suria

Kuda Laut Akhirnya Diberi Perhatian

Kuda laut jenis Hippocampus. Spesies kuda laut ini tidak dilindungi di Malaysia. - Gambar fail.
PENAMPILAN ekuin yang aneh, dengan aksi yang terumbang-ambing dalam air merupakan antara sifat yang membuatkan kuda laut sering diletakkan dalam akuarium. 

Bagi mereka yang berfikir menyimpan kuda laut dalam akuarium adalah sesuatu yang menyeronokkan anda perlu menukar pemikiran sedemikian. 

Sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) iaitu Selamatkan Kuda Laut Kita (SOS) sedang mengenengahkan isu ini. Mereka berpendapat tindakan tersebut akan hanya menyebabkan spesis tersebut semakin pupus, lebih-lebih lagi apabila ia digunakan untuk tujuan kesihatan. 

SOS 

Sejak 10 tahun yang lalu, SOS telah melakukan penyelidikan dan program untuk memberi kesedaran kepada masyarakat. 

Antara program yang dijalankan adalah mengadakan lawatan sambil belajar bersama pelajar sekolah dan sukarelawan untuk memberitahu kepada mereka kepentingan kuda laut dan mengapa haiwan ini harus dibiarkan hidup di laut.
 
Pengasas SOS, Choo Chee Kuang yang telah meninggal dunia tahun lalu, banyak melakukan advokasi untuk menyedarkan masyarakat sementara kajian mengenai kuda laut pula dijalankan oleh ahli biologi marin, Adam Lim yang kini merupakan ketua projek dalam organisasi berkenaan. 

"Di Malaysia, sebelum ini tidak banyak perhatian diberikan kepada kehidupan kuda laut, hingga Choo mula menubuhkan SOS yang terdiri daripada kumpulan sukarelawan yang sangat aktif dalam memperjuangkan nasib haiwan ini," kata Lim, 28. 

SOS telah pun didaftar sebagai NGO. 

sea horse koloni
Sukarelawan SOS turut menjalankan kajian terhadap padang rumput laut di muara Sungai Pulai, yang merupakan koloni kuda laut terbesar di Malaysia.

"Sebelum ini di Malaysia, tidak ramai yang memberi perhatian kepada nasib kuda laut, hinggalah Choo menubuhkan SOS," katanya. 

Penglibatan Lim dengan SOS bermula sejak 2007 apabila dia menyertai lawatan ke muara Sungai Pulai, Johor untuk menjalankan penyelidikan terhadap kehidupan kuda laut. 

Spesis berkenaan gagal ditemui hinggalah lawatan kali ketiga dijalankan apabila dia berjaya menemui sepasang kuda laut. Lim sangat gembira setiap kali dia mengingati kenangan manis ketika itu. 

Lim berkata, Choo merupakan mentornya ketika dia melanjutkan pengajian dalam ijazah biologi marin. Lim ketika ini sedang melanjutkan pelajaran ke peringkat doktor falsafah di Universiti Malaya dengan tajuk tesisnya, ''penghasilan bunyi terhadap kehidupan kuda laut'. 

Beliau sedang menyiasat isyarat akustik yang dihasilkan mempengaruhi kelakuan kumpulan binatang itu. Beliau juga sering berkunjung ke Sungai Pulai untuk mengadakan lawatan sambil belajar selain menulis mengenai kertas saintifik serta artikel untuk menyebarkan maklumat tentang spesis yang kurang dikenali ini kepada orang ramai. 

"Lawatan ini sering diadakan setiap bulan semasa kejadian air pasang surut. Bila air surut, pencarian kuda laut boleh dilakukan dan untuk itu sesiapa sahaja boleh menjadi saintis dan belajar mengenai dunia biologi marin. 

Kuda laut mempunyai rupa bentuk yang unik: di mana haiwan jantan mengandung anak mereka. Bila mengawan, kuda laut betina akan menyimpan telur mereka dalam kantung kuda laut jantan. 
 
Kuda laut jantan ini akan mengeram telur tersebut hingga ia menetas. Lim berkata kuda laut perlu dipelihara kerana populasinya yang semakin berkurangan - ini kerana hanya 1 peratus daripada anak mereka yang berjaya hidup hingga dewasa. 

"Tidak  ada spesies lain seperti kuda laut. Ia mempunyai kepala seperti kuda, ekor yang bengkok seperti monyet, poket seperti kangaroo, mata seperti sumpah-sumpah, yang menunjukkan dia mempunyai keupayaan melakukan penyamaran. 

Kuda laut sangat penting kepada kepelbagaian ekologi, biologi, ekonomi dan tujuan kesihatan. Haiwan ini juga penting kepada komuniti dasar laut dan sekiranya spesies ini berkurangan ia akan menggangu keseimbangan ekosistem marin. 

Terdapat kira-kira 53 spesies kuda laut  di seluruh dunia, dan 13 daripadanya terdapat di Malaysia. Antaranya ialah kuda laut kuning spesies yang sering dijumpai di Selat Melaka, dengan lima spesies daripadanya ialah  kuda laut katik, kuda laut ekor harimau, kuda laut berduri, kuda laut Kellogg (terbesar di Malaysia), kuda laut tiga, kuda laut landak dan yang terbaru, kuda laut Jepun.

"Sejak 10 tahun lalu, kita telah dapat menjejaki antara 780 hingga 790 kuda laut. Setiap kali menangkap mereka, ia akan dapat membantu mengenalpasti sama ada ia telah berpindah daripada lokasi asalnya dan petunjuk lain seperti status reproduktif serta spesies seks ratio mereka. 

SOS mempunyai perangan untuk meluaskan kajian mereka ke beberapa negeri lain. Perancangan masa hadapan ialah mewujudkan galeri gambar supaya orang awam dapat menyumbangkan gambar  serta pengalaman mereka dengan kuda laut. 

Ditanya apa yang menjadi sumber motivasi beliau dalam bidang ini, Lim berkata dia melihat setiap hari sebagai cabaran baru dalam kehidupan dan hanya dengan kesabaran ia boleh ditempuhi. 

"Seperti mana yang kita lihat dalam rancangan dokumentari di televisyen, hanya sedikit daripada apa yang kami lakukan dipaparkan. Walhal banyak masa dihabiskan dengan menunggu, memasukkan data, menilai spesies kuda laut ini," katanya. 

Dia menegaskan banyak yang perlu dilakukan untuk memastikan spesies kuda laut tidak pupus. 

"Mereka tidak dilindungi di bawah undang-undang kecuali spesis yang tinggal di taman laut, dan ini tidak mencukupi. 

"Muara Sungai Pulai, yang merupakan lokasi yang mempunyai rumpai laut terbesar di Malaysia dan populasi kuda laut kuning paling banyak, semua ini tidak dilindungi. Walaupun ia kawasan yang kecil merangkumi keluasan sekitar  1.8 kilometer persegi dan 38 hektar. Dengan memusnahkan salah satu daripada ekosistem ini, ia akan mengancam kehidupan satu spesies tertentu," katanya. 

SOS telah cuba mendapatkan kelulusan agar muara Sungai Pulai diperlihara sebagai kawasan hidupan kuda laut bagi memastikan spesies itu terpelihara, Lim turut berharap perjuangan mereka akan berjaya. 

kuda laut, SOS

Artikel Berikut

Artikel Lain