Persaingan Sengit Menteri Lawan Bekas Menteri di Segamat

Diterbitkan: Sabtu, 27 April 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Jui Meng bersalaman dengan Subra (kiri).
Jui Meng bersalaman dengan Subra (kiri).

PANAS cuaca di Segamat sememangnya seperti memahami situasi politik yang semakin panas di kawasan itu selepas seminggu kempen Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) berlangsung.

Persaingan sengit antara Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri S.Subramaniam dan Bekas Menteri Kesihatan, Datuk Chua Jui Meng yang digelar "giant lawan giant" dalam merebut kerusi Parlimen Segamat (P140) dilihat semakin agresif.

Pembangkang lebih awal memulakan kempen dengan ceramah-ceramah di sekitar Segamat sebelum penamaan calon dilakukan, malah mereka nampak terlalu ghairah apabila dilihat hampir semua pemimpin tertinggi Pakatan Rakyat (PR) turun memberi ceramah sebagai memberi sokongan kepada Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Johor yang pertama kali bertanding di situ.

Tidak dapat disangkal pendekatan Jui Meng meraih undi dari rumah ke rumah bagi memperkenalkan dirinya ternyata sedikit sebanyak berjaya mempengaruhi masyarakat tempatan apabila ceramah-ceramah yang dilakukan semakin hari semakin ramai.

Kemuncak perhimpunan pada malam Rabu lalu, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri turun padang bagi merayu agar peluang diberikan kepada calon mereka.

Jui Meng mengakui kehadiran Anwar penting dalam membantunya mempengaruhi pengundi terutamanya masyarakat Melayu Segamat yang berada di "atas pagar".

"Kalau Anwar tidak datang malam ini, matilah saya, habislah saya. Saya sudah beritahu dia bahawa kehadiran dia sangat penting, kalau tidak orang Segamat akan balik rumah tinggalkan saya," katanya.

Sebelum ini ada cakap-cakap mengatakan bahawa parti DAP kecewa dengan pemilihan calon PKR untuk bertanding di kerusi yang selama ini milik DAP, malah ada jentera-jentera DAP yang kuat disitu dikatakan tidak membantu kempen yang dilakukan Jui Meng.

Atas kertas, pembangkang hanya perlukan undi penuh daripada pengundi Cina dan separuh pengundi Melayu, sementara dalam percaturan Datuk Subra yang mengharapkan undian solid daripada 10 peratus pengundi India, turut memerlukan undian penuh pengundi Melayu dan sedikit pengundi Cina.

Parlimen Segamat merangkumi sejumlah 44,973 pengundi di mana 47 peratus adalah terdiri daripada pengundi Cina, 43 peratus Melayu dan 10 peratus India.

Sememangnya dalam misi PR meledakkan gelombang perubahan di Johor menjadikan Segamat sebagai kerusi sasaran selain Gelang Patah yang mana dalam formula percaturan mereka lebih mudah memenangi kawasan yang mejoriti bukan Melayu.

Rekod Subramaniam Sejak 1982

Datuk Seri S.Subramaniam, penyandang kerusi Parlimen Segamat yang juga Timbalan Presiden MIC yakin akan dapat mempertahankan kawasan yang diwakili parti itu sejak 1982.

MIC mempunyai rekod cemerlang di Segamat sejak 1982 hingga 2008 yang mana Subra menang dengan bergaya pada 1999 dan berjaya mempertahankan Segamat pada tsunami politik yang berlaku pada 2008.

Segamat merupakan tiga parlimen yang berjaya dipertahankan pemimpin MIC pada Pilihan Raya Ke-12 selain Tapah dan Cameron Highlands yang telah menyaksikan ramai pemimpin utama MIC tersungkur termasuk Datuk Seri S Samy Vellu di Sungai Siput dan Datuk Seri G Palanivel (Hulu Selangor).

Melalui pemerhatian sejak kempen dimulakan, Subra yakin mengekalkan undi penuh daripada masyarakat India selain menawan semula hati pengundi Cina yang terpengaruh dengan kehadiran pembangkang menjanjikan perubahan keatas Segamat.

Masyarakat Melayu di sini mejoritinya dilihat masih memberi kepercayaan kepada Subra.

Kebanyakan orang ramai yang ditemui di kedai-kedai masih berpegang teguh kepada kepimpinan BN.

Seorang pekedai Omar Abdullah, 66, yang ditemui ketika tinjauan mesra yang dilakukan Subra baru-baru ini mengakui banyak kemajuan yang dilakukan di kawasan tersebut sejak 1982 hingga sekarang.

"Dulu kawasan ini semak dan hutan tapi sekarang sudah dibersihkan dan dimajukan, kedai ini juga sudah ramai orang datang selepas tempat ini menjadi laluan orang ramai.

"Pada saya bukan individu atau bangsa yang kita pilih sebagai wakil rakyat tetapi perjuangan beliau dan parti yang mampu memberi kemajuan kepada Segamat," katanya.

Pada tahun 2008, BN turut memenangi DUN Buluh Kasap dengan majoriti 4,466 undi menerusi calon Umno, Othman Jais dengan menewaskan calon PAS, manakala DUN Jementah Lee Hong Tee dari MCA menewaskan calon DAP dengan majoriti 1,306 undi.

Perang Bendera

Perang bendera bermakna perang psikologi yang sudah menjadi lumrah setiap kali tibanya pilihan raya.

Di bandar Segamat, perang bendera, poster dan kain rentang sudah mula dipasang selepas hari penamaan calon.

Jalan utama memasuki bandar Segamat iaitu melalui bandar Tangkak sudah dibarisi pelbagai bendera parti BN dan parti lawan.

Yang pasti warna-warni ini boleh dilihat hanya lima tahun sekali sahaja.

Bagaimanapun, insiden-insiden sabotaj atau merosakkan bendera sudah dijangka akan berlaku dalam tempoh kempen berlangsung.

Di Jementah, awal minggu lalu, poster dan kain rentang gambar calon BN di Dewan Undangan Negeri (DUN) Jementah, Lee Hong Tee dikoyakkan, sementara lebih 200 bendera telah dipatahkan.

Dalam pada itu mereka yang pro pembangkang berkata, bukan mahu menolak kemajuan tetapi kebanyakkan penyokong pembangkang menyatakan keinginan melihat janji-janji yang ditabur Pakatan Rakyat itu menjadi kenyataan.

Seorang penduduk, Rahman Razali, 55, pada awalnya merupakan salah seorang penyokong BN namun cuba untuk menukar angin perubahan semata-mata mahu kehidupan yang lebih baik.

"Kehidupan kami disini kebanyakkan kais pagi makan pagi dan bekerja sebagai petani dan pekerja ladang. Pembangkang menjanjikan kehidupan yang lebih baik daripada yang ada sekarang.

"Pada saya apa salahnya cuba beri peluang mereka memerintah dan kalau tidak baik kita tukar semula kepada BN," katanya.

Bagi Mohd Zaimi Zakaria, 41, ingin cuba pemerintahan baru berikutan manifesto yang ditawarkan, dilihat PR banyak memberi faedah kepada rakyat.

"Sebagai rakyat kita kena berani berubah dan tidak harus berada ditakuk lama, mungkin sudah sampai masanya kita beri peluang kepada pembangkang sebagai pemerintah," ujarnya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan