Pengalaman Menarik 'Glamping' Di Tanah Aina Fahad

Diterbitkan: Rabu, 3 Disember 2014 12:56 PM

(Ubah saiz teks)

DESIRAN air terjun, siulan unggas di jalan masuk ke eko resort, Tanah Aina Fahad bukan sahaja menceritakan kisah sebuah hutan segar, namun ia juga menggambarkan sebuah pusat percutian yang bakal memberi ketenangan kepada pengunjung.

Tanah Aina - satu nama yang sudah sinonim dengan pusat percutian dan Tanah Aina Fahad ini merupakan lokasi yang keenam hasil sentuhan pemilik berjiwa alam semulajadi, Puan Sri Shariffa Sabrina Syed Akil.

Seperti pusat-pusat percutian sebelum ini, Shariffa Sabrina tetap mementingkan ciri-ciri alam semulajadi tanpa memusnahkan khazanahnya.

Seramai 20 orang wakil media diberi peluang melawat Tanah Aina Fahad baru-baru ini dan merasai sendiri pengalaman berkhemah.

Sebaik sahaja kami mencecah ke tempat ini, perasaan teruja mula dirasai.

Sambutan mesra kakitangan Tanah Aina Fahad bersama minuman menghilangkan rasa penat dan dahaga selepas lebih kurang dua jam setengah perjalanan dari Kuala Lumpur.

Tanpa membuang masa, kami terus menuju ke arah barisan khemah yang tersusun rapi, bersih dan memilih lokasi strategik untuk menjadi penginapan selama dua hari satu malam di sini.

Penulis bersama wartawan dari Kosmo dan Sinar Harian bersetuju untuk memilih khemah mengadap sungai.

Selepas itu, kami berkumpul untuk mendengar taklimat mengenai Tanah Aina Fahad ini serta ringkasan untuk program-program yang disediakan oleh pihak tuan tanah.

Pemilik tanah turut hadir berkenalan dengan rombongan media sebelum aktiviti pertama dimulakan.

Kami dibahagikan kepada lima kumpulan kecil untuk bagi memudahkan aktiviti orienteering dijalankan.

Pelbagai kerenah melucukan dapat dilihat sepanjang aktivi dijalankan memandangkan masing-masing tidak biasa menggunakan kompas.

Kumpulan penulis bersama wartawan Sinar Harian dan Kosmo menjuarai permainan ini walaupun beberapa kali melakukan kesilapan.

Namun hakikatnya, bukan menang atau kalah yang dicari, yang pasti kami semua mempelajari sesuatu yang baharu iaitu, belajar membaca kompas.

Sebaik sahaja aktiviti ini tamat, kami dibawa ke kampung berdekatan, mengenali lebih dekat lagi cara hidup di kampung.

Tanpa menghiraukan pangkat, pemilik yang semenangnya peramah tidak segan silu menunjukkan kemahiran menoreh pokok getah.

Malah kami semua berpeluang mempelajari cara yang betul menoreh pokok getah, ternyata sekali ia bukan perkara mudah, kerana memerlukan teknik yang betul.

Kami juga turut dihidangkan dengan makanan kampung seperti ubi kayu, pengat pisang dan sebagainya. 

Jelas Shariffa Sabrina, aktiviti ini tidak ada di kota raya dan beliau sememangnya suka mendalami kehidupan di kampung.

Sebaik sahaja selesai beramah mesra dengan penduduk kampung, kami pulang semula ke Tanah Aina Fahad dan saat-saat yang ditunggu tiba, terjun sungai.

Alangkah seronoknya dan masing-masing kegembiraan walaupun kesejukan air sungai itu sukar digambarkan. Pelbagai karenah dapat dilihat, ada yang menyelam, ada yang berendam, ada yang mencuci badan dengan pasir sungai yang halus dan sebagainya.

Hampir dua jam puas berendam dan masing-masing kesejukan kami kembali ke khemah untuk bersiap-siap menyambung aktiviti pada sebelah malam.

Masing-masing 'feel the moment' kerana tidak perlu berebut untuk ke tanda kerena kemudahan yang disediakan amat memuaskan. Tandas yang selesa, digambarkan dan semua berpendapat keadaan tandas seperti di hotel.

Selepas itu, pada sebelah makan sebelum jamuan makan malam bermula, kami sempat berkongsi cerita dengan pemilik tanah ini. 

Dan tidak dinafikan, selepas penat ber 'orienteering', melawat kampung dan berendam pastinya perut mula berbunyi seterusnya masing-masing menyerbu hidangan makanan yang sangat menyelerakan.

Ikan bakar, masakan barat, nasi goreng, daging bakar, buah-buahan dan sebagainya menjadi hidangan kami.

Di samping itu juga, kami diserikan dengan nyanyian karaoke oleh beberapa ahli rombongan.

Selepas masing-masing kenyang dan puas menyanyi kami bersepakat untuk lepak mengelilingi unggun api.

Malam semakin pekat, mujurlah kawasan ini dipenuhi cahaya lampu di sekitarnya. Kesejukkan malam semakin terasa dan bernasib baik unggun api mampu memanaskan badan untuk seketika.

Peluang berkumpul seperti ini digunakan sebaik-baik untuk mengenali antara satu sama lain. Masing-masing berkongsi pengalaman pahit manis sebagai wartawan dan jurugambar. 

Sebaik sahaja unggun api menjadi bara, penulis mengambil keputusan untuk kembali ke khemah memandang esok kami semua perlu bangun lebih awal.

