Latt Shariman Janji Tidak Ulang Kesilapan PAS Kedah

Diterbitkan: Ahad, 21 April 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

ALOR SETAR: Calon Barisan Nasional (BN) bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kubang Rotan, Datuk Latt Shariman Abdullah berjanji tidak akan memperjudikan nasib rakyat dengan mengulangi kesilapan wakil rakyat Pakatan Rakyat sejak lima tahun lalu.

Sebaliknya tegas beliau, kegagalan kerajaan negeri pimpinan PAS mengurus tadbir kerajaan dengan baik perlu dijadikan peringatan oleh calon BN bagi memastikan nasib rakyat terus terbela.

"Kalau kata (janji) buat (mesti dilaksanakan)...itu yang rakyat nak. Kalau tidak rakyat akan sentiasa ditipu dan ditipu lagi.

"Jadi kalau tak belajar (daripada kesilapan), kita (calon BN) akan buat kesilapan yang sama lagi," katanya di kediamannya di sini, Ahad.

Pada pilihan raya kali ini Latt Shariman berhadapan saingan satu lawan satu dengan penyandang kerusi DUN Kubang Rotan daripada PAS, Mohd Nasir Mustafa.

Selain itu Latt Shariman yang juga Ketua Umno bahagian Kuala Kedah berkata, rakyat di Kedah juga seharusnya membuat penilaian yang tepat bagi menentukan nasib mereka dalam tempoh lima tahun akan datang.

Katanya, rakyat pastinya boleh membuat perbandingan secara menyeluruh khususnya di Kedah mengenai prestasi kerajaan Pakatan Rakyat berbanding ketika BN memerintah negeri ini.

"Saya nak nasihatkan pengundi, supaya lupakan sekejap apa yang mereka baca dalam surat khabar atau internet, tengok dengan mata sendiri apa yang mereka (kerajaan PAS) buat...percaya dengan mata sendiri.

"Kalau sebelum ini BN kalah dengan pemimpin yang lebih rajin berkerja serta mementingkan nasib rakyat...saya pasti akan rasa malu. Tapi tidak, negeri ini akhirnya diambil alih orang yang tak boleh buat kerja. Adakah rakyat nak bagi lagi peluang kepada mereka ini," katanya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan