suria

Teksi Buku Tawar Ketenangan Di Teheran

Mehdi (kiri) dan isterinya, Sarvenaz di sebelah teksi buku yang semakin mendapat perhatian ramai.
TEHERAN: Saban hari pasangan suami isteri, Mehdi Yazdany dan Sarvenaz Heraner akan menelusuri jalan-jalan di ibu kota Iran untuk mencari sasaran yang berpotensi.

Jika ada seseorang yang dilihat boleh didekati, mereka akan memberhentikan kereta dan menghampiri 'sasaran' itu.

"Anda banyak membaca?" tanya Sarvenaz kepada seorang wanita bertudung hitam yang sedang menunggu teksi di tepi jalan.

Samira Chigani, 26, mengangguk.

Dia kemudian diperkenalkan kepada 'bilik baca bergerak' hasil ilham Mehdi dan isterinya itu.

Selain dilengkapi banyak bahan bacaan, pengguna juga boleh mendapatkan khidmat pembantu merangkap pustakawan.



Ada bermacam-macam buku di dalam teksi itu.

Daripada "The Metamorphosis" karya Franz Kafka's hingga "Pulp" karangan Charles Bukowski. Tidak ketinggalan, bahan bacaan hasil tulisan seniman Iran sendiri, termasuk Nader Ebrahimi, Zoya Pirzad dan Sohrab Sepehri.

Lebih 40 judul dimuatkan dalam kereta itu dan semuanya disusun rapi pada rak di bahagian belakang kenderaan berkenaan.

Disebabkan ruang terhad, Mehdi dan Sarvenaz, 41, memanfaatkan sepenuhnya kemudahan yang ada dalam kereta mereka.

Dapat dilihat pada papan pemuka, bonet dan poket pada pintu kereta, sejumlah buku juga disusun untuk dipilih pelanggan.



"Jika anda menaiki teksi kami, anda boleh membeli buku yang anda gemari," kata Sarvenaz.

Mehdi, 35, tersenyum lebar ketika ditanya jika teksinya dilengkapi penyaman udara yang mencukupi.

Penumpang juga boleh menikmati alunan irama klasik, seperti Mozart serta gabungan lagu timur atau barat.

Kata Mehdi, penumpang dapat melupakan seketika kesesakan lalu-lintas di Teheran ketika berada di dalam teksinya.

Samira adalah seorang daripada ribuan penumpang yang pernah menggunakan perkhidmatan teksi unik Mehdi sejak dia memperkenalkan kenderaan unik itu lima tahun lalu.


Kata Mehdi, projek itu bermula secara kebetulan.

"Ada dua penumpang menaiki teksinya pada suatu hari hujan.

"Untuk menghabiskan masa, mereka berbincang mengenai buku yang kebetulan ada dalam teksi saya, selain memuji muzik Mozart yang saya pasang," katanya.

Menurut Mehdi, isterinya penggemar buku kerana bekerja sebagai guru bahasa Inggeris, manakala dia pula tenang apabila mendengar lagu klasik.

Apabila tiba di tempat yang dituju di pinggir Tehran, kedua-dua penumpang itu enggan turun.

Ketika itu juga, kata Mehdi, dia tahu ada sesuatu yang boleh dilakukan pada teksinya.

Tehran didiami kira-kira 9 juta penduduk dan pada kebanyakan masa, trafiknya sesak.

Warganya juga ramai tertekan dengan keadaan semasa, termasuk ekonomi yang kurang menyenangkan akibat sekatan antarabangsa.

Kata Mehdi, dia dan Sarvenaz terfikir untuk memberikan sedikit kelegaaan kepada penduduk Tehran itu sepanjang tempoh berada dalam teksi mereka.

"Kami juga mahu generasi muda sedar bahawa apa saja yang kita impikan, boleh dicapai," katanya. 

Iran, teksi, perpustakaan

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain