PRU-13: Pusingan Tarik Sokongan Pengundi Atas Pagar

Diterbitkan: Isnin, 1 April 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Tumpuan kempen menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) akan datang kini terarah kepada kumpulan pengundi atas pagar terutamanya di kawasan bandar yang berusia 40 tahun ke bawah.

Parti-parti politik dilihat sedang giat menarik sokongan kumpulan yang masih belum membuat keputusan, dipercayai di antara kira-kira 3.75 juta pengundi baru.

Walaupun tekaan terhadap pendirian golongan pengundi atas pagar ini masih terbuka, namun jentera kempen bekerja keras untuk membuktikan pihak mereka lebih baik berbanding pihak lawan.

Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin berkata, parti itu telah mengenal pasti lebih ramai pengundi atas pagar di kawasan bandar dan pinggir bandar.

"Jumlah mereka mungkin sehingga 40 peratus daripada pengundi yang masih belum membuat keputusan untuk mengundi pihak mana dan jumlah itu kemungkinan meningkat terutama di kalangan pengundi muda, bahkan mungkin 50 peratus.

"Saya fikir mereka masih belum membuat keputusan sementara menunggu senarai calon-calon yang akan diumumkan. Mereka juga mungkin mahu membandingkan manifesto kedua-dua belah pihak," katanya.

Khairy berkata, dengan wujudnya sejumlah besar pengundi yang belum membuat keputusan, pemilihan calon untuk bertanding akan menjadi lebih penting.

"Di kawasan bandar, kita mesti memilih calon yang boleh memenangi kumpulan atau ahli masyarakat yang bebas (tidak berparti) melebihi hanya yang diterima penyokong parti," katanya.

Sementara itu Ketua Biro Profesional Muda MCA, Datuk Chua Tee Yong berkata mereka tidak boleh mengambil mudah mengenai golongan pengundi atas pagar.

Mengakui bahawa Barisan Nasional (BN) terlepas pandang mengenai sentimen pengundi pada pilihan raya umum 2008, beliau berkata: "Pada masa itu, kita tidak merasakan gelombang yang berlaku, kami tidak cukup sensitif dan tidak berasa perubahannya."

Chua berkata pengundi atas pagar biasanya memilih calon-calon yang mudah didekati, berupaya menyuarakan isu yang dibangkitkan dengan baik dan juga sama ada mereka boleh bertutur dalam dialek tempatan atau tidak.

Selain itu Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub berpendapat bahawa walaupun ia bukan sesuatu yang biasa bagi pengundi di kawasan luar bandar untuk menjadi pengundi atas pagar, ada diantara mereka yang akan membuat keputusan pada saat-saat akhir.

"Malah pekerja parti yang mengangkut pengundi dari rumah ke pusat mengundi juga boleh membantu mempengaruhi undi.

"Tetapi saya fikir pada masa ini, ramai sudahpun membuat keputusan," katanya.

Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata, sokongan pengundi atas pagar adalag sangat penting dalam mana-mana pilihan raya.

Walau bagaimanapun, Loke berkata anggaran jumlah pengundi atas pagar adalah hanya antara 15 peratus dan 20 peratus sahaja, iaitu jauh lebih rendah daripada unjuran BN.

"Saya fikir kebanyakan pengundi sudah buat keputusan. Kedua-dua pihak mempunyai peminat tegar mereka dan penyokong asas mereka, tetapi masing-masing perlu untuk menarik sokongan golongan pengundi atas pagar untuk menang," katanya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan