Kisah Hafizh Syahrin 'Si Ikan' Dan Litar Sepang

Diterbitkan: Isnin, 20 Oktober 2014 5:55 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Kali pertama penulis bertemu anak muda ini di Grand Prix San Marino pada September lepas di Itali, timbul rasa pelik melihat lambang seekor ikan dengan kapsyen "Pescao" di dinding trak pasukannya.

Penulis cuba mengingati jika ada mana-mana jenama motorsikal atau alat ganti motorsikal yang menggunakan nama ini tetapi tidak ada pula yang terlintas dalam fikiran.

Tambahan pula, bila Hafizh Syahrin Abdullah, 20, menghulurkan kad nama beliau, imej dan kapsyen sama terpampang penuh di belakang kad. Gambar ikan berwarna biru meliuk dengan kapsyen, seperti ada sesuatu rahsia di sebaliknya.

"Itulah nama timang-timangannya", kata Barry Leong, pengurus pasukan motorsikal kategori Moto2 negara, Petronas Raceline Malaysia yang baru menyertai kategori ini bermula tahun ini.

Perkataan "pescao" mempunyai maksud yang sama dengan perkataan "pescado" dalam Bahasa Sepanyol yang bermaksud "ikan" dalam Bahasa Melayu.

Apa kaitan imej ikan dengan pelumba harapan negara ini?

SI IKAN YANG SUKA HUJAN

Hafizh mendapat gelaran "Si Ikan" sebaik menyertai perlumbaan kategori Moto2 siri CEV di Sepanyol pada 2012.

"Nama saya Hafizh, mereka (orang Sepanyol) susah nak sebut nama saya, nak keluar kata 'Ha' itu macam susah sangat, lalu mereka panggil saya 'fizh' sahaja".

"Nak jadi cerita, musim pertama pada perlumbaan pusingan pertama, cuaca hujan. Saya memang suka hujan. Namun saya dapat tempat kelima. Terus melekat perkataan 'fish' sebab dalam Bahasa Inggeris fish bermaksud 'ikan' kemudian jadi 'pescao' sebab itu maksudnya dalam Bahasa Sepanyol", cerita beliau diselangi ketawa.

Ternyata, cerita 'Si Ikan' dan hujan tidak tamat di situ sahaja.

Hafizh ketika beraksi di litar perlumbaan.

Pada tahun yang sama, Hafizh mendapat peluang berlumba di GP Sepang menggunakan tiket 'wildcard' dalam kategori Moto2.

"Wildcart di Sepang, hujan, saya semangat, tak sangka dari petak 27 boleh kejar sampai tempat pertama, boleh pula ketuai kelompok depan, dan boleh jarakkan kedudukan daripada pelumba lain".

"Tak lama lepas itu, hujan berhenti sekejap, kemudian hujan semula. Waktu itu tayar saya dah habis makan (haus), terpaksa bawa perlahan, dah macam bawa bot atas litar, pelumba lain dapat pintas saya".

"Elok sahaja lepas dipintas, penganjur naikkan bendera merah (tamatkan perlumbaan akibat cuaca). Kalaulah bendera merah naik awal sedikit, saya dah dapat kedudukan 'podium first'. Tapi tiada nasib, dapat tempat ketiga sahaja", jelasnya dengan bersemangat. 

MENABUNG UNTUK MAIN MOTOR

Anak sulung daripada tiga adik beradik ini punya cerita menarik cara beliau mula menceburkan diri dalam bidang permotoran yang membawa beliau hingga ke tahap sekarang.

Waktu berumur antara tujuh hingga lapan tahun, Hafizh sering membantu ayah di bengkel motor bila pulang dari sekolah. Selalunya Hafizh akan ditugaskan membeli air minuman. Dengan pengetahuan ayah, wang baki akan disimpan sebagai tabungan.

"Bila duit dah cukup, saya ajak kawan ayah teman saya ke litar motosikal poket di kompleks membeli-belah Galaxy Ampang. Sekali main, RM20 untuk 15 minit. Kalau ada duit lebih, saya akan main beberapa kali hingga habis wang yang ada", kata Hafizh.

Situasi ini berlaku tidak lama. Selepas sebulan, ayah mendapat tahu dan terus menemui pengusaha litar. Bila diberitahu yang Hafizh telah berbelanja hampir RM400 semata-mata untuk bermain motor, ayahnya menghalang beliau daripada ke sana lagi.

Rupa-rupanya ayah ada perancangan tersendiri. Tidak lama selepas kejadian itu, Hafizh diberi satu kejutan besar.

"Ayah paksa saya ikut beliau ke kedai alat ganti motor. Saya yang masih merajuk dengan ayah, ikut sahaja. Bila sampai ke kedai kedua, ayah pegang sebuah motor, saya tengok sahaja. Kemudian beliau bawa motor itu, letak dalam kereta, dan beritahu, motorsikal itu untuk saya".

Sejak hari itu, Hafizh berlatih bersungguh-sungguh, hingga membawanya ke beberapa kejohanan motorsikal poket di seluruh negara dan mula mencipta nama hingga diberi gelaran 'Raja Motorsikal Poket'.

BERTEMU BARRY LEONG

Hafizh, Barry (belakang) dan ketua mekanik, Albert Floriach sedang meneliti trek sebelum perlumbaan.

"Saya sedang melatih anak saya di kawasan Bukit Jalil bila saya dengar deruman motorsikal poket Hafizh yang secara kebetulan berlatih di kawasan sama", jelas Barry Leong, menceritakan detik pertemuannya dengan Hafizh pada 2007.

Tertarik dengan kelincahan Hafizh mengawal motorsikal, Barry kemudian menawarkan sesi ujian, yang digunakan sepenuhnya Hafizh, untuk menempatkan dirinya dalam pasukan.

Satu demi satu kejayaan dicapai oleh Hafizh melalui perlumbaan Cub Prix, 600cc dan kategori sampingan, Harley Davidson hinggalah hari ini Hafizh menjadi tumpuan pelbagai pihak walaupun baru musim pertama menyertai Grand Prix bagi kategori Moto2.Hafizh menambah kata, sokongan yang diberi Petronas adalah satu sebab utama beliau boleh mencapai tahap yang disandang sekarang.

Menyifatkan tajaan Petronas melebihi nilai wang ringgit yang diberi, buat Hafizh, semangat kekeluargaan juga amat berharga.

"Hafizh adalah seorang pelumba yang berbeza. Beliau tidak kenal erti kalah, tidak kenal erti penat dan semangat juangnya sangat kuat. Walaupun ini adalah kali pertama beliau di sini (Moto2) namun beliau sudah mencipta beberapa keputusan yang mengejutkan", kata Barry.

Meskipun baru setahun jagung berlumba dalam kategori ini, Hafizh berjaya mendapat tempat ke-10 teratas pada empat pusingan iaitu di litar Assen (Belanda), Indianapolis (USA), Silverstone (Britain) dan Motegi (Jepun).

Beliau juga kini menduduki tempat ke-18 keseluruhan selepas 16 daripada 18 pusingan, adalah satu-satunya pelumba Asia dalam senarai 20 terbaik kejuaraan setakat ini.

"Saya berjanji akan memberi persembahan terbaik sewaktu di Sepang nanti (25-26 Okt) buat negara, penyokong, pasukan dan penaja saya", janji Hafizh.

Tags / Kata Kunci: Hafizh Syahrin Abdullah , Pescao

iklan

Video

Khamis, 19 Oktober 2017 9:00 AM

Tudiaaa... Fesyen Mengancam Selebriti ASK2017

Khamis, 19 Oktober 2017 8:30 AM

Keringat Wanita Waja

Rabu, 18 Oktober 2017 10:52 AM

"Saya Bukan Ustaz" - Opick

Selasa, 17 Oktober 2017 3:37 PM

Siapa Haida Hafiz?

Selasa, 17 Oktober 2017 2:49 PM

Video Majlis Resepsi 'Tycoon' Air Asia Tular

Selasa, 17 Oktober 2017 2:24 PM

Sabar Kakak, Benda Boleh Bincang...

Selasa, 17 Oktober 2017 9:00 AM

Ferhad Nak Berdangdut!

Isnin, 16 Oktober 2017 1:17 PM

Macam Mana Boleh Tersepit?

Kolumnis

iklan

Iklan