Keputusan Tarik Diri Demi Sekat Legasi Nik Aziz - Che Johan

Diterbitkan: Khamis, 25 April 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Timbalan Ketua Umno Bahagian Pasir Mas Che Johan Che Pa berkata keputusannya tidak bertanding kerusi Parlimen Pasir Mas pada pilihan raya umum ini bagi memastikan legasi Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat disekat daripada terus memecah belah umat Islam dan mempromosi politik kebencian.

Beliau yang tidak mengemukakan kertas pencalonan mewakili Barisan Nasional (BN) pada hari penamaan calon Sabtu lepas, menjelaskan keputusan itu sebagai pengorbanannya buat umat Islam dan Umno khususnya dalam memastikan PAS tumbang di kawasan itu.

"Saya tidak mahu melihat pertandingan tiga penjuru yang akan memberi kelebihan kepada PAS. Saya sanggup korbankan jawatan dalam Umno dan menarik diri sebagai calon semata-mata mahu melihat calon tewas sekaligus mengelakkan pecah undi.

"Semua sedia tahu bahawa Nik Mohamad Abduh adalah anak kepada Nik Aziz yang akan menyambung legasi ayahnya termasuk menggunakan Islam untuk kepentingan politik seperti doa pecah perut kepada pemimpin negara, doa K.O Umno dan BN, menyifatkan rakyat yang menerima Bantuan Rakyat 1Malaysia sebagai binatang dan mendakwa sembahyang orang Umno tidak peroleh pahala. Semua ini harus ditamatkan," katanya pada sidang akhbar di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini, Rabu.

Terdahulu, Che Johan memberi penjelasan secara lisan dan bertulis kepada Lembaga Disiplin Umno mengenai keputusannya tidak bertanding kerusi Parlimen Pasir Mas.

Tindakan Che Johan itu menyebabkan BN gagal bertanding satu dari 222 kerusi parlimen yang dipertandingkan pada pilihan raya umum ke-13, sekali gus memberi laluan kepada Datuk Ibrahim Ali mempertahankan kerusi itu atas tiket Bebas menentang Nik Mohamad Abduh.

Ditanya sama ada keputusan menarik diri di saat-saat akhir daripada menyertai pilihan raya itu dipengaruhi atau dibiayai mana-mana pihak, Che Johan berkata: "Ini keputusan peribadi saya dan saya bertanggungjawab...tiada siapa yang biayai saya".

Mengulas lanjut, beliau bersedia menerima segala keputusan yang ditetapkan Lembaga Disiplin Umno terhadapnya termasuk dipecat.

"Saya juga akan membuat rayuan kepada parti selepas keputusan diumumkan," katanya. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan