suria

Fenomena Ledakan Alga

Ledakan alga berbahaya atau fenomena air pasang merah di perairan barat Sabah.

PADA pagi 11 Februari lalu, pengusaha ikan sangkar di perairan Tanjung Kupang, Johor digemparkan dengan ribuan bangkai ikan yang ditemui terapung di dalam sangkar.

Beberapa hari berikutnya, jumlah kematian ikan terus meningkat. Insiden itu berlarutan selama dua minggu yang menyaksikan kematian pelbagai ikan seperti ikan senangin, merah, kerapu dan jenahak di sembilan kolam ternakan ikan.

Salah seorang pengusaha dilaporkan mengalami kerugian bernilai RM150,000 dan kematian ikan itu dipercayai disebabkan oleh ledakan alga berbahaya (HAB) atau dikenali sebagai fenomena air pasang merah iaitu percambahan plankton secara melampau.

Walaupun ledakan alga berbahaya itu jarang dilaporkan terjadi di Semenanjung Malaysia, fenomena itu bukan sesuatu yang luar biasa di Sabah. Fenomena tersebut pertama kalinya dilaporkan pada 1976 dan ia berlaku setiap tahun sejak dari itu.

Pada Januari dan Februari tahun lalu, keracunan kerang-kerangan meragut tiga nyawa manakala 40 orang lagi mengadu sakit di Sepanggar dan Inanam, kedua-duanya dekat Kota Kinabalu, bandar paling teruk terjejas dengan kes HAB.

Malah, Jabatan Perikanan Sabah terus menguatkuasakan amaran air pasang merah yang dikeluarkan pada Oktober 2011. Pada Januari, berikutan air berwarna merah-coklat mula kelihatan di perairan Kota Kinabalu, pengarah Rayner Stuel Galid berkata, amaran air pasang merah masih dikuatkuasakan dan toksin yang dikesan selama lapan bulan pada tahun lalu masih dapat dilihat dari Tuaran dan Kuala Penyu.

Fenomena ini mungkin menjadi petunjuk kepada apa yang bakal berlaku pada masa akan datang.

Sampel air di Selat Johor mengesahkan ledakan mikroalga Karlodinium australe sebagai punca menyebabkan ribuan ikan mati di Tanjung Kupang.

Menurut pakar ekologi marin di Universiti Malaya, Dr Lim Po Teen, fenomena itu berlaku lebih kerap dan terjadi di lebih banyak perairan beberapa dekad lalu dan melibatkan spesies tidak dikenali sebelum ini.

Sampel air di Selat Johor mengesahkan ledakan mikroalga Karlodinium australe sebagai punca menyebabkan ribuan ikan mati di Tanjung Kupang. Dalam kes Tanjung Kupang, alga berbahaya itu dikenali sebagai Karlodinium australe, satu penemuan mengejutkan oleh saintis.

"Ini adalah kali pertama kali kami melihat ledakan spesies ini yang tidak pernah dilaporkan sebagai toksik," kata biologi molekul marin, Dr Leaw Chui Pin yang melakukan kajian selama 14 tahun mengenai spesies tersebut.

Beliau berkata, penyelidik menjalankan kajian sampel air 10 hari selepas insiden kematian ribuan ikan tersebut. Namun mereka masih menjumpai ketumpatan yang tinggi dalam spesies tersebut di antara satu hingga dua juta setiap liter.

Beliau berkata ledakan alga itu menjejaskan sejumlah ikan yang banyak. Sampel air itu akan dihantar ke kolaborator Jepun untuk menyukat kadar toksin di dalam bangkai ikan yang telah mati.

Leaw berkata saintis memiliki 40 spesies mikroalga perosak dan berbahaya di Malaysia serta meramalkan lebih banyak lagi membiak di perairan kita.

Kesan berbahaya

Sehingga 1990, masalah berkaitan keracunan paralitik kerang-kerangan hanya berlaku pantai barat Sabah. Pada awal 1991, buat pertama kalinya tiga orang mengadu sakit di Semenanjung Malaysia selepas makan kupang dari Sebatu, Melaka.

Hanya setahun kemudian, Alexandrium tamiyanavichi disahkan sebagai penghasil toksin. Sejak dari itu, kes HAB dilaporkan di pelbagai kawasan di Semanjung Malaysia.

Saintis berkata istilah 'air pasang merah' mengelirukan kerana HAB bukan saja menukar air kepada warna merah tetapi coklat dan berbuih. Perubahan warna di dalam air dapat dilihat pada waktu pagi.

Ia akan tenggelam untuk mengelak cuaca yang terlalu panas. Tidak semua ledakan alga berbahaya, walaupun jika ia berwarna merah.

Di Lumur, Perak dan Pulau Pinang, terdapat ledakan Ceratium furca yang tidak menghasilkan toksin walaupun ia mempunyai karakter kesan air pasang merah.

Pada 2010, enam orang dikejarkan ke hopsital di Tumpat, Kelatan manakala seorang daripadanya meninggal dunia selepas makan kerang-kerangan yang mengandungi toksin dari Alexandrium minutum.

Pada 2010, enam orang dikejarkan ke hopsital di Tumpat, Kelatan manakala seorang daripadanya meninggal dunia selepas makan kerang-kerangan yang mengandungi toksin dari Alexandrium minutum. 

Punca Percambahan Alga

Lim menjelaskan ledakan alga di Sabah pada tahun lalu berlaku secara kebetulan ketika kerja pemasangan  paip di dasar laut antara Kota Kinabalu dan Pulau Gaya dijalankan.

Begitu juga, terdapat kerja-kerja penambakan tanah berhampiran kolam ternakan ikan di Tanjung Kupang ketika ledakan HAB. Satu lagi sumber pengayaan air pantai adalah sangkar ternakan ikan, terutamanya apabila baja ikan digunakan sebagai makanan.

"Mana-mana baja yang dimakan akan tenggelam ke dasar laut dan menyebabkan eutrofikasi. Adalah lebih baik menggunakan makanan yang boleh kekal terapung di dalam air, bukannya tenggelam dengan sangat cepat," kata Lim yang menjalankan penyelidikan ke atas mikroalga selama 14 tahun.

Ledakan alga biasanya berlaku di kawasan terlindung dengan pergerakan air yang terhad seperti lagun, pelabuhan dan kawasan Teluk. Sarawak tidak mempunyai masalah besar dengan ledakan alga kerana pergerakan air pasang surut yang konsisten di perairan negeri itu.

Artikel Lain