suria

TPM Bangunkan CSI Halal Pertama Di Dunia

KES jenayah terutama pembunuhan yang berjaya diungkai oleh pasukan CSI (Crime Scene Invistigation) seperti yang ditonton sirinya di kaca televisyen cukup mengagumkan.


Setiap bahan bukti dari sekecil-kecil hingga sebesar-besarnya dicari dengan cukup teliti mengikut standard yang tinggi hingga menjadi satu dokumen yang cukup kukuh untuk membawa mereka yang terlibat ke muka pengadilan.

Kaedah yang sama juga dilakukan Polis Diraja Malaysia melalui unit CSI atau Forensik yang ditugas menyelesaikan setiap kes jenayah berat termasuk pembunuhan berprofil tinggi dengan tidak disangkal kreadibiliti mereka.

Konsep CSI itu menjadi sandaran kepada Taman Teknologi Malaysia (TPM) untuk membangunkan CSI (Contamination Scene Investigation) Halal yang pertama di Malaysia dan dunia bagi merungkai kes sijil halal yang didapati positif berlaku pencemaran DNA babi dalam produk.

KEYAKINAN KEPADA RAKYAT

Melihat senario di Malaysia, isu halal masih menjadi perkara hangat yang diperbincangkan dalam kalangan masyarakat. Pastinya masih lagi segar dalam ingatan umat Islam di negara ini mengenai beberapa isu membabitkan produk yang diragui status halalnya.

Antara yang paling menarik perhatian ialah coklat Cadbury hingga menimbulkan kekeliruan dalam masyarakat mengenai status halal yang dimilikinya.

Dalam kes itu, keputusan analisis Kementerian Kesihatan bagi dua sampel coklat keluaran Syarikat Cadbury Confectuonary (M) Sdn Bhd iaitu Cadbury Coklat Susu dan Kacang Hazel didapati positif mempunyai Asid Deoksiribonukliek (DNA) babi.

Bagaimanapun, keputusan itu disangkal melalui analisis Jabatan Kimia, iaitu makmal yang diperakui Jabatan Kemajuan Agama Islam (Jakim) yang mengeluarkan status halal setelah mendapati tiada DNA babi dalam kedua-dua produk berkenaan.

Sudah pasti, keputusan berbeza ini membangkitkan persepsi negatif dalam kalangan masyarakat kepada pihak berwajib iaitu Jakim yang mengeluarkan sijil halal serta industri iaitu syarikat yang terbabit.

Namun, persepsi itu boleh diatasi sekiranya CSI Halal dapat digerakkan bagi merungkai kes itu untuk mencari kebenaran adakah produk itu benar-benar positif DNA babi atau sebaliknya serta mencari di mana punca sebenar sesuatu produk itu didapati positif DNA babi.

Sudah tiba masanya Malaysia mempunyai CSI halal bagi membantu pihak berwajib seperti Jakim membuat keputusan yang tepat dan dalam masa yang sama memberi manfaat kepada pihak industri, menurut Pengurus TPM Biotech,, Nor Amin Mohd Noor.

Ini bagi membolehkan syarikat yang terbabit membersihkan nama mereka dengan mencari punca sebenar sama ada ia berlaku disebabkan sabotaj, kesilapan fomula atau berlaku pencemaran dalam produk yang dijual di pasaran.

"Sekiranya dari laporan CSI yang dibuat didapati bersalah, pihak berwajib boleh mengambil tindakan yang sewajarnya dan masyarakat Islam akan merasa lebih yakin kerana terdapat satu siasatan yang menyeluruh ke atas produk dan syarikat itu", katanya kepada Bernama.

PENYESIATAN MENYELURUH

Merangka penubuhannya sejak lebih empat tahun lepas, menurut Nor Amin beliau mendapat idea itu daripada siri CSI yang ditonton di televisyen.

Melihat bagaimana sesuatu kes itu dibongkar dan diselesaikan dengan cukup teliti membuatkan beliau terfikir sesuatu kaedah yang sama bagi menyelesaikan kes membabitkan halal.

Beliau yang berpengalaman luas dalam analisis makmal halal, kemudian merangka satu mekanisme yang boleh dijadikan panduan dalam siasatan CSI Halal.

Apabila sesuatu produk itu didapati positif mempunyai DNA babi, kumpulan CSI Halal boleh digerakkan menjalankan siasatan dengan melihat dari pelbagai sudut.

Antara perkara utama yang akan dicari dalam siasatan CSI Halal ialah mencari punca sesuatu produk itu didapati positif mempunyai DNA babi.

"Tiga elemen itu sabotaj, masalah di peringkat fomulasi ataupun terdapatnya pencemaran dalam produk. Siasatan pula akan merangkumi semua peringkat secara terperinci dan menyeluruh", katanya.

Mengambil contoh unsur sabotaj, antara yang akan dilihat ialah dari mana sample itu diambil, siapa yang menghantar sample dan siapa yang mengambil sample itu untuk diuji.

Jika dari sudut fomulasi pula, katanya, akan melihat sama ada syarikat itu mempunyai komuniti halal atau tidak kerana sekiranya mempunyai komuniti halal sudah pasti setiap bahan akan ditapis dan dipantau status kehalalannya sebelum memasuki kilang.

Jika tidak mempunyai komuniti halal, pakar dalam bidang fomulasi akan menjalankan siasatan terperinci setiap bahan bagi adunan yang diguna.

PENCEMARAN

Namun, bahagian yang paling mencabar ialah sekiranya didapati positif disebabkan pencemaran. Ia memerlukan kepakaran banyak pihak untuk mengesan dari mana punca pencemaran itu diperoleh, katanya.

"Seperti juga siasatan ke atas satu kes pembunuhan. Pastinya ketika pihak Forensik menemui mayat, belum dapat gambaran bagaimana kes itu berlaku dan di mana mangsa dibunuh. Ia memerlukan siasatan terperinci dengan melihat pelbagai kemungkinan", katanya.

Begitu juga siasatan kes halal, pelbagai kemungkinan akan dilihat seperti pencemaran di luar kawasan kilang terutama lori yang digunakan untuk menghantar produk itu.

"Semuanya akan diambil kira. Siapa yang bawa lori tersebut, siapa pemiliknya. Sebelum menghantar produk itu adakah pernah diguna untuk produk tidak halal yang mempunyai DNA babi. Jika ada, adakah ia disamak mengikut cara yang betul.

"Ia akan merangkumi perkara yang kecil hingga yang paling besar", katanya.

Selain di luar kawasan kilang, CSI Halal juga akan melihat kemungkinan berlaku di kawasan penyimpanan seperti gudang,stor atau mungkin disebabkan pembungkusan yang tidak berkualiti hingga membolehkan DNA babi melekat.

Setelah semua keputusan dari semua bahagian yang disiasat negatif, akhirnya CSI Halal akan masuk dan membuat pemeriksaan di makmal yang menjalankan analisis, yang menemui DNA babi dalam produk itu.

Tujuannya ialah untuk mengetahui apakah prosedur yang dilakukan ketika menjalankan analisis itu mengikut standard yang betul dan dilakukan oleh mereka yang benar-benar terlatih.

Apakah berlaku pematuhan standard operasi ketika menjalankan analisis itu. Semuanya akan diperincikan bagi mencari jawapan bagi setiap persoalan sehingga satu rumusan dapat diperoleh, katanya.

"Pemeriksaan itu merangkumi banyak sudut sehingga siasatan lengkap untuk diserahkan kepada pihak berwajib. Dengan adanya laporan ini, syarikat-syarikat dapat mempertahankan diri mereka yang kemungkinan tidak bersalah atau disabotaj", katanya.

