suria

Pembaharuan Perkhidmatan Awam

Zaid Ibrahim.
Zaid Ibrahim.
Zaid Ibrahim.

DALAM sesi parlimen, anggota-anggota Dewan Rakyat dari kedua-dua belah pihak - kerajaan dan pembangkang - telah mengemukakan banyak persoalan menarik kepada para menteri.

Ahli Parlimen Kelana Jaya, Wong Chen misalnya telah bertanya mengapa Malaysia perlu menghabiskan berbilion-bilion ringgit setiap tahun untuk membayar khidmat “perunding” sedangkan negara ini mempunyai sebanyak 1.4 juta kakitangan awam. Menteri yang memberi jawapan adalah Datuk Seri Shahidan Kassim, Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Menurut Shahidan, perkhidmatan awam memberikan peluang kerja kepada rakyat Malaysia dan ia bertanggungjawab untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang berdaya saing dan berkembang dengan pesat.

Tentu lebih baik jika Shahidan memberikan jawapan yang lebih tepat, menyeluruh dan bertanggungjawab. Beliau tidak menjelaskan mengapa rakyat Malaysia lebih tertarik untuk menyertai perkhidmatan awam sedangkan saban hari ribuan peluang kerja terbuka dalam sektor lain.

Shahidan juga tidak memberitahu kita apakah usaha yang kerajaan sedang jalankan bagi menggalakkan golongan yang mencari kerja untuk mencari pekerjaan dalam sektor swasta.

Pada kadar sekarang, negara kita mempunyai jumlah kakitangan awam terbesar di kalangan negara Asia Pasifik. Ada sebab yang baik mengapa negara-negara lain cuba memastikan agar nisbah kakitangan awam mereka sentiasa berada di bawah 2%. Nisbah kakitangan awam di negara kita sekarang ialah sebanyak 4.7%.

Sepertiga daripada perbelanjaan kita – iaitu hampir RM60 bilion – diperuntukkan untuk membayar gaji kakitangan awam setiap tahun. Sekurang-kurangnya Shahidan sepatutnya mengakui bahawa jika trend ini dibiarkan, negara akan berdepan dengan malapetaka fiskal.

Semakin banyak wang digunakan untuk membayar gaji kakitangan awam, semakin sedikit wang yang tinggal untuk perkhidmatan awam. Memang ironik.

Saya berharap perkara ini diakui sebagai satu masalah, kerana saya mengharapkan masih ada beberapa orang yang bersikap hemat dan waras dalam kerajaan. Kita boleh terus berharap.

Memang akan ada kesan sosial dan politik jika kita mula mengurangkan bilangan kakitangan awam. Tetapi pengurangan tidak semestinya membabitkan pembuangan kerja. Sebaliknya kita boleh, sebagai contoh, berhenti menggantikan kakitangan yang bersara atau memilih untuk meninggalkan perkhidmatan awam.

Ada banyak hujah yang boleh dikemukakan dan ada banyak pula saranan yang boleh dipertimbangkan. Tindakan meremeh-remehkan persoalan seperti yang dilakukan Shahidan adalah amat tidak bertanggungjawab.

Kerajaan mesti merangsang pembentukan peluang kerja dalam sektor swasta dan melatih semula kakitangan awam untuk tujuan itu. Ini adalah salah satu pendekatan yang wajar diambil untuk membuka peluang kerja kepada rakyat Malaysia dan pada masa yang sama mengurangkan bebanan kerajaan untuk membayar gaji.

Bagi saya, jelas bahawa jika perkhidmatan awam menjadi “majikan besar”, ia tidak akan mampu menyediakan perkhidmatan sokongan yang berkesan bagi kerajaan.

Kerajaan tidak akan mendapat perkhidmatan sokongan lebih baik dan mutu perkhidmatan awam pula tidak akan lebih meningkat jika kakitangan awam diambil sebanyak yang mungkin semata-mata kerana kita hendak memberi pekerjaan kepada mereka.

Pendekatan sedemikian akan menyebabkan kemahiran dan keupayaan tidak lagi menjadi faktor penting, atau malah tidak akan termasuk dalam perhitungan sama sekali, kerana yang penting ialah meningkatkan jumlah kakitangan.

Penyerahan tugas menyediakan rancangan induk negara dan tugas membuat kajian projek kepada perunding swasta serta pembentukan program Talent Corp menunjukkan bahawa kakitangan awam sedia ada tidak begitu berkeupayaan untuk menjalankan tugas yang perlu dibuat.

Kita mahu mendengar jawapan yang seimbang terhadap permasalahan hakiki. Jika Shahidan berterus-terang, beliau mungkin memberitahu kita bahawa sebahagian kakitangan awam tidak mampu melakukan tugas yang diserahkan kepada mereka.

Amalan penggunaan khidmat perunding luar tidak selalu buruk. Ada sesetengah masalah yang mungkin memerlukan bantuan pakar, maka dalam keadaan sedemikian kerajaan perlu mendapatkan khidmat-nasihat terbaik demi kesejahteraan rakyat.

Kemajuan ekonomi dan sosial negara ini tidak boleh ditangguh hanya kerana kekurangan kepakaran atau kemahiran dalam perkhidmatan awam.

Sebagai contoh, di Britain, menteri dibenarkan untuk membentuk “extended ministerial offices” (jabatan-jabatan tambahan bagi kementerian) yang para pekerjanya bukan dari kalangan kakitangan awam dengan tujuan meningkatkan kecekapan.

Di Amerika, semakin banyak pekerjaan berpengkhususan dibentuk di luar kerangka kerja umum perkhidmatan awam. Pimpinan politik adakalanya terpaksa membentuk pasukan baru untuk mempercepat proses pembuatan keputusan. Dalam kebanyakan keadaan, proses ini berjalan agak lancar.

Dari sudut ini, saya tidak merasa Putrajaya perlu ragu-ragu untuk melibatkan perunding luar, tetapi ia mesti menunjukkan dengan jelas bahawa kesejahteraan rakyat akan terjejas jika pendekatan itu tidak diambil.

Lebih jelas lagi, perkhidmatan awam Malaysia memerlukan pembaharuan dengan segera untuk menyesuaikannya dengan dunia moden. Kerajaan akan terjejas jika perkhidmatan awam bersikap tidak saksama, tidak mengamalkan dasar ketelusan, serta jika kita terus mengamalkan tabiat melantik penyokong-penyokong politik sebagai pemegang jawatan dalam kerajaan, kerana semua itu akan menyebabkan para pemimpin kita sukar untuk mendapat nasihat terbaik.

Di mana-mana negara pun, peningkatan jumlah kakitangan awam yang tidak membawa kepada peningkatan produktiviti, kecekapan dan mutu perkhidmatan akan hanya membebankan negara.

Kita sering mendengar orang menyebut bahawa kakitangan awam wajib berkhidmat untuk orang ramai, bukan sebaliknya. Kita perlu mengakui kini bahawa sebahagian anggota perkhidmatan awam sedang menjadi beban kepada rakyat. Pembaharuan perkhidmatan awam hanya boleh mula digerakkan jika para menteri akur tentang masalah ini.

Jawapan Shahidan tidak menunjukkan beliau akur.

> Pandangan yang diungkapkan di sini sepenuhnya milik penulis.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain