Kesederhanaan Najib Kunci Kejayaan Operasi MH17

Diterbitkan: Khamis, 24 Julai 2014 11:40 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Tidak seperti tragedi MH370 pada Mac tahun ini, pegawai Malaysia kali ini bertindak lebih berhati-hati dalam mengendalikan kes pesawat MH17, yang dipercayai ditembak dan terhempas di timur Ukraine, 17 Julai lalu.


Belum reda dengan tragedi kehilangan MH370, Malaysia sekali lagi menghadapi satu lagi tragedi udara yang amat memilukan. Pesawat MH17 dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur membawa seramai 298 penumpang dan anak kapal dipercayai ditembak di wilayah yang dikuasai pihak pemisah yang pro-Rusia.

Sejak awal lagi Malaysia mengambil tanggungjawab sepenuhnya dalam usaha mendapatkan mayat mangsa, rakaman suara juruterbang dan kotak hitam memandangkan pesawat malang itu adalah milik Malaysia.

Keadaan selepas pesawat itu terhempas begitu membinggungkan. Pegawai Malaysia mahupun antarabangsa tidak dibenarkan memasuki kawasan tragedi itu kerana ia dikawal oleh pihak pemisah.

Masa begitu berharga dan pasukan penyelamat perlu bergerak pantas membawa keluar mayat mangsa dan kotak hitam, dan memulakan penyiasatan bagi mengetahui punca pesawat itu terhempas.

Amerika Syarikat (AS), Australia dan Belanda dengan lantang meminta Rusia memberi jaminan agar pihak pemisah di Ukraine membenarkan laluan kemasukan yang selamat bagi pasukan penyiasat Malaysia dan antarabangsa di tempat kejadian.




Terdahulu, Presiden AS, Barrack Obama menyalahkan pihak pemisah yang didokong oleh Rusia sebagai pihak yang bertanggungjawab atas apa yang berlaku kepada pesawat berkenaan sedangkan Presiden Rusia, Vladimir Putin menyangkal tuduhan berkenaan. Ukraine juga meletakkan kesalahan itu kepada pihak pemisah namun ia tidak dapat banyak membantu berikutan kawasan di mana pesawat itu terhempas dikawal sepenuhnya oleh pihak pemisah.

Perdana Menteri Belanda Mark Rutte, yang mana 193 rakyatnya adalah antara penumpang pesawat malang itu, agak terkejut dengan cara pengendalian kawasan pesawat itu terhempas dengan laporan berlakunya kecurian dan tindakan mengubah bahan bukti.

Dalam kemarahan yang memuncak daripada pelbagai pihak antarabangsa terhadap sikap beberapa pihak yang terlibat di Rusia dan Ukraine, dan selepas empat hari berhadapan jalan buntu, Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak membuat satu pengumuman yang memeranjat lewat Isnin (21 Julai).

Najib mengumumkan bahawa beliau mendapat tiga persetujuan penting antara beliau dan Alexander Borodai, ketua pihak pemisah yang mengawal wilayah timur Ukraine, iaitu bagi mengeluarkan mayat-mayat mangsa pesawat, penyerahan kotak hitam dan membuka laluan bagi kemasukan penyiasat bebas antarabangsa ke lokasi nahas.

Berikutan kejayaan Najib menerusi langkah yang strategik itu, kotak hitam pesawat berkenaan dapat diserahkan pada hari yang sama kepada pihak berkuasa Malaysia, dan 282 mayat dijangka dibawa hari ini dari Kharkiv di Ukraine ke Belanda.

KEBIJAKSANAAN NAJIB




Ramai yang dilihat tersilap apabila memperkecil-kecilkan kepimpinan Najib dan diplomasi Malaysia. Tetapi bagaimana Najib dapat menyangkal semua itu?

Ketika para pemimpin terkemuka dunia saling menuding jari dalam insiden MH17, Najib memilih pendekatan berlainan. Beliau tidak melatah sebaliknya berusaha mengadakan rundingan dengan pihak pemisah dan melakukannya dengan segera.

Najib memilih diplomasi secara merahsiakan rundingan yang sedang dijalankannya. Beliau melakukannya dengan teliti tanpa memihak atau campur tangan dalam kekalutan politik tempatan negara terlibat, dan tetap terus berkomunikasi dengan Rusia dan Ukraine.

Tanpa menuding kesalahan kepada mana-mana pihak, Perdana Menteri menumpukan usahanya dengan menelefon sendiri ketua pemimpin pemisah berkenaan. Najib juga mengarahkan beberapa menterinya mendapatkan kebenaran agar pasukan penyelamat dan penyiasat dapat memasuki kawasan di mana pesawat itu terhempas.

Najib sebenarnya telah melakukan kebijaksanaannya dengan berunding terus dengan Borodai, meskipun negara-negara barat tidak bersetuju dengan langkah berkenaan.

Malahan kerajaan Rusia mengucapkan terima kasih dan memuji kerajaan Malaysia kerana bersikap berkecuali berhubung insiden MH17 yang dipercayai ditembak jatuh.

Pihak keluarga mangsa turut menghargai usaha dan kesungguhan pihak kerajaan yang bekerja keras menunaikan permintaan anggota keluarga mangsa yang ingin melihat sendiri jenazah ahli keluarga mereka yang terkorban.

BIJAK DAN STRATEGIK

Presiden pertubuhan bukan kerajaan International Movement For A Just World (JUST), Dr Chandra Muzaffar menyifatkan tindakan Najib sebagai satu langkah bijak dan strategik.




"Bagi saya, mencapai persetujuan dengan ketua yang menguasai kawasan di mana pesawat terhempas sebagai satu langkah bijak dan strategik. Ucap tahniah kepada Perdana Menteri (Najib) kerana berjaya melakukannya ... saya gembira kita mencapai persetujuan ini bukan sahaja bagi pihak mangsa rakyat Malaysia tetapi juga mangsa dari negara-negara lain", katanya.

Beliau turut mengulas, ada dua sebab mengapa Borodai memilih untuk berurusan dengan Malaysia berbanding pihak lain.

Sebab pertama ialah kerana sikap negara-negara barat yang memandang Borodai sebagai musuh dan pesalah, menjadikan Malaysia dilihat sebagai negara yang lebih adil dan tidak berpihak.

"Kita (Malaysia) sedar kepentingan untuk berunding terus dengan mereka daripada kerajaan Kiev kerana Kiev sendiri terlibat dalam konflik itu. Kita telah melakukan perkara yang betul berunding terus dengan pemberontak daripada kerajaan Kiev", jelasnya.

Chandra juga percaya kesan persetujuan itu akan membuka jalan kepada penyelesaian kepada pergolakan yang sedang berlaku.

Tambah beliau, rakyat negara ini harus memahami isu sebenar di sebalik konflik yang melanda wilayah ini agar tidak mudah dipengaruhi oleh sebarang berita yang tidak tepat.

"Saya berpendapat pendirian yang didokong oleh Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan adalah pendirian yang munasabah. Kita tak mahu terlibat dalam politik antara Ukraine, Rusia, Kesatuan Eropah dan Amerika Syarikat, kita tak mahu terlibat dalam keadaan itu.

"Apa yang kita mahu sekarang setelah berlakunya tragedi ini ialah kita dapat membawa pulang jenazah mangsa-mangsa yang tidak berdosa yang dibunuh... itu yang menjadi perhatian kita dan saya fikir kita perlu fokus kepada perkara itu," katanya.

TIDAK JEJAS HUBUNGAN



Sementara itu, GeoStrategis Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Dr Azmi Hassan berkata, pendekatan digunakan Perdana Menteri dalam menangani kes pesawat MH17 bukan sahaja memudahkan lagi laluan mencari jalan penyelesaian bahkan ia tidak menjejaskan hubungan baik yang terjalin selama ini antara Malaysia dengan Ukraine mahupun Malaysia dan Rusia.

Katanya, biarpun pelbagai spekulasi timbul dan kedua-dua negara itu menafikan mereka terlibat dalam insiden malang itu, perbezaan strategi Najib yang tidak mudah melatah menunding jari mencari 'salah siapa' sehinggalah penyiasatan lanjut dilakukan telah menarik kepercayaan ketua pemisah itu untuk bekerjasama dengan Malaysia.

Hasil perbincangan yang membuahkan kejayaan itu, seharusnya dijadikan iktibar kepada mana-mana kuasa besar supaya mengambil pendekatan serupa dan mengenepikan segala hal berkaitan agenda politik terutamanya apabila berhadapan tragedi yang melibatkan lebih satu negara daripada saling tuduh-menuduh antara satu sama lain.

"Ugut-mengugut, tuduh-menuduh tidak akan membawa ke mana, tidak ada apa-apa hasil. Tetapi, apabila Perdana Menteri terus berhubung dengan ketua pemisah tiga perjanjian telah dicapai. Kaedah yang digunakan Perdana Menteri tidak memburukkan lagi keadaan tetapi memudahkan lagi kita merungkai masalah.

"Kekuatan politik Najib ternyata kuat kerana berani menongkah arus kehendak kuasa-kuasa besar yang menyalahkan puak pemisah dan Rusia. Ini kerana tiada satu kuasa besar pun seperti Amerika Syarikat, Australia malah Belanda sekali pun tidak mahu menghubungi ketua pemisah itu.

"Ini membuatkan Alexander Borodai percaya kepada Malaysia dan memberi persepsi bahawa Malaysia boleh memainkan peranan (tidak berpihak) walaupun mempunyai kepentingan dalam hal ini," katanya.

KERJASAMA NEGARA-NEGARA MANGSA TRAGEDI

Sementara itu, Chandra dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh JUST berkata; "Secara bersama kita perlu mengenakan tekanan ke atas Washington DC, kita patut menekan Moscow, Kiev supaya menyatakan kebenaran, untuk membantu semua pihak mencari kebenaran. Kita perlu melakukannya dengan pihak lain kerana negara lain turut terlibat".

Untuk usaha itu, beliau berpendapat Malaysia dan Belanda adalah dua negara yang layak mengetuai gerakan ini.

JUST juga mencadangkan agar data radar ketenteraan milik Ukraine, Rusia dan Amerika Syarikat yang meliputi kawasan kejadian turut didedahkan untuk melancarkan proses siasatan.

"Untuk keluarga mangsa-mangsa MH17 crash dan dunia keseluruhannya, data tentera itu mungkin boleh memberi jawapan kepada tragedi yang berlaku", menurut kenyataan itu. 


Tags / Kata Kunci: Datuk Seri Najib Tun Razak

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan