suria

Tiga Maut, Dua Parah Dalam Nahas Di KM 8 Jalan Kuala Nerang-Jitra

KUALA NERANG: Tiga lelaki maut manakala dua lagi cedera parah selepas motosikal yang mereka naiki dirempuh kenderaan lain dari belakang dalam satu nahas di Kilometer 8 Jalan Kuala Nerang-Jitra berhampiran Kampung Kurung Hitam di sini pada kira-kira pukul 9 malam, Sabtu.

Mangsa yang berusia antara 16 hingga 22 tahun dikatakan menaiki tiga motosikal bergesel sesama sendiri ketika dalam perjalanan pulang dari pasar malam di Bukit Nyamuk sebelum dirempuh kenderaan lain dari arah sama.

Ketua Polis Daerah Padang Terap DSP Ku Yaacob Ku Hamad berkata dalam kejadian itu, tiga mangsa meninggal dunia di tempat kejadian manakala dua lagi dirawat di Hospital Kuala Nerang dan Hospital Sultanah Bahiyah (HSB).

Beliau berkata mangsa yang meninggal dunia ialah Mohd Akbar Sanusi, 18, Muhamad Amirul Akbar Jaafar, 20 dan Muhammad Syahid Salim, 22, berikutan kecederaan parah di kepala serta badan.

"Dua lagi mangsa iaitu Mohd Fikri Abdul Rahman, 16, dirawat di Hospital Kuala Nerang dan Mohd Fahmi Radzi, 21, yang kritikal, ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) di HSB," katanya ketika dihubungi hari ini.

Ku Yaacob berkata pihaknya menemui tiga motosikal serta kesan tayar kenderaan yang menggilis mangsa dan sedang menyiasat bagi mengenal pasti ia kereta atau lori.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Mayat ketiga-tiga mangsa dihantar ke HSB untuk bedah siasat sebelum dituntut anggota keluarga masing- masing.

Jenazah Muhammad Syahid dan Mohd Akbar dikebumi dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Kampung Nai Teh manakala Muhamad Amirul Akbar dikebumi di Kampung Paya Terap, Perik.

Sementara itu, saksi kejadian, Hanafi Said, 54, berkata dia terdengar dentuman kuat kira-kira 50 meter jarak dari rumahnya serta teriakan orang meminta tolong.

Apabila tiba di tempat kejadian, dia melihat lima lelaki bergelimpangan atas jalan raya manakala jeritan meminta tolong tidak lagi kedengaran dipercayai mangsa yang berbuat demikian sudah meninggal dunia.-BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain