suria

ETHICA Kini Sinonim Dengan Amal Dan Kebajikan

Ahli ETHICA bergambar kenangan bersama penghuni Kolej Kediaman Tuanku Kurshiah UM.
DI awal penubuhannya 10 tahun lalu, Persatuan Alumni Bekas Penghuni Kolej Ketiga atau lebih dikenali sebagai ETHICA, sekadar untuk mengumpul kembali bekas penghuni kolej terbabit dan merapatkan ukhwah antara satu sama lain.

EHTICA ditubuhkan atas idea empat sahabat iaitu Abdul Ghani Shahbudin, Kamarudin Mokhtar, Abdol Aziz Sahat dan Kamalullail Ramli yang tercetus ketika sembang-sembang di kedai kopi.

Kini, ETHICA melangkah setapak lagi dengan penglibatan dalam aktiviti amal dan kemasyarakatan selaras dengan peranannya selaku badan bukan kerajaan (NGO) yang bertanggungjawab membantu golongan kurang bernaib baik.

Malah dibawah tampuk kepimpinan Presidennya, Datuk Salehuddin Saidin, agenda memajukan kedudukan Bumiputera terutamanya dalam bidang ekonomi dan pendidikan turut dititik-beratkan.

Bersempena dengan cuti Hari Pekerja pada 1 Mei lalu, ETHICA menganjurkan program kemasyarakatan bersama anak-anak yatim di Pertubuhan Kebajikan Anak-Anak Yatim dan Miskin (Al-Khairah) Sungai Pinang, Klang.


Program kemasyarakatan bertemakan 'Masih Ada Yang Sayang' itu dimulakan dengan senamrobik sebelum disusuli aktiviti gotong-royong yang disertai ahli ETHICA bersama keluarga masing-masing dan penghuni rumah anak-anak yatim tersebut.

Penghuni rumah anak-anak yatim ini melakukan aktiviti senamrobik bersama ahli ETHICA dan penghuni Kolej Tuanku Kurshiah UM.


Menariknya, program tersebut turut disertai seramai 40 penghuni Kolej Kediaman Tuanku Kurshiah Universiti Malaya (UM) yang turut dikenali sebagai Kolej Ketiga.

Menurut Salehuddin, program itu diadakan untuk menyerahkan sumbangan berjumlah RM30,000 sebagai tanda keperihatinan ETHICA kepada golongan kurang bernasib baik yang sentiasa memerlukan bantuan dari segi kebendaan dan kewangan. 

"Sebelum kita pilih pertubuhan kebajikan ini kita ada buat tinjauan ke atas beberapa rumah anak-anak yatim.

"Namun, selepas melihat keadaan asrama dan tempat belajar yang agak uzur, kita terpanggil untuk memberikan sumbangan kepada penghuni di rumah ini," katanya kepada mStar Online.

Jelas Salehuddin, selain bantuan dalam bentuk wang sagu hati, beberapa peralatan termasuk tilam, katil, bantal, pakaian sukan, kasut, sistem pembesar suara dan peralatan kebersihan diri turut dihulurkan kepada penghuni rumah kebajikan itu.

Salehuddin (tiga dari kanan) menyampaikan wang sagu hati kepada penghuni rumah anak-anak yatim tersebut.


"Bantuan kita tidak akan terhenti setakat ini saja. Kita akan terus bantu bagi selagi yang terdaya selain meuar-uarkan mengenai rumah kebajikan ini kepada badan korporat dan kerajaan," kata Salehuddin yang juga seorang peguam.

Beliau berkata, program tersebut diharap dapat memotivasikan penghuni rumah kebajikan itu supaya mempunyai kesungguhan dan keazaman untuk berjaya dari aspek pelajaran dan kehidupan.

Sementara itu, Pengetua Kolej  Kediaman Tuanku Kurshiah UM, Jamaludin Yacob menyifatkan program tersebut sebagai satu platform kepada golongan mahasiswa untuk mendedahkan diri dengan kegiatan kemasyarakatan selain berinteraksi dengan masyarakat luar.

"Pelajar sepatutnya tidak hanya fokus kepada pelajaran semata-mata tetapi perlu lebih kerap didedahkan dengan program kemasyarakatan.

"Malah program ini turut menjadi medan kepada golongan mahasiswa untuk mendapatkan nasihat dan tips berguna daripada alumi universiti yang cemerlang di luar sana," katanya.

Penghuni Kolej Kediaman Tuanku Kurshiah sedang membersihkan kawasan sekitar rumah kebajikan itu.

Salah seorang peserta, Bainun Basri, 23 menganggap program ini bagus kerana ia dapat membantu mahasiswa mendekati golongan kurang bernasib baik selain menyelami perasaan mereka yang kurang mendapat kasih sayang keluarga.

"Sekurang-kurangnya kehadiran kami dapat memberi sedikit keceriaan kepada mereka walaupun jauh dilubuk hati mereka sebenarnya dahagakan kasih-sayang ibu bapa," katanya yang juga pelajar tahun dua jurusan Sains dan Pengurusan Alam Sekitar.

Turut hadir pada program itu adalah penasihat ETHICA, Datuk Dr Mohd Shafie Abdullah yang juga merupakan bekas penghuni kolej tersebut pada era 80-an.





Artikel Lain