suria

Projek MRT Jangan Sampai Menyusah Dan Membahayakan Rakyat

BERITA kejadian tanah mendap akibat projek MRT di Jalan Bukit Bintang pada 23 April 2014 diikuti oleh cerucuk besi yang jatuh ke atas kenderaan di lokasi pembinaan stesen MRT pada 24 Jun 2014 menuntut satu kajian menyeluruh mengenai tahap keselamatan projek MRT kerana ia menggugat keselamatan pengguna jalanraya serta orang ramai.

Tidak cukup dengan insiden-insiden yang menggusarkan ini, kesesakan lalulintas yang kronik termasuk banjir kilat seperti yang melanda di kawasan Mutiara Damansara pada 15 Februari 2014 memberi petanda jelas bahawa terdapat kepincangan yang jelas dalam piawaian mutu dan keselamatan yang diguna pakai oleh MRT Corp dalam projek pembinaan Jajaran 1 MRT Lembah Kelang (KVMRT) daripada Sungai Buloh ke Kajang.

Harapan rakyat yang menanti-nantikan siapnya projek MRT ini semakin hari semakin menipis. Ini adalah kerana pembinaan MRT ini semakin menyusahkan pergerakan pengguna jalan raya dan kini mencapai tahap membahayakan pengguna jalan dan rakyat awam.

Kesabaran rakyat juga semakin teruji berikutan kesesakan lalulintas yang begitu membebankan.

Mendapan yang dikesan di Bukit Bintang.


Sebagai pengguna tetap perkhidmatan pengangkutan awam, setiap hari saya menggunakan pengangkutan awam ke tempat kerja. Saya begitu terkesan akibat projek pembinaan MRT ini, sehingga menjejaskan prestasi kerja serta tahap stres yang semakin meningkat. Saya cukup pasti, ratusan ribu pengguna pengangkutan awam yang lain menghadapi nasib yang sama dengan saya.

Punca tanah mendap di Jalan Bukit Bintang, kemalangan jatuhnya cerucuk besi di Pusat Bandar Damansara serta banjir kilat di Mutiara Damansara dikenalpasti akibat projek pembinaan MRT.

Sebagai warga kota yang telah menetap di Kuala Lumpur sejak 30 tahun yang lepas, saya masih tidak memahami keseluruhan projek jajaran MRT. Saya cuma sedar terdapat kerja-kerja pembinaan MRT setelah kejadian tanah mendap. Tiada sebarang papan tanda atau makluman mengenai kerja-kerja pembinaan terowong bawah tanah di pasang di kawasan Jalan Bukit Bintang di mana lokasi tanah mendap tersebut.

Saya merasa terkejut dan sangat bimbang mengenai tahap keselamatan pengangkutan awam kita. Sebagai pekerja biasa yang amat bergantung kepada perkhidamatan pengangkutan awam, jika hal keselamatan seperti ini tidak diberi perhatian, bukan sahaja rutin saya terganggu malah nyawa saya sendiri terancam.

Saya mengambil masa memikirkan hal ini, tentang bagaimana projek pembinaan terowong bawah tanah ini boleh dibenarkan sedangkan langkah-langkah keselamatan khususnya amaran kepada pengguna tersebut tidak ada?

Saya begitu musykil dengan pihak berkuasa yang memantau projek ini seperti DBKL, Kementerian Pengangkutan, Kementerian Kerja Raya dan SPAD sebagai agensi utama dalam sistem pengangkutan di Kuala Lumpur gagal memastikan kesempurnaan projek ini.

Kita masih bernasib baik tiada kemalangan jiwa akibat insiden-insiden yang berlaku ini, jika tidak, pasti pengguna perkhidmatan awam akan melancarkan demonstrasi besar-besaran menentang MRT. Saya juga tIdak dapat membayangkan jika musim hujan sudah pasti berlakunya banjir kilat dan keadaan akan menjadi lebih parah.

Secara ringkasnya, saya amat risau mengenai keselamatan diri saya, lebih-lebih lagi setelah mendapat tahu bahawa projek MRT sedang menggali terowong bawah tanah dikawasan berhampiran.

Saya minta Kerajaan Malaysia dan MRT Corp, tolonglah hentikan kerja-kerja yang mengakibatkan nyawa kami menjadi taruhan!

Warga Yang Risau
Kuala Lumpur

MRT

Artikel Lain