi pasport serta visanya juga turut dipegang oleh lelaki Arab itu sehingga menyebabkan Amir tidak boleh bergerak jauh dari tempat kerjanya kerana bimbang ditangkap pihak berkuasa.

“Saya menderita pertama kali tiba di Kuwait apabila lelaki Arab itu tipu saya. Mulanya hendak dijanjikan saya menjadi rakan kongsinya tetapi saya akhirnya menjadi orang suruhannya sahaja.

“Malang lagi, selama tiga bulan saya tidak diberi gaji. Wang simpanan yang saya bawa selepas menjual kedai di Kuala Lumpur terpaksa saya gunakan untuk menyara kehidupan saya. Tetapi syukurlah saya seorang yang berani,” ujarnya.

mStar Default Image
Amir (berdiri) melihat pekerja menjahit manik pada baju hasil rekaannya.

Tambah Amir, selepas merasakan dirinya ditipu, Amir berjaya melarikan diri ketika waktu makan tengah hari ke pejabat kedutaan Malaysia di Kuwait untuk membuat laporan.

Dengan bantuan pegawai dari pejabat kedutaan itu, pengusaha butik tersebut terpaksa membayar Amir tunggakan gajinya serta menyerahkan semula pasport dan juga visa yang dipegang.

“Selepas meninggalkan butik itu, saya banyak bekerja di beberapa butik lain sehinggalah saya berjumpa dengan pemilik butik Al Jasmi Bride dan bekerja bawahnya sebagai perunding fesyen.

“Alhamdulillah, butik ini berjaya menunjukkan kejayaannya selepas saya masuk apabila baju-baju rekaan saya bukan sahaja dipakai bintang Hollywood tetapi menjadi pilihan kerabat-kerabat diraja Kuwait ini,” katanya.

Rancang Pulang Ke Tanah Air

Mengenai perancangan jangka panjangnya Amir berkata, dia berazam untuk pulang ke tanah air suatu hari nanti selepas menimba banyak ilmu di negara orang.

Amir juga merancang untuk menghasilkan pakaian “sedia untuk dipakai” selepas mendapat manfaat daripada apa yang dipelajarinya.

“Insya-Allah, janji saya mahu mencari banyak pengalaman di Kuwait ini sebelum saya pulang ke Malaysia untuk menghasilkan busana yang lebih menarik dan luar biasa,” katanya.

Tambanya, ketika ini dia sedang mempelajari budaya Arab iaitu mengenai cita rasa mereka, konsep perkahwinan dan adat-adat yang diamalkan dalam sesebuah perkahwinan.

mStar Default Image
Gambar fail menunjukkan Amir (tengah) yang menjuarai Anugerah Pereka Fesyen Muda anjuran International Academy of Fashion & Design pada tahun 2001. Tempat kedua dimenangi oleh Sharon Tan (kiri) dan Baldave Kaur mendapat tempat ketiga.

Ini kerana budaya perkahwinan di negara Arab amat berbeza kerana selain cita rasa yang pelik, golongan atasan di negara berkenaan sanggup melaburkan wang yang banyak asalkan mereka kelihatan cantik.

"Di sini agak pelik. Wanita-wanita Arab jika ingin hadir ke satu-satu majlis perkahwinan, mereka hendaklah mucnul dengan pakaian yang mahal-mahal rekaan eksklusif tanpa pernah dipakai orang lain.

“Mereka mahu dilihat mewah dan kalau boleh mengalahkan pengantin. Sebab itulah mereka sanggup berbelanja besar agar kelihatan cantik,” katanya.

Jelasnya Amir, atas tujuan itu seseorang wanita kaya Arab sanggup menyewa pakaian hanya untuk menghadiri sebuah majlis perkahwinan dengan harga sewaan   (KD$5,000) RM50,000 bagi satu malam.

Selain bekerja di butik berkenaan, Amir turut menerima tempahan yang diusahakan secara dalam talian.

Peminat boleh melayari  www.abiyatt.com atau menjadi pengikut Instagramnya menerusi akaun AMIRKADIRDESIGN untuk melihat koleksi-koleksi terkininya.

<
Tags / Kata Kunci: Amir Kadir

iklan

Video

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Jumaat, 15 September 2017 2:00 PM

Cassidy Malu Cakap Melayu?

Jumaat, 15 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Payslip - Semangat Yang Hilang

Khamis, 14 September 2017 4:00 PM

Farida Jalal Mahu Lebih Kolaborasi Malaysia-Bollywood

Khamis, 14 September 2017 9:00 AM

Faye Kusairi Menangis Tonton Diri Sendiri

Rabu, 13 September 2017 2:00 PM

Saya Tak Jual Rupalah! - Erwin Dawson

Rabu, 13 September 2017 9:00 AM

EKSKLUSIF! Kisah Elizabeth Tan Nak Bunuh Diri

Kolumnis

iklan

Iklan