suria

Penang History, My History Papar Sisi Menarik Pulau Mutiara

PENGGEMAR sejarah kini boleh menambah koleksi bahan bacaan menerusi buku bertajuk 'Penang History, My Story' hasil karya anak jati Pulau Mutiara, Datuk Seri Wong Chun Wai.

Mengisahkan sisi peribadi penulis, pelbagai fakta mengenai negeri kelahirannya dimuatkan dalam buku yang baharu sahaja diterbitkan, termasuk asal usul nama jalan serta pengalaman membesar di negeri ini.

Chun Wai yang juga Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif The Star berkata, sejarah tidak boleh dikembalikan dan hanya melalui penulisan dapat membawa semula kenangan tersebut.

"Sejarah bukan sekadar mengingati fakta atau cerita mengenai ahli politik yang akhirnya disanjung sebagai negarawan, malah kisah orang biasa juga wajar dimasukkan dalam sejarah," katanya pada malis pelancaran yang diadakan di Hotel E&O di sini, Khamis.

Chun Wai berkata, di Pulau Pinang terdapat beberapa cerita menarik seperti bagaimana pengasas Singapura, Sir Stamford Raffles, bekerja di bawah Kapten Francis Light.

"Calon pemenang anugerah Nobel dalam bidang perubatan, Dr Wu Lien Teh, juga merupakan individu berketurunan China pertama diterima masuk ke Universiti Cambridge.

"Beliau dikenali di seluruh dunia atas khidmatnya sebagai perintis dalam melawan wabak penyakit, namun namanya tidak pernah disebut dalam buku teks hari ini," katanya.

Beliau berkata kebanyakan orang, kecuali peminat sejarah tidak mengetahui bahawa Thomas Leonowens iaitu suami Anna, merupakan tokoh pendidik termasyhur dalam novel terlaris Anna and The King of Siam.

"Mayat mendiang dikebumikan di tanah perkuburan Protestan di Northam Road atau Jalan Sultan Ahmad Shah.

"Gurney Drive pula dinamakan sempena Sir Henry Gurney, Pesuruhjaya Tinggi Britain yang dibunuh oleh komunis di Bukit Fraser," katanya.

Katanya lagi, walaupun peristiwa tersebut tercatat dalam sejarah, namun ramai rakyat Pulau Pinang tidak mengetahui nama Gurney Drive diberi sempena nama tokoh berkenaan.

Beliau berkata, terdapat juga fakta menarik bahawa Pulau Pinang pernah menjadi lokasi perdagangan khidmat seks pada lewat kurun ke-19 hingga 1940.

"Suatu masa dulu di Cintra Street, atau lebih dikenali sebagai Jepun Kay (Japanese Street) ramai pelacur Jepun menjalankan aktiviti mereka di sana.

"Kebanyakan pelacur ini datang daripada Kyushu, di Nagasaki, serta kawasan miskin di Karayuki-San, Jepun.

"Hari ini, pelancong yang melawat Kuil Tennyo boleh melihat ratusan tiang batu, yang ditulis dengan perkataan 'pinang' di atasnya, menunjukkan testimoni hubungan masa lampau Pulau Pinang," katanya yang merujuk kepada kerja tangan yang dihasilkan oleh Clement Liang.

Chun Wai turut melahirkan kekesalannya apabila pengasas akhbar China, Dr Sun Yat Sen yang hidup dalam buangan di Pulau Pinang juga tidak disebut namanya dalam buku teks.

"Kepala akhbar Kwong Wah Jit Poh, yang merupakan akhbar harian China tertua di dunia sejak 1910 adalah karya tulisan khat, Dr Sun," katanya.

Beliau berkata, satu lagi sejarah menarik adalah mengenai taikun berlian, Cheong Fatt Tze yang menuntut di sekolah China pertama di Asia Tenggara adalah di Sekolah Chung Hwa di Pulau Pinang pada 1904.

Buku berkenaan merupakan kompilasi cerita yang ditulis oleh Chun Wai bermula Januari 2013 hingga Januari 2014, disiarkan di bahagian Metro, akhbar The Star.

Antara kenamaan yang hadir memberikan sokongan ialah, anak lelaki kepada tokoh akademik dan pengurus bank Pulau Pinang, Tan Sri Dr Munir Majid, peguam dan penyair, Cecil Rajendra, tokoh pengguna veteran, SM Mohamed Idris serta tokoh warisan sejarah, Khoo Salma.

Pereka kasut terkenal, Datuk Jimmy Choo yang merupakan salah seorang tokoh Pulau Pinang yang dikenali diseluruh dunia melancarkan buku setebal 326 muka surat itu.

Buku ini turut memaparkan kisah Chun Wai bersama rakannya yang berasal dari Pulau Pinang serta teman sekerjanya di The Star.

Acara berkenaan ditaja oleh Kumpulan E&O. Hasil jualan buku berkenaan akan diberikan kepada Penang Heritage Trust dan pusat rehabilitasi dadah, The Kenosis Home.

Buku ini juga boleh didapati di Star Publications (M) Bhd, dengan menghubungi jabatan edaran, di talian 03-7967 1388 ext 1026 ( Ankal Letchumanan atau Andrew Lim.) Ia boleh didapati di semua kedai buku utama seluruh negara.

Artikel Berikut

Artikel Lain