KEKANGAN TPM

TPM mempunyai makmal sains halal yang lengkap dengan berkemampuan mengendalikan lima kaedah analisis halal iaitu melalui ujian DNA, ujian ke atas kandungan alkohol, 'polipeptida' untuk produk berasaskan gelatin dan ujian ke atas 'trigliserid' - bagi pengemulsi.

Selain itu analisis atas bahan ester metil asid lemak bagi produk berasaskan minyak dan lemak, serta menawarkan kit ujian pesat memeriksa makanan dalam tin dan makanan haiwan.

Namun, tenaga pakar yang agak terhad iaitu hanya lapan orang menjadi kekangan kepada Makmal Sains Halal ini untuk digerakkan sepenuhnya sekiranya terdapat permintaan daripada pihak berwajib atau pihak tertentu untuk menyiasat melalui CSI Halal.

Mohd Nor Amin berkata, Makmal Sains Halal TPM tidak boleh bergerak sendiri, sebaliknya memerlukan kerjasama kepakaran daripada institusi dan pihak lain terutama kepakaran dalam beberapa bidang yang berkaitan dalam siasatan antaranya pengangkutan, dalam bidang fomulasi dan bidang polisi.

Selain itu, Standard Operasi juga perlu diwujudkan di setiap peringkat siasatan bagi memudahkan anggota yang menjalankan siasatan, katanya.

"CSI Halal adalah satu perancangan besar yang membabitkan banyak pihak. TPM telah mempunyai keseluruhan konsep itu, cuma pengisian di setiap point-point dalam siasatan yang memerlukan kepakaran pihak lain.

"Kita telah menerima maklum balas positif dan sudah ada pihak yang menyatakan persetujuan untuk bekerjasama", katanya yang menjangkakan tempoh lima tahun bagi melengkapkan CSI Halal di Malaysia.

Buat masa ini, perkhidmatan yang boleh diberikan ialah siasatan di peringkat asas sebelum mengorak langkah di peringkat lebih jauh.

"Masih banyak pihak yang tidak nampak lagi apa yang CSI Halal boleh berikan untuk membantu pihak berwajib dan industri.

"Sepertimana CSI bagi kes pembunuhan yang kehadirannya penting bagi merungkai setiap persoalan hingga menemukan jawapan, begitu juga CSI Halal yang dapat merungkai kes yang melibatkan produk halal", katanya.

KEPAKARAN TPM DIIKTIRAF

Bukan sahaja di Malaysia, Makmal Sains Halal TPM turut melebarkan sayap ke negara luar seperti Korea, Brunei dan China bagi memberi kepakaran mereka.

Pengurus Besar Bahagian Pembangunan Perniagaan dan Perkhidmatan Korporat TPM, Zulkifli Fitri Ismail berkata industri halal yang sangat luas di seluruh dunia menyebabkan banyak negara mula melihat kepentingannya.

"Mereka memilih Malaysia kerana menyakini kepakaran yang ada kerana negara kita telah terlibat dalam pensijilan halal sejak lama.

"Kita dijemput membantu China bagi membangunkan Taman Teknologi Halal mereka, begitu juga di Korea yang meminta kepakaran kita untuk menubuhkan Makmal Sains Halal.

"Di Malaysia, kepakaran Makmal Sains Halal TPM juga diperakui dengan bekerjasama rapat dengan Jakim dan rakan-rakan industri", katanya.

Peruntukan sebanyak RM6 juta pada tahun lepas digunakan sepenuhnya bagi membangunkan Makmal Sains Halal secara menyeluruh.

"Sekarang kita sedang bangunkan teknologi untuk mengesan sama ada daging yang disembelih dan dijual di pasar dan pasar raya mengikut syariah atau tidak.

"Ini berdasarkan kebimbangan dan banyak isu berbangkit tentang isu penyembelihan yang diragui sejak kebelakangan ini", katanya. - Bernama


CSI, Halal, TPM

Artikel Lain