Bajet 2015 Akan Terus Meningkatkan Asas Ekonomi Malaysia

Diterbitkan: Khamis, 9 Oktober 2014 2:28 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Bajet 2015 yang akan dibentangkan pada Jumaat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, akan meneruskan usaha penyepaduan fiskal bagi mengukuhkan kedudukan kewangan, dan pada masa yang sama memberi tumpuan ke atas pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (CBP) pada April tahun depan.


Penganalisis yakin pembentangan bajet berdisiplinkan fiskal bajet terakhir dalam Rancangan Malaysia ke-10 (RMK-10) akan mengekalkan pertumbuhan dan menarik Malaysia keluar daripada sebarang penurunan penarafan.

Najib yang juga Menteri Kewangan, akan memastikan Bajet 2015, seperti rangka tindakan kewangan yang lain, mesra perniagaan dan mesra rakyat.

Justeru, antara cadangan dalam Bajet 2015 mungkin termasuk pengumuman berkaitan semakan semula ke atas mekanisme subsidi bahan api, pengurusan hutang kerajaan dan insentif untuk perbankan Islam dan pasaran modal.

Perdana Menteri juga dijangka mengumumkan usaha bagi menangani kekurangan rumah mampu milik.

Berkemungkinan juga cadangan peruntukan dana pembangunan yang lebih besar untuk Sabah dan Sarawak serta beberapa projek infrastruktur kereta api selain langkah-langkah beorientasikan rakyat dalam menangani peningkatan kos hidup.

Insentif baharu bagi merangsang pelaburan dan menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan yang lebih kompetitif juga merupakan usaha yang tepat menjelang penubuhan Komuniti Ekonomi Asean (AEC).

Bagi CBP, Najib mungkin menyediakan senarai barangan berkadar sifar, dengan semua sistem cukai pengunaan itu sudah bersedia dilaksanakan pada 1 April tahun depan.

Banyak yang sudah dilakukan oleh Najib, Kementerian Kewangan dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia bagi menangani kebimbangan bahawa CBP akan menaikkan harga barangan dan perkhidmatan.

CBP sebaliknya merupakan sistem percukaian yang lebih cekap, seperti yang sudah dibuktikan di Singapura, New Zealand, Australia dan Afrika Selatan, dengan peningkatan kutipan hasil membolehkan kerajaan menurunkan cukai pendapatan individu dan menaikkan cukai korporat.

Kerajaan akan melaksanakan CBP pada kadar tetap enam peratus menggantikan Cukai Jualan dan Perkhidmatan sebanyak 16 peratus.

Perdana Menteri dalam ucapan Bajet tahun lepas, menyebut bahawa semasa tempoh peralihan pelaksanaan CBP, kerajaan akan menyediakan pelbagai bentuk bantuan, termasuk bantuan tunai dan pengurangan cukai pendapatan individu.

Sudah pasti akan berlaku beberapa 'sentuhan akhir' ke atas CBP dalam Bajet 2015, kata Maybank Investment Bank (Maybank IB), walaupun ia mungkin 'bukan tumpuan.'

"Khususnya kami menjangkakan melihat beberapa perubahan dalam senarai barangan berkadar standard, berkadar sifar dan dikecualikan CBP hasil maklum balas daripada industri, perniagaan dan rakyat," katanya.

Ucapan bajet juga dijangkakan menggesa perniagaan yang belum mendaftar supaya berbuat demikian sebelum tarikh akhir pada 31 Dis, 2014, dan tiada lanjutan lagi diberikan. Penaliti tegas akan dikenakan terhadap mereka yang gagal berbuat demikian.

Ini disebabkan tahap pendaftaran CBP setakat ini hanya membabitan 53,400 perniagaan sehingga 25 Sept, 2014 berbanding sasaran rasmi antara 123,000 dan 140,000 menjelang akhir 2014.

Terdapat 300,000 perniagaan dengan hasil RM0.5 juta dan ke atas yang sepatutnya mendaftar untuk CBP.

Selain itu, kerajaan juga dijangkakan mengumumkan perkara berkaitan CBP seperti meningkatkan kempen awam, mengeluarkan panduan harga pengguna dan meningkatkan pengauditan cukai dan penguatkuasaan, selain pemantauan harga.

Ada juga harapan dari segi pelepasan cukai dalam bejet bagi mengurangkan impak jangka pendek regim percukaian baharu itu.

Pemberian tunai Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang disasarkan kepada golongan isi rumah berpendapatan rendah juga dijangka dinaikkan pada 2015.

Bagi perusahaan kecil dan sederhana, tumpuannya adalah ke atas menangani kos yang lebih tinggi dan pertumbuhan lemah menerusi peningkatan produktiviti selain menggalakkan keusahawanan dalam kalangan belia.

Defisit bajet Malaysia dijangkakan kurang daripada tiga peratus daripada keluaran negara kasar pada 2015 bebanding sasaran 3.5 peratus pada 2014.

Kesimpulannya, pentadbiran Najib akan terus mencadangkan perubahan cukai yang menyumbang kepada peluasan ekonomi, menjana pertumbuhan pendapatan dan yang lebih penting menaikkan taraf hidup rakyat.


iklan

Kolumnis

iklan

Iklan