Sebaik sahaja masuk ke khemah, badan dihempas ke tilam empuk sehingga terlupa sebenarnya berada di dalam khemah. 

Kesejukan cuaca hutan dara semakin terasa, mujurlah pihak pengurusan menyediakan selimut tebal dan mata terus diulit mimpi.

Namun beberapa jam selepas itu, penulis terjaga dari lena kerana terdengar seperti hujan lebat di luar khemah. Namun selepas beberapa minit kemudian, baharulah teringat yang khemah penulis ini berdepan sungai....sambung tidur.

Hari kedua dan terakhir di Tanah Aina Fahad diisi dengan aktiviti meredah hutan. Peluang tidak dilepaskan kerana aktiviti sperti ini sukar diperolehi.

Dalam keasyikkan melayan unggas, menyedut udara segar, tiba-tiba rombongan dikejutkan dengan jeritan salah seorang daripada kumpulan kami.
Rupa-rupanya, kawan penulis itu 'diserang' pacat. Situasi biasa ketika dihutan.

Walaupun laluan agak licin memandangkan cuaca tidak menentu, kami akhirnya tiba ke penghujung. Sedikit penat namun cukup gembira.

Selepas selesai aktiviti 'jungle trackking', keinginan kami untuk mencuba aktiviti 'tubing' tercapai.

Masing-masing bersama pelampung yang disediakan, teruja menyusuri anak sungai hingga ke perkampungan di kawasana itu. Air yang tenang, bersih membuatkan kami semua seakan tidak mahu menamatkan aktiviti ini.

Namun masa semakin suntuk dan selepas itu kami kembali ke khemah dan bersiap-siap untuk pulang.

Pengalaman berada di sini, memberi seribu satu ketenangan dan membuatkan penulis lupa seketika kepada kehidupan seharian sebelum ini yang sibuk dengan tugasan serta hiruk pikuk di kota raya.

Pastinya Tanah Aina Fahad ini akan dikunjungi lagi. Pengalaman yang tidak ada di mana-mana tempat lain.

Tanah Aina Fahad mengambil masa selama setahun untuk disiapkan bagi memastikan konsep dan fokus utama pembinaan dicapai pemilik selepas membelinya daripada seorang penduduk Kampung di Ulu Dong, Raub.

Selain cintakan khazanah alam, pengalaman mengembara ke negara orang mencetuskan idea kepada Shariffa Sabrina yang tidak kekok dengan selok-belok setiap sudut kawasan bagi memastikan konsep perkhemahan atau lebih dikenali dengan ‘glamping’ (glamour camping) mencapai objektifnya.

Lokasi perkhemahan seluas lima ekar atau 12,140 meter persegi itu terletak di kawasan Hutan Simpan Gunung Benom.

Menurut Shariffa Sabrina, 52, eko resort  yang mempunyai 20 khemah penginapan itu mampu memuatkan 150 pengunjung dalam satu masa.  Ia bukan sahaja sesuai  untuk individu, tetapi turut menerima kumpulan yang ingin menjalani sebarang kursus motivasi (team building)  atau ’family gathering’ .

Paling menarik, khemah yang disediakan mampu memuatkan empat orang dan ianya bukan sekadar khemah biasa kerana dilengkapi dengan katil bujang, kipas, tuala mandi, penyangkut baju dan cermin bagi memastikan keselesaan sepenuhnya kepada pengunjung.

Antara khemah yang disediakan di Tanah Aina Fahad.


Apa yang pengunjung perlu bawa hanyalah barang-barang peribadi sahaja.

“Eko resort ini lain dari lokasi percutian sebelum ini kerana saya mahu pengunjung merasai sendiri kehidupan di hutan semulajadi, sambil menikmati kemudahan yang disediakan,” ujar pemilik Tanah Aina.

Memahami keselesaan yang diperlukan oleh pengunjung, pemilik eko resort tersebut turut menyediakan surau, dewan (dalam proses pembinaan) dan bilik mandi yang selesa.

Bagi disesuaikan dengan konsep semulajadi pula,  Shariffa Sabrina mementingkan ciri-ciri organik bagi barangan mandian yang disediakan.

Selain itu, Tanah Aina Fahad turut menyediakan kemudahan bagi aktiviti lasak seperti cabaran ‘flying fox’, mengharungi sungai bersih dengan aktiviti ‘tubing’, menyusuri hutan dara yang penuh dengan  pelbagai tumbuhan semulajadi melalui program ‘jungle tracking’, melawat kehidupan kampung berdekatan, ‘berbecue’, unggun api dan mandi sungai.

Untuk pengetahuan pembaca, hanya dengan bayaran RM100, pengunjung boleh menikmati percutian selama dua hari satu malam dan harga tersebut tidak termasuk dengan pakej aktiviti serta penyewaan peralatan memasak. Pengunjung dibenarkan memasak dengan bahan-bahan masakan disediakan sendiri.

Selain Tanah Aina Fahad, terdapat lima lagi lokasi percutian di bawah kendalian Tanah Aina Sdn. Bhd. iaitu Tanah Aina Farrah Soraya (Raub), Tanah Aina Farouq (Mukim Tras, Raub), Tanah Aina Fareena (Bentong), Tanah Aina Farhana (Desaru) dan sebuah Restoran Tanah Aina Azareena di Bentong.

Bagi anda yang inginkan maklumat lanjut boleh menghubungi Juliet 60 16 6090 493 atau Neni at 010-2265 815 atau email di booking@tanah-aina.com. 

Tags / Kata Kunci: Tanah Aina , Tanah Aina Fahad , Pahang

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan