Jemaah Haji Sebelum 1970-an Hadapi Lebih Banyak Cabaran

Diterbitkan: Jumaat, 12 September 2014 7:20 PM

(Ubah saiz teks)

MAKKAH: Jemaah haji sebelum 1970-an menghadapi lebih banyak cabaran untuk menunaikan rukun Islam kelima itu kerana perlu menaiki kapal laut yang memakan masa 15 hari perjalanan dari Malaysia ke Arab Saudi, dengan pelbagai kemungkinan boleh terjadi sepanjang pelayaran itu.


Mereka juga perlu bertolak sebulan lebih awal iaitu pada  Ramadan dan menyambut Aidilfitri di Tanah Suci, selain Aidiladha pada musim haji, kata bekas pembantu muassasah Ahmad Kamil Abdul Rahman, 64, kepada wartawan Malaysia yang berkunjung ke rumahnya di Al-Rusaifah, kira-kira dua kilometer dari Masjidilharam di sini baru-baru ini.

Ahmad Kamil, yang datang ke sini untuk menyertai ibu bapanya yang menetap di sini semasa berumur sembilan tahun pada 1959 berkata, berikutan kesukaran itu, jemaah haji ketika itu amat fokus dan disiplin dalam mengerjakan ibadah haji.

"Orang dulu sentiasa beramal ibadah terutama di Masjidilharam, sekarang ini jemaah haji banyak dipengaruhi oleh suasana semasa. Ketika di Tanah Suci pun boleh dok ikut keputusan pilihan raya di tanah air," katanya yang telah lebih 30 tahun bekerja dengan seorang Sheikh Arab dalam mengendalikan jemaah haji, terutama warga Malaysia, sejak berusia 16 tahun.



Ahmad Kamil, yang berasal dari Bukit Mertajam, Pulau Pinang dan telah menetap di sini lebih lima dekad berkata, pada masa dulu, jemaah haji jika diajak panjat Jabal Nur (ketinggian 640 meter) atau Jamal Thur (1,405 meter) akan turut serta walaupun warga emas.

Kini ramai jemaah Malaysia hanya mampu melihat dari kaki kedua-dua bukit itu kerana tidak digalakkan mendaki berdasarkan faktor keselamatan, kata bapa kepada sepasang cahaya mata itu.

Di Jabal Nur terletaknya Gua Hira, tempat Nabi Muhammad SAW menerima wahyu pertama menerusi malaikat Jibril iaitu Iqra, manakala sebuah gua di Bukit Thur, merupakan tempat Nabi Muhammad SAW dan sahabatnya Saidina Abu Bakar as-Siddiq bersembunyi daripada orang-orang Quraish, semasa hendak berhijrah ke Madinah.

Cucu saudara kepada bekas perdana menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi itu tidak dapat melupakan perjalanan pertamanya ke Makkah, yang menyaksikan bukan sahaja ada jemaah yang meninggal dunia dalam kapal, tetapi juga ada yang bertemu jodoh dan berkahwin semasa dalam pelayaran tersebut.

Sementara perjalanan dari Jeddah ke Makkah pada kekika itu pula mengambil masa tiga hari berbanding dua jam sekarang, kata Ahmad Kamil.

Beliau berkata, dulu selain menjadi mutawif, beliau juga perlu membawa jemaah haji ke Arafah dan Mina dengan kereta.

Ahmad Kamil berkata, pada masa itu beliau dibayar 100 Saudi Riyal (SR) atau kira-kira RM88 untuk setiap seorang jemaah haji yang mahu dikendalikan oleh muassassah tempat beliau bekerja.

Beliau selalu berulang alik ke Malaysia untuk mendapatkan jemaah haji untuk majikannya itu, dan setiap Sheikh Haji akan mengendalikan antara 200 hingga 300 jemaah haji.

Beliau seronok bekerja dengan Sheikh Arab itu kerana beliau dilayan amat baik, walaupun semasa bekerja mereka bekerja sebagai majikan dan pekerja , tetapi sebaik waktu pejabat tamat, hubungan mereka berubah sebagai seorang kawan.

Pengalaman tiga dekad dalam bidang pengelolaan haji, telah memberinya banyak pengajaran bukan sahaja cara untuk mengendalikan pelbagai ragam jemaah, tetapi juga menjalankan pelbagai tanggungjawab lain, katanya.

Beliau berkata jemaah haji masa dahulu amat berpegang kepada janji, "jika 30 orang berjanji untuk mengerjakan umrah, kesemua mereka akan menunggu saya keesokkannya untuk menaiki bas yang saya sewa untuk mengerjakan umrah.

"Tetapi kini berbeza, malam 30 orang berjanji, esok pagi hanya 10 orang sahaja yang muncul," katanya dan menurutnya beliau terpaksa menanggung kos sewa bas untuk 20 lagi jemaah yang tidak hadir.

Ahmad Kamil yang dibesarkan berhampiran dengan Masjidilharam telah berpindah ke tempat penginapannya yang baharu di Al-Rusaifah berikutan projek pembesaran masjid itu yang dilakukan oleh kerajaan Arab Saudi.

Katanya, semasa beliau datang pada 1950-an, beliau tidak tahu berbahasa Arab, tetapi hubungannya dengan kanak-kanak yang tinggal di sekeliling kawasan Masjidilharam telah membantunya dengan pantas menguasai bahasa itu.

Beliau berkata, apabila Tabung Haji ditubuhkan pada 1970-an, tanggungjawab muassassah persendirian ini semakin terhakis dan kini urusan haji jemaah dari Asia Tenggara di Makkah dikendalikan oleh sebuah badan Muassasah Asia Tenggara.

Setelah melibatkan diri dalam bidang pengelolaan jemaah haji yang begitu lama, beliau turut mempunyai ramai rakan yang dibinanya hasil daripada pertemuan semasa mengendalikan mereka, katanya.

Ahmad Kamil yang berkahwin dengan Sharifah Bee Che Din, 53, hingga kini tidak pernah sunyi daripada menerima kunjungan pelbagai lapisan masyarakat termasuk Sultan dan pemimpin negara.


iklan

Video

Isnin, 25 September 2017 9:00 AM

#BiziBody: Nadia Brian Bawa 'Beg Doraemon'

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Kolumnis

iklan

Iklan