suria

Teka-Teki Tentang Khidmat Perunding

APAKAH kerajaan berbelanja terlalu banyak bagi mendapatkan bantuan orang asing untuk merangka dasar negara? Dalam satu jawapan bertulis kepada soalan di parlimen, dinyatakan bahawa Jabatan Perdana Menteri (JPM) telah membelanjakan lebih RM200 juta sejak enam tahun lalu untuk membayar khidmat perundingan berkaitan dengan penyediaan beberapa rancangan induk dan laporan di peringkat nasional.

Sama ada rancangan induk yang disediakan itu cukup banyak atau hanya sedikit yang disediakan, tetapi pada biaya yang mahal.

Soalan parlimen itu dikemukakan setelah ada pendedahan tentang pembayaran sebanyak RM20 juta kepada sebuah firma perundingan pengurusan terkemuka untuk membantu menyediakan Rancangan Induk Pendidikan Malaysia.

Bercakap tentang belanjawan negara, jumlah RM20 juta sebenarnya kecil; jumlah itu mewakili hanya 0.01% daripada belanjawan tahunan Malaysia (sebagai perbandingan, belanjawan untuk Kementerian Pendidikan bagi tahun 2012 adalah sebanyak RM37 bilion, atau sekitar 15% belanjawan negara). Namun, jika wang itu tidak dibelanjakan dengan bijak, ia adalah suatu pembaziran.

Saya telah terlibat dalam beberapa projek yang membabitkan perunding (adakalanya saya menjadi sebahagian daripada pasukan perunding). Dalam hampir setiap projek, saya pernah mendengar kritikan tentang cara mereka menjalankan tugas.

Perundingan pengurusan secara umumnya dianggap banyak orang sebagai konsep yang kabur. Secara teori, perunding adalah pakar yang kita upah untuk membantu kita meningkatkan prestasi syarikat. Mereka mengenal pasti isu-isu dan kelemahan yang ada dan seterusnya mencadangkan cara untuk merungkai permasalahan. Dalam soal Malaysia, istilah “syarikat” itu kita gantikan dengan “negara”, tetapi cara kerja perunding pada asasnya adalah sama.

Mungkin antara aduan pertama yang akan kita dengar setelah melibatkan perunding adalah tentang biaya. Khidmat perunding biasanya mahal. Sebuah pasukan kecil yang dianggotai oleh sekitar enam orang dan diketuai oleh pengarah projek yang memiliki MBA biasanya menelan biaya sebanyak ratusan ribu ringgit sebulan. Itu belum dikira elaun perjalanan mereka serta biaya ruang pejabat.

Pulangannya? Secara teori, pelanggan akan mendapat graduan dari universiti-universiti terbaik di dunia (yang biasanya segak atau cantik), kepakaran bertaraf dunia, serta akses kepada penyelidikan dan “amalan terbaik” dari seluruh dunia.

Tetapi setelah kerja berjalan, biasanya banyak orang merasakan pulangan sebenar yang mereka dapat hanyalah kekecewaan. Puncanya boleh dikatakan kerana perbezaan budaya dan rasa tidak puas hati (yang timbul kerana terpaksa bekerja dengan seseorang yang melakukan kerja yang sama seperti kita lakukan tetapi dibayar upah lima kali lebih tinggi).

Sewaktu menempuh pengalaman pertama bekerjasama dengan perunding, pada suatu tahap kita merasa seperti hendak berkata, “Mereka memberitahu kita perkara-perkara yang telah pun kita ketahui!” Untuk mengenal pasti masalah, kebanyakan perunding biasanya turun ke lapangan bersenjatakan soalan seperti “Apa yang tidak kena sekarang?” dan “Mengapa keadaan jadi begini?”

Setelah itu mereka akan mengadakan bengkel untuk membentangkan kajian kes daripada projek-projek lain yang pernah mereka jalankan, manakala kita dan rakan-rakan sekerja kita akan mengemukakan buah fikiran untuk menyelesaikan masalah-masalah berkenaan.

Di tahap ini, kita mula terfikir berapa banyak daripada buah fikiran yang kita sumbangkan itu akan dikemukakan pula kepada pelanggan mereka yang seterusnya – pendek kata, kerja keras yang kita lakukan hari ini mungkin akan menghasilkan pendapatan buat perunding di kemudian hari. Setelah dokumen akhir dihasilkan, pada peringkat awal kita akan merasa kagum dengan mutu pembentangan dan sasaran tinggi yang ditetapkan.

Tetapi kemudiannya kita menyedari bahawa tidak banyak petunjuk yang dikemukakan untuk membantu kita mencapai sasaran yang ditetapkan. Bererti, menurut perunding untuk menyelesaikan masalah kita perlu melakukan sesuatu yang sukar dan mereka menyerahkan kepada kita untuk melakukannya (atau menawarkan pula khidmat pemantauan pelaksanaan rancangan).

Tidak banyak gunanya untuk kita mengemukakan aduan tentang mereka, kerana dalam pertemuan dengan pegawai atasan perunding, majikan anda telah terpikat dengan cara mereka melakukan kerja (mungkin antara sebab majikan kita terpikat ialah kerana banyak wang telah dilaburkan untuk membayar upah mereka).

Pendekatan firma perunding ini boleh dibandingkan dengan seseorang yang meminjam jam kita untuk melihat waktu dan kemudian bertanya mengapa jam kita rosak. Setelah kita menjelaskan kepada mereka sebab-sebabnya dan bagaimana ia mungkin dibaiki.

Mereka lalu mencatatkan penjelasan kita dan setelah itu mengembalikan catatan itu kepada kita dengan nasihat, “Ini yang perlu kamu lakukan.”

Jadi, persoalan yang jelas di sini: Jika para perunding melakukan kerja yang tidak bagus, mengapa kita tetap berulang kali mengupah mereka?

Dengan melibatkan perunding, laporan yang disiapkan biasanya kemas, disunting dengan baik dan mudah dibaca.

Banyak kelemahan yang disabitkan dengan perunding boleh dibendung jika ada seorang pemimpin yang berkeupayaan memimpin kerja mereka. Perunding bukan penyelesaian kepada masalah yang kita tidak ketahui cara menyelesaikannya; peranan mereka hanya untuk membantu kita mencari penyelesaian yang diperlukan.

Saya perlu akui bahawa RM20 juta itu satu jumlah yang besar untuk kerja membantu menyediakan rancangan induk – sekali pun rancangan induk itu untuk peringkat nasional. Dengan wang sebanyak itu kita boleh membentuk kumpulan perunding dalaman seperti PEMANDU (Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan).

Meski pun begitu, walaupun berada di bawah Jabatan Perdana Menteri, Pemandu kadang-kadang dikritik sebagai pihak luar yang mempunyai belanjawan besar, yang kerjanya hanya menganjurkan bengkel dan memberi arahan kepada agensi lain tentang perkara-perkara yang perlu dilakukan tanpa mereka perlu terlibat melaksanakannya. Seperti biasa didengar, bukan?

Mereka juga dikritik kerana tidak mematuhi prosedur kerajaan yang standard. Namun, bagi saya inilah salah satu tujuan Pemandu dibentuk – untuk keluar daripada kebiasaan, memandangkan kita merasa yakin bahawa sebagai sebuah negara, Malaysia mempunyai kemampuan lebih besar.

Di bawah GTP (Program Transformasi Kerajaan) dan ETP (Program Transformasi Ekonomi), Pemandu terlibat menetapkan sasaran yang ingin kita capai dan memantau pelaksanaan rancangan. Kita masih menunggu untuk melihat kesannya.

Barangkali kita perlu melihat perunding luaran dengan cara yang sama. Dengan menggunakan kekuatan yang ada dalam sesebuah organisasi, permasalahan dikenal pasti dan penyelesaian ditemukan.

Akhirnya, sebahagian besar idea dan sasaran dalam pelbagai rancangan induk kerajaan disumbangkan oleh rakyat Malaysia sendiri. Jika kita mampu mencapai hanya separuh daripada sasaran yang ditetapkan dalam Pelan Induk Pendidikan, maka biaya penghasilan dokumen itu bolehlah kita anggap kecil.

> Logik adalah anti-tesis kepada emosi, tetapi Dzof Azmi, ahli matematik yang kini menjadi penulis skrip, mempunyai teori bahawa manusia memerlukan kedua-duanya untuk memahami ragam dan kontradiksi dalam kehidupan.

Artikel Lain