Jangan Pertikai Penyanyi Aishah Bertanding Di Jempol - Mat Sabu

Diterbitkan: Khamis, 11 April 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Aishah diumumkan sebagai calon PAS untuk bertanding di kerusi Parlimen Jempol.Foto SHAARI CHEMAT/TheStar
Aishah diumumkan sebagai calon PAS untuk bertanding di kerusi Parlimen Jempol.Foto SHAARI CHEMAT/TheStar

BAHAU: Pemilihan penyanyi Aishah sebagai calon Ahli Parlimen Jempol bagi mewakili PAS tidak perlu dipertikaikan kerana ia telah dipersetujui oleh Majlis Syura parti itu.

Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu berkata, pihaknya menganggap keputusan itu sebagai tepat selepas merasakan penyanyi itu layak untuk bertanding di kerusi berkenaan.

"Kita telah berbincang dan kita nak Aishah bertanding dan tempat yang sesuai untuknya adalah di Jempol.

"Lagi pun rumah keluarganya terletak kira-kira seratus meter dari sini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengumumkan calon Ahli Parlimen dan Dewan Undangan Negeri bagi Negeri Sembilan yang akan bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke 13 (PRU-13) di Muassasah Darul Syarif, Kampung Gajah Mati, Jalan Batu Kikir di sini malam Rabu.

Hadir sama Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali dan beberapa pemimpin kanan PAS negeri.

Terdahulu pemilihan Aishah atau nama sebenarnya Wan Aishah Wan Ariffin, 48, dikatakan tidak disenangi pucuk pimpinan PAS negeri apabila nama Ketua Pemuda PAS Jempol, Mohd Fairuz Mohd Isa sebelum ini telah diumumkan sebagai calon kerusi berkenaan.

Mohamad Sabu atau Mat Sabu berkata, pemilihan Aishah itu dipersetujui selepas melihat kepada latar belakangnya selain dia turut dibesarkan dalam keluarga alim ulamak.

Dalam pada itu katanya, PAS juga melihat penyanyi lagu Janji Manismu itu mempunyai pengaruh yang dapat menarik perhatian orang awam.

Sementara itu Mohd Fairuz dalam ucapannya berharap tidak wujud sebarang spekulasi berhubung namanya yang tidak dicalonkan untuk kerusi berkenaan.

Dia sebaliknya berkata akan memberi sokongan padu kepada Aishah serta sanggup menjalinkan kerjasama untuk membantunya berkempen.

"Saya sokong penuh Aishah sebagai calon Jempol dan ini adalah calon terbaik pilihan PAS pusat," katanya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan