Membeli-Belah Keperluan Aidilfitri Secara Online, Gaya Hidup Remaja

Diterbitkan: Selasa, 15 Julai 2014 11:56 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Membeli-belah secara online terutama pada musim perayaan bukan lagi aktiviti asing dalam kalangan rakyat Malaysia, malah kini menjadi gaya hidup sesetengah golongan remaja.

Dengan hanya menggunakan telefon bimbit pintar, tablet atau komputer riba, pembelian bagi hampir semua barang boleh dibuat - tanpa perlu bersesak dan beratur panjang di kaunter pusat beli-belah.

Belum lagi diceritakan sengsara dalam kesesakan lalu-lintas.

Menjelang Aidilfitri, layari sahaja laman sosial Facebook atau Instagram dari rumah atau pejabat, anda akan dapati pelbagai jenis perniagaan dan butik mempromosi produk mereka termasuk baju kurung, baju Melayu, pelbagai rupa pakaian batik, songket dan tudung dengan rekaan terkini.

Harganya bergantung pada kualiti kain dan kehalusan seni jahitan.

Namun, apapun kebaikannya, pembelian secara online atau dalam talian tetap ada aspek negatifnya.



Fomca menasihatkan pengguna agar berhati-hati dalam membuat pembelian menerusi internet bagi mengelak dari tertipu.

Seorang wartawan, Siti Baaqiah Mamat, 24, berkata beliau terpaksa membeli baju raya secara online akibat kesibukan kerja, di samping jadual tugas yang tidak menentu meskipun pada hujung minggu.

"Saya bekerja mengikut syif, jadi sukar untuk membuat perancangan di mana hendak membeli-belah. Justeru, saya memilih pembelian secara dalam talian yang boleh diakses selama 24 jam melalui telefon bimbit dan komputer riba," katanya.

Siti Baaqiah berkata tidak hanya terdapat pelbagai pilihan, pembelian baju secara dalam talian ini lebih murah dan berkualiti berbanding yang dijual di pusat beli-belah.

"Jika terasa was-was dengan saiz baju itu sekalipun, saya akan meminta peniaga dalam talian itu untuk memberikan senarai ukuran badan. Dengan cara itu, saya tidak akan tersalah memilih," katanya.

Bagi Nornasheila Zaidi, 25, beliau berjinak dengan pembelian dalam talian sejak dua tahun lalu, selepas mengalami kesukaran untuk mendapatkan baju kurung bersaiz dengan fesyen terkini yang diingini.

"Jika saya membeli baju kurung di pusat beli-belah, saya akan pulang dengan tangan kosong gara-gara tidak banyak kedai atau butik pakaian menjual baju saiz besar untuk orang gempal seperti saya ," katanya yang berasal dari Kuching, Sarawak.

Tinjauan di beberapa laman sosial dan laman sesawang mendapati promosi pelbagai koleksi dan rekaan baju raya.

Pemilik Butik Oh Almaree, Siti Mazira Aini Mustaphar, 32, berkata pihaknya menawarkan bermacam-macam pakej baju raya yang sedondon untuk seisi keluarga dengan harga berpatutan.

"Sambutan Aidilfitri pada tahun ini sahaja, sebanyak 150 hingga 200 pasang tempahan baju diterima. Tempahan yang telah dibuka sejak 2 Jun lalu itu terpaksa ditutup awal berikutan respons pelanggan yang memberangsangkan," katanya.

Siti Mazira Aini, yang menjalankan perniagaan sejak tiga tahun lalu berkata beliau tidak hanya tertumpu untuk menjahit baju sahaja, malah turut menjual pakaian siap seperti baju Melayu, baju kurung moden serta fesyen.

Harga pakaian bergantung pada reka bentuk dan jenis kain.

Jika kain memerlukan 'lining' (lapisan) ia mampu mencecah RM250, manakala tanpa 'lining' RM150, katanya.

Bagi Nur Amalina Mohamed Salleh, 23, yang mengasaskan butik jahitan Lena Lee Design sejak Februari lepas berkata rekaan dan kualiti baju raya dihasilkannya bukan sahaja diminati warga tempatan di Semenanjung malah turut menarik pelanggan daripada Brunei, Singapura, Sabah dan Sarawak.

"Buat masa ini, kita telah menerima 300 helai tempahan baju raya, kebanyakannya baju kurung moden dan ia dijual antara RM89 dan RM175 sehelai.

"Kebiasaannya sehelai baju dapat disiapkan dalam masa 10 hari, kemudian diposkan ke destinasi pembuat tempahan," katanya Nur Amalina masih menuntut dalam bidang Psikologi (Pemasaran) di Universiti Sains dan Pengurusan (MSU), Shah Alam.

Melihat kecenderungan masyarakat membuat pembelian secara dalam talian, Naib Presiden Gabungan Persatuan Pengguna-Pengguna Malaysia (Fomca) Siti Rahayu Zakaria menasihatkan pengguna agar berhati-hati dalam membuat pembelian bagi mengelak tertipu.

Siti Rahayu berkata pengguna perlu bijak meneliti status perniagaan tersebut tanpa terus membuat pilihan dan bayaran.

"Ini kerana aduan negatif berkenaan pembelian secara dalam talian yang diterima Pusat Khidmat Aduan Pengguna (NCCC) menunjukkan peningkatan kepada 3,712 pada 2013, berbanding hanya 874 pada 2012," tambahnya.

Daripada jumlah itu, Siti Rahayu berkata sebanyak 47.2 peratus melibatkan aduan penghantaran lewat, 20 peratus (kualiti produk rendah dan tidak sama seperti diiklankan) manakala 15.6 peratus (penipuan jualan).

Beliau berkata perniagaan yang tidak didaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) adalah perniagaan yang paling banyak melakukan penipuan.

Syarikat berkenaan biasanya meminta pengguna/pelanggan membuat pembayaran awal walaupun belum mendapat barangan yang dipesan.

"Apabila ini berlaku, sukar bagi pengguna mendapatkan semula wang kerana mereka kekurangan maklumat mengenai alamat perniagaan, identiti peniaga dan maklumat lain bagi membantu pengguna mendapatkan ganti rugi," tambahnya.

Tags / Kata Kunci: Online

iklan

Video

Jumaat, 15 Disember 2017 2:27 PM

Biarlah Ia Berlalu" - Adi Putra

Jumaat, 15 Disember 2017 11:51 AM

Aksi 'Rempit' Fasha Sandha Jadi Perhatian

Jumaat, 15 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Pesawat - Luluh

Khamis, 14 Disember 2017 1:00 PM

Peminat Lega Tiada Suara 'Kepit' Sajat

Rabu, 13 Disember 2017 9:00 AM

Jadi Pilihan Pekin Ibrahim, Siapa Donny Alamsyah?

Selasa, 12 Disember 2017 5:41 PM

Jom Lepak Tempat 'Best' Tapi Percuma

Selasa, 12 Disember 2017 8:30 AM

Isteri Pertama Kena Kuat, Tak Boleh Lemah - Elizad

Kolumnis

iklan

Iklan