suria

Mempelajari Budaya Sebenar Masyarakat Malaysia

Pelajar Jepun ini cuba memasak cekodok pisang.

KIRA-KIRA 15 pelajar Jepun dari  Projek Asian Pacific Children Convention (APCC) mengunjungi SMK Perempuan Methodist Ipoh baru-baru ini.

Rata-rata pelajar dari Fukuoka, yang berusia antara 10 hingga 18 tahun ini sangat teruja berada di Ipoh. Mereka diberi peluang merasai sendiri keunikan budaya masyarakat Malaysia.

Yuka Hoshi, 17, berkata ini merupakan kali pertama dia menjejakkan kaki ke Malaysia.

“Budaya dan makanan di sini sangat berbeza dengan Jepun. Saya sangat suka karipap, roti kaya, thosai dan pisang goreng.

“Saya sangat teruja apabila dapat menyarung pakaian tradisional masyarakat di sini,” kata Yuka.

“Saya lihat masyarakat di sini sangat ramah. Saya ingin kembali ke sini jika mempunyai peluang,” katanya yang telah empat kali melancong ke luar negara, termasuk Mongolia, Maldives dan Brunei.

Seorang lagi pelajar baru pertama kali ke Malaysia, Moi Yamazaki, 18, berkata cuaca di sini agak panas jika dibandingkan dengan Jepun.

“Musim panas di Jepun sedikit panas dan kering namun di Malaysia ia agak lembap,” katanya.

main congkak
Pelajar Jepun diberi peluang untuk cuba bermain congkak bersama masyarakat tempatan. 

Moi berkata dia sangat teruja untuk mencuba permainan tradisional serta makanan tempatan di Malaysia.

“Saya teringin untuk mencuba nasi lemak dan mee goreng kerana saya diberitahu ia sangat enak.

“Saya juga ingin merasa pelbagai hidangan masyarakat tempatan serta buah-buahan tempatan yang sangat enak rasanya,” katanya yang pernah melawat Mongolia, Indonesia dan Thailand.

Wakil APCC tiba di Ipoh pada 25 Mac lalu dan mereka tinggal di Ipoh selama lima hari.

Matlamat utama program pertukaran pelajar ini adalah bagi membolehkan pelajar merasai sendiri pengalaman serta budaya masyarakat tempatan di negara lain serta memahami perbezaan budaya masyarkat majmuk yang terdapat di Malaysia.

Guru besar sekolah berkenaan, Datin Azian Ahmad Shaharbi berkata dia sangat gembira apabila Majlis Bandaraya Ipoh memilih sekolah tersebut sebahagian daripada program berkenaan.

“Ia membantu kami mengeratkan lagi hubungan dengan pelajar Jepun.

“Persiapan menyambut ketibaan mereka dibuat selama dua minggu,” katanya.

Azian berharap untuk melawat pelajar tersebut di Jepun untuk mengeratkan lagi silaturahhim yang telah terjalin.

Selain daripada majlis perkahwinan olok-olok, pelajar Jepun tersebut turut diajar mengenai tarian serta permainan tradisional yang terdapat di negara ini. 

Pelajar Jepun, Budaya Malaysia, APCC

Artikel Lain