suria

Panorama Menarik & Seni Bina Unik Di Lima Negara Eropah Timur

Air panas ini boleh diminum tetapi rasanya agak payau dan berbau seperti selut.
Air panas ini boleh diminum tetapi rasanya agak payau dan berbau seperti selut.
Air panas ini boleh diminum tetapi rasanya agak payau dan berbau seperti selut.

MELUANGKAN masa kira-kira dua minggu di lima buah negara di Eropah Timur memberi satu pengalaman yang cukup menarik dalam usaha menyaksikan keindahan seni bina di negara berkenaan.

Percutian bersama agensi pelancongan Poto Travel & Tours itu berjaya memperlihatkan betapa masyarakat Eropah benar-benar mengangkat warisan negara untuk dihayati sejarahnya oleh generasi hari ini.

Seni bina pada bangunan dan istana lama antara ciri-ciri menarik dapat dilihat ketika saya bersama teman-teman bercuti ke lima negara iaitu Republik Czech, Slovakia, Hungary, Austria dan Jerman.

Faktor makanan mungkin menjadi masalah utama bagi mereka yang benar-benar teliti soal makanan halal tetapi banyak makanan lain seperti roti, salad dan juga kebab dari restoran-restoran Arab dijual.

Cuma, harganya agak mahal jika ditukar dari nilai mata wang Euro kepada nilai mata wang Malaysia.

Air Panas di Karlovy Vory

Penjelajahan di Republik Czech bermula di Karlovy Vory, sebuah bandar yang terkenal dengan penghasilan air panas sejak kurun ke-18 lagi.

Bandar ini menerima dua juta pelawat setahun hanya untuk menikmati terapi di kolam air panas di samping merasai air mineral berkenaan yang dipercayai mampu mengubati penyakit.

Sehingga ke hari ini, masyarakat di Eropah percaya, air panas semula jadi yang terdapat di Karlovy Vory mampu memulihkan penyakit kulit selain bertindak sebagai terapi.

Sebab itulah pihak berkuasa menyediakan satu saluran khas bagi memudahkan pengunjung memperoleh air panas itu untuk diminum.

Rasanya airnya agak payau mungkin tindak balas belerang daripada sumber air tersebut.

Selain kehebatan air panas, bandar Karlovy Vory yang lebih tenang ini pernah menjadi lokasi penggambaran filem Casino Royale arahan Martin Campbell lakonan Daniel Craig.

Grand Hotel Pupp pula antara mercu tanda yang dianggap hebat kerana turut menjadi lokasi bermalam bintang-bintang filem ternama selain orang kenamaan. Hotel tertua ini dibina pada tahun 1701.

Kunjungan ke Republik Czech tidak akan lengkap jika tidak menjejakkan kaki ke bandar Prague.

Bandar ini agak tenang dengan pengangkutan awamnya kelihatan lebih tersusun. Trem menggunakan kuasa elektrik adalah antara pengangkutan awam yang menjadi pilihan penduduk selain perkhidmatan bas dan teksi.

Antara lokasi menarik yang harus dikunjungi di Prague ini ialah Charles Bridge, jambatan bersejarah yang merentasi sungai Vltava.

Jambatan yang dibina pada tahun 1357 ketika pemerintahan King Charles IV itu merupakan penghubung antara sebuah kota lama dipanggil Prague Castle dan bandar lama - Old Town yang suatu ketika dahulu menjadi perhubungan penting perdagangan antara Timur dan Eropah Barat.

Istana - Prague Castle pula adalah simbol purba negara itu yang juga satu monumen penting diasaskan sekitar tahun 880. Ia telah ditakrifkan sebagai tapak warisan dunia Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (Unesco).

Pengembara dapat melihat seni bina daripada ciri-ciri bangunan gaya Roman pada abad ke-10 sehinggalah kepada gaya Gothic abad ke-14 pada istana berkenaan.

