Tiada 'Rumah' Untuk Saya - Jui Meng

Diterbitkan: Jumaat, 5 April 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Chua Jui Meng
Chua Jui Meng

PETALING JAYA: Selepas dua minggu Datuk Chua Jui Meng 'menghilangkan' diri apabila terlepas peluang bertanding di kerusi Parlimen Gelang Patah, Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri Parti Keadilan Rakyat (PKR) Johor itu akhirnya tampil dan menyuarakan minat untuk tetap bertanding pada pilihan raya akan datang.

Bagaimanapun bekas Naib Presiden MCA itu berkata sehingga kini belum ada kerusi yang ditawarkan untuknya.

Sambil mengakui menyedari bahawa kesemua 11 kerusi PKR di Johor sudah mempunyai calon, Chua bagaimanapun akur dengan keputusan parti.

"Parti arahkan supaya saya tinggalkan 'rumah' saya di Gelang Patah kerana kata mereka saya disediakan sebuah 'rumah' baru.

"Tapi sehingga kini masih belum ada mana-mana pintu dibuka kepada saya," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat PKR di sini, Jumaat.

Menyifatkan kawasan Parlimen Gelang Patah sebagai 'rumah yang didiaminya' sejak beberapa tahun yang lalu, Chua turut mengakui bahawa penyokongnya di kawasan berkenaan kecewa dengan keputusan tertinggi parti menyerahkan kerusi yang dilobinya itu kepada veteran DAP, Lim Kit Siang.

"Sekarang saya sudah tiada 'rumah', dulu 'rumah' saya di Gelang Patah. Sejak sambutan Tahun Baru Cina lalu, saya sudah menemui hampir kesemua pengundi di Gelang Patah.

"Tapi baru-baru ini parti arahkan saya supaya tinggalkan 'rumah' saya itu," katanya.

Chua bagaimanapun menegaskan beliau akan tetap membantu DAP dan PAS pada PRU akan datang.

Pada PRU 2008, PKR bertanding di 12 kerusi Parlimen di Johor namun berkurangan satu kerusi pada pilihan raya kali selepas Parlimen Gelang Patah dilepaskan kepada DAP.

Baki 11 kerusi yang akan ditandingi PKR ialah Sri Gading, Batu Pahat, Pasir Gudang, Muar, Sembrong, Johor Baru, Ledang, Sekijang, Tebrau, Tebrau, Pengerang dan Pontian.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan