suria

Keenakkan Ais Krim Potong Asli Eaton

NAMANYA masih belum dikenali ramai, tetapi sebaik sahaja merasai keenakan dan keunikan ais krim potong bernama Eaton, sesiapa sahaja pasti akan mencuba lagi.

Itulah yang dilalui penulis sebaik sahaja mengunjungi kilang ais krim potong Eaton, di Jalan Teratai, Taman Bukit Teratai, Ampang baru-baru ini.

Walaupun ruang premisnya tidak terlalu besar namun kelengkapan untuk menghasilkan ais krim potong ini kelihatan tersusun serta bersih.

Sebaik sahaja tiba di premis tersebut, penulis disambut dengan mesra dan diperkenalkan cara menyediakan ais krim itu oleh kakitangannya.

Bayangan penulis mengenai kelengkapan elektronik yang menjadi kebiasaan di kilang-kilang lain ternyata hanya satu mimpi apabila ais krim itu dihasilkan dengan kaedah separuh tradisional.

Keadaan itu mula membuatkan penulis tidak sabar untuk merasai keenakkan ais krim Eaton apatah lagi aroma harum bahan asasnya seperti jagung, kacang merah, durian dan coklat mula menusuk hidung.




Penghasilan ais krim potong ini dimulakan dengan proses memasak bahan asas seperti adunan gula, tepung, susu dan bahan perisa seperti isi durian atau yang lain.

Sebaik sahaja adunan tersebut mencapai tahap mendidih, ia kemudian dimasukkan ke dalam bekas lain untuk dikacau sehingga sebati.

Bahan adunan yang telah siap itu akan dituang ke dalam acuan sebelum dimasukkan ke dalam tempat yang dipanggil 'kolam ais krim' selama 45 minit bagi tujuan pembekuan halus.

Setiap acuan boleh menghasilkan 56 potong ais krim dan hanya 5 acuan sahaja yang boleh dimasukkan kedalam 'kolam ais kirim' pada setiap masa.

Proses di kolam ais krim.

Setiap proses di dalam kolam ais ini biasanya akan mengambil masa antara 40 hingga 45 minit sebelum ais krim potong dikeluarkan dan dibekukan di dalam peti sejuk beku selama 15 ke 20 minit.

Ais krim potong yang dikeluarkan dari acuan setelah melalui proses di kolam ais krim.

Semasa proses pembungkusan dilakukan, penulis sekali lagi tertarik kerana setiap ais krim dibungkus mengikut piawaan Kementerian Kesihatan Malaysia yang memberi jaminan mengenai aspek kebersihan dan keselamatan daripada tercampur dengan bahan terlarang.

Kemudian ais krim potong akan dimasukkan kedalam kotak dan disimpan di dalam peti sejuk beku yang lebih besar sebelum dihantar kepada pelanggan atau premis-premis.

Keenakkan dan keistimewaan yang dimiliki ais krim potong telah membawa produk itu menembusi 50 outlet di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor. Salah satu outlet yang menjual ais krim Eaton ialah di Chocolate Gallery, Jalan Imbi yang merupakan premis tumpuan pelancong dari seluruh dunia.

Ais krim Eaton juga boleh didapati di Pasar Mini Kader, Wangsa Maju; Koperasi Universiti Malaya; kedai runcit Rahmanya di Kondominium Chancellor, Ampang; Pasar Mini Johan, Pantai Dalam dan Kafe Assofa di Ampang.

Pengurus Mutual Endorse Sdn Bhd iaitu syarikat Bumiputera yang mengeluarkan ais krim potong Eaton, Suzaini Sulaiman (gambar) berkata, perniagaan ais krim itu dimulakan sejak jun 2012 selepas mengambil alih syarikat berkenaan daripada sebuah syarikat lain.



"Selepas itu, pihak syarikat memohon sijil halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) serta sijil Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi memastikan produk yang dihasilkan terjamin dari segi mutu dan kebersihan.

"Ais krim Eaton mempunyai empat perasa iaitu Durian, Jagung, Kacang Merah dan Coklat. Setiap bahan mentah adalah daripada sumber asli dan tidak menggunakan perasa tiruan.

"Bahan yang digunakan juga tidak mempunyai unsur kimia atau lemak haiwan," katanya.

Menurut beliau, ais krim potong yang menggunakan bahan mentah asli seperti isi durian yang dikisar sebelum diproses menjadikan ais krim potong Eaton semakin popular dan sangat diminati ramai kerana rasanya yang enak dan asli.



Suzaini memberitahu, mereka kini mampu mengeluarkan 5,600 potong ais krim potong sehari dan dengan pelan perancangan pemasaran yang menyeluruh, pengeluaran dijangka mencecah kepada 12,000 potong sehari menjelang hujung tahun ini.

"Pasar raya besar adalah sasaran kami untuk memasarkan ais krim Eaton dan usaha itu sedang dilakukan ketika ini.

"Pasaran ke setiap negeri juga akan dilaksanakan dalam tempoh terdekat dan individu atau syarikat yang berminat untuk menjadi pengedar dialu-alukan," ujarnya lagi.

Jelas Suzaini, Mutual Endorse turut mengalu-alukan usahawan kecil yang berminat menceburi bidang pengeluaran ais krim potong.

Maklumat lanjut mengenai ais krim potong Eaton boleh diperolehi dengan menghubungi Suzaini Sulaiman di talian 03-42949288 atau 019-2020756 / 012-2060834

Eaton, Ampang, Ais Krim Potong

Artikel Lain