Di Prague Castle ini pengembara akan berpeluang menyaksikan bagaimana anggota keselamatan menjaga istana selain pertukaran syif anggota berkenaan yang unik.

Bagi yang gemar lukisan potret, anda boleh mencuba bakat pelukis-pelukis jalanan yang mengambil upah melakar gambar anda di atas jambatan Charles.

Keunikan Slovakia

Melanjutkan perjalanan di Eropah Timur ini apabila saya menjejakkan kaki ke Slovakia yang dapat membawa saya menyaksikan perbezaan dua negara yang suatu ketika dahulu ‘memiliki satu bendera’.

Slovakia dan Czech Republic dahulunya dikenali sebagai Czechoslovakia sebelum kedua-duanya berpecah untuk membentuk kerajaan sendiri pada 1 Januari 1993.

Dari segi kemajuan, Slovakia dilihat agak terkebelakang berbanding Republik Czech yang lebih pesat dari segi ekonominya.

Bratislava iaitu ibu negara Slovakia dikenali sebagai City of Students yang merupakan pusat perkembangan pendidikan Eropah.

Walaupun ia sebuah ibu negara di Eropah yang lebih kecil tetapi bangunan lamanya berjaya memainkan peranan penting dalam sejarah negara itu.

Bangunan parlimennya adalah antara bangunan yang paling mudah untuk dilawati kerana terletak di atas bukit di tengah-tengah bandar.

Ia simbol keutuhan kerajaan Slovakia dengan pembinaannya menghadap Sungai Danube sehingga kita boleh melihat negara jirannya, Austria.

Istana Gothic Budapest

Destinasi seterusnya ialah Budapest, Hungary, sebuah negara yang cukup menarik kerana kemampuannya mengeluarkan berjuta-juta liter air panas daripada beratus-ratus mata air panas yang terdapat di negara itu.

Sungai Danube di Budapest ini juga simbol kepada negara tersebut kerana ia memisahkan dua buah bandar iaitu Buda dan Pest sebelum kedua-duanya digabungkan untuk menjadi sebuah bandar besar.

Lambang keagungan sungai ini melalui lapan jambatan merentasinya termasuk jambatan kereta api selain aktiviti pelayaran atas bot turut disediakan untuk pelancong.

Sementara itu istana gaya gothic iaitu Buda Castle pula telah diangkat sebagai tapak warisan dunia pada tahun 1987. Ia adalah lambang kemegahan King Sigismund dan Raja Matthias dari abad ke 14.

Semasa perang dunia kedua, istana ini menjadi tempat perlindungan terakhir tentera Jerman yang jatuh ke tangan tentera Soviet. Peperangan yang berlaku menyebabkan seni binanya rosak sehingga terpaksa menjalani pembinaan semula pada 1950-an.

Dataran Heroses antara lokasi bersejarah yang wajar dilawati kerana monumen yang dibina pada tahun 1896 adalah simbolik kerajaan negara itu bagi memperingati penaklukan tentera ke atas Hungary.

Simbol tujuh orang pemimpin dibina di tengah-tengah monumen ini untuk mengenang bagaimana pemimpin berkenaan mengetuai Hungary ke Carpathian Basin pada 896 Masihi.

Di Budapest ini juga dapat dilihat ‘monumen kebebasan’ yang dibina pada tahun 1947, terletak di kaki Bukit Gillert dengan ketinggian kira-kira 140 meter dari aras laut.

Monumen berkenaan dibina sebagai penghormatan kepada tentera Soviet kerana berjaya membebaskan bandar berkenaan daripada cengkaman Nazi ketika perang dunia ke-2.

Pada asalnya bukit ini menjadi lokasi di mana mubaligh Kristian menyebarkan agama berkenaan.

Terpesona di Vienna

Negara keempat siri penjelajahan saya ialah Vienna, Austria dan tumpuan diberikan di Istana Schonbrunn yang bermakna ‘musim bunga yang indah’ iaitu mercu tanda agak penting di Austria.

Pada tahun 1569 ketika empayar Holly Roman, Raja Maximilian II telah membeli sebuah dataran untuk mendirikan istana dipanggil Katterburg, sebuah kawasan yang dijadikan tempat beliau berehat dan berburu.

Selain mercu tanda itu, terdapat sebuah lagi istana - Hofburg Palace. Dalam sejarahnya istana itu menempatkan individu yang mempunyai pengaruh dan kuasa di Eropah dan Austria termasuk dinasti Habsburg iaitu pemerintah empayar Austria – Hungary.

Istana berkenaan menjadi kediaman rasmi Presiden Austria.

Tidak jauh dari Vienna, sebuah lagi bandar yang harus dilawati iaitu Salzburg atau dikenali sebagai ‘bandar muzik’ yang melahirkan Mozart pada 27 Januari 1756.

Mozart membawa banyak perubahan kepada muzik ketika itu dalam karya operanya sehingga diingati sampai ke hari ini.

BMW dan Istana lama ‘moden’ di Jerman

Dari Salzburg saya membawa pembaca ke sebuah negara yang terkenal dengan industri automotif, BMW iaitu Munich, Jerman yang memakan masa kira-kira tiga jam.

Bilik pameran BMW dibuka bagi membolehkan orang ramai melihat kenderaan paling terbaharu yang dihasilkan oleh syarikat pengeluar kereta itu.

Kita juga dibenarkan untuk duduk di atas kerusi kenderaan-kenderaan yang dipamerkan bagi tujuan fotografi kenang-kenangan.

Dua jam perjalanan dari Munich, tentu sekali mempesonakan jiwa apabila melawat Neuscwanstein, sebuah ‘istana kebangkitan romantik’ abad ke19.

Istana yang terletak di atas bukti di Bavaria ini merupakan lambang kehebatan King Ludwig II. Tidak hairanlah dianggarkan seramai 1.3 juta pelancong melawat istana ini setiap tahun.

Mengikut sejarahnya, istana ini hanya sempat diduduki oleh raja berkenaan selama setengah tahun sebelum dia meninggal dunia pada tahun 1886.

Hiasan dalaman istana ini sungguh memukau kerana ia dihiasi dengan pelbagai lukisan dan ukiran pada setiap lantai dan tiangnya.

Menariknya walaupun istana ini dibina pada zaman kuno tetapi sudah terdapat teknologi moden pada istana berkenaan seperti kemudahan tandas dengan alat pam air, saluran air panas dan sejuk, telefon dan juga lif.

Sayangnya, pengembara tidak dibenarkan merakam gambar-gambar menarik.

Tip melancong oleh Poto Travel

Syarikat pelancongan Poto Travel & Tour yang mengendalikan percutian halal ke seluruh dunia menyediakan beberapa tip sebelum memulakan penggambaran ke Eropah Timur seperti berikut.

* Perlu membawa makanan segera dalam paket seperti nasi himpit, rendang dan juga makanan yang tidak basi.

* Makanan berasaskan laut atau sayuran-sayuran dijual dengan harga yang agak mahal kira-kira RM80 sepinggan. Jadi, pengembara harus bijak memilih makanan terutamanya jika percutian bajet.

* Penyeluk saku berlaku di mana-mana. Anda perlu berhati-hati dengan beg tangan dan dompet duit yang dibawa.

* Pakaian yang sesuai diperlukan kerana suhu yang tidak menentu. Pastikan anda menyemak suhu sesebuah negara terlebih dahulu sebelum membawa pakaian bersesuaian.

* Dapatkan waktu solat daripada pihak Poto Travel & Tour sebelum berlepas.

Bagi mendapatkan pakej pelancongan menarik Poto Travel & Tour, anda boleh melayari http://www.pototravel.com.my atau hubungi 03-9200-6640.

Artikel Sebelum

Petanda Yang Bahaya

Artikel Berikut

Artikel Lain