suria

Sorotan 2013: BN Lepasi Cabaran PRU Paling Dinanti

Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Tun Razak meraikan kejayaan parti itu pada PRU-13, 5 Mei lalu. Foto AZMAN GHANI / The Star
Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Tun Razak meraikan kejayaan parti itu pada PRU-13, 5 Mei lalu. Foto AZMAN GHANI / The Star
Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Tun Razak meraikan kejayaan parti itu pada PRU-13, 5 Mei lalu. Foto AZMAN GHANI / The Star

KUALA LUMPUR: Rakyat Malaysia keluar mengundi pada 2013 bagi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) pada 5 Mei, yang menyaksikan Barisan Nasional (BN) kekal berkuasa di Putrajaya, sebagai kerajaan persekutuan.

Kecuali Sarawak yang mengadakan pilihan raya negeri pada 16 April 2011, PRU-13, yang disifatkan ibu segala pilihan raya, merekodkan sejumlah 13,268,002 pengundi berdaftar, 8,245 pusat mengundi dan 1,900 calon bertanding bagi merebut 222 kerusi Parlimen dan 505 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Walaupun Barisan Nasional (BN) hanya menang 133 kerusi Parlimen, kurang tujuh daripada yang dimenangi pada 2008, ia tetap menghancurkan cita-cita pakatan pembangkang untuk menawan Putrajaya.

Biarpun gagal merampas kembali Selangor, Pulau Pinang dan Kelantan, BN berjaya membentuk kembali kerajaan negeri di Kedah setelah menang 21 daripada 36 kerusi DUN, tambahan tujuh kerusi daripada hanya 14 kerusi pada pilihan raya umum sebelum ini, selain menggugat cengkaman PAS di Kelantan dengan kemenangan 12 kerusi, berbanding enam kerusi yang dimenangi pada 2008.

Pakatan pembangkang yang kecewa, melontarkan tuduhan antaranya mendakwa kemenangan BN dibantu oleh 40,000 warga Bangladesh yang dibawa masuk untuk mengundi, selain menyalahkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kerana tidak membuat sebarang penambahbaikan bagi memastikan PRU13 berlangsung dengan adil.

SPR dalam penafiannya menegaskan bahawa pelbagai penambahbaikan telah dilakukan antaranya memastikan daftar pemilih yang digunakan dalam PRU-13 diwartakan melalui proses pembersihan terperinci dan semakan dalam talian dengan rekod warganegara dan alamat terkini pemilih mengikut pangkalan data Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Menurut SPR, sistem pendaftaran pemilih menggunakan nombor kad pengenalan 12 angka yang unik sebagai pengenal pasti pendaftaran itu memastikan tiada ruang bagi sesiapa yang bukan warganegara sama ada dari Bangladesh, Indonesia, China atau India dapat mendaftar sebagai pengundi tambahan.

Selaras dengan tuntutan utama parti politik pembangkang dan badan bukan kerajaan, SPR turut memperkenalkan penggunaan dakwat kekal pada PRU-13 sebagai elemen tambahan kepada prosedur pengundian bagi mengelak cubaan mengundi dua kali mana-mana pihak, malah tempoh berkempen juga turut ditambah kepada 15 hari, berbanding 13 hari pada PRU 2008.

Pakatan pembangkang juga menjadikan undi popular sebagai modal untuk terus mempertikai kemenangan BN berdasarkan jumlah undi sebanyak 5,623,984 yang diperoleh mereka, walhal sistem 'first-past-the-post' - parti pertama mencapai majoriti diisytihar menang pilihan raya - sudah diamalkan sejak PRU pertama pada 1959.

"Dalam konteks ini, walaupun parti pembangkang memperoleh jumlah besar undi iaitu sebanyak 5,623,984, mereka hanya memenangi 89 kerusi bahagian pilihan raya, manakala BN memperoleh jumlah undi sebanyak 5,237,699, namun dari sudut jumlah bahagian pilihan raya, BN memenangi sebanyak 133 kerusi Parlimen dan berhak membentuk kerajaan di peringkat pusat," kata Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof ketika menjelaskan perkara itu.

Keputusan PRU-13 itu juga menyaksikan kedudukan Umno, yang memiliki keanggotaan melebihi tiga juta, sebagai sebuah parti tunggak BN dan parti politik terbesar tanah air semakin stabil dan lebih kukuh meskipun berdepan pelbagai ujian getir.

Umno menguasai 88 daripada 133 kerusi yang dimenangi oleh BN dalam pilihan raya itu berbanding 79 daripada keseluruhan 140 kerusi BN pada 2008.

Keputusan PRU-13 itu juga memperlihatkan penolakan pengundi Tionghua kepada MCA masih berterusan apabila parti terbesar kaum Cina itu hanya memenangi tujuh kerusi Parlimen daripada 37 dan 11 kerusi DUN daripada 90 yang ditandingi.

Rentetan itu, Najib yang dipilih semula sebagai Perdana Menteri ketika mengumumkan barisan baharu Kabinet pada 15 Mei, tidak menyenaraikan anggota Parlimen MCA, selaras dengan resolusi parti itu yang tidak akan menerima sebarang jawatan dalam Kabinet jika tidak mencatat kejayaan memberangsangkan.

MCA sebelum ini mengumumkan pendirian parti itu untuk tidak menerima sebarang jawatan dalam kerajaan jika prestasinya pada PRU13 lebih teruk daripada PRU12 apabila parti itu memenangi 15 kerusi Parlimen dan 32 kerusi negeri.

Tidak sampai 100 hari selepas PRU13, negara sekali berdepan dengan Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Besut, Terengganu pada 24 Julai.

Umno perlu bekerja keras mempertahankan kerusi itu bagi mengelak kedudukan kerusi DUN Terengganu menjadi 16-16, andai PRK yang berlangsung di bulan puasa itu memihak kepada PAS berdasarkan kepada jumlah 17 daripada 32 kerusi yang dimenangi BN selepas pilihan raya umum Mei lepas. - BERNAMA

Artikel Berikut

Menyingkap Agenda Ekstremis

Artikel Lain