Sohaimi Pernah Jadi Guru Sekolah Pondok dan Pensyarah

Diterbitkan: Rabu, 23 Oktober 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

YAN: Calon Barisan Nasional(BN) bagi pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau, Dr Ahmad Sohaimi Lazim merupakan pendidik berpengalaman dalam bidang pengajian pondok, mahupun peringkat universiti.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata Ahmad Sohaimi pernah mengajar di dua buah sekolah pondok sebelum menjadi pensyarah universiti.

Calon BN itu merupakan bekas pensyarah kanan, Fakulti Sains Kemanusiaan, Universiti Pendidikan Sultan Idris ini, dan pernah menjadi tenaga pengajar di Sekolah Menengah Agama Taufikiah Khairiah Al Halimiah yang dikenali sebagai Pondok Pak Ya, dan juga Sekolah Agama Fauzi, atau Pondok Fauzi, di sini.

Sebagai bekas pendidik sekolah pondok tentunya beliau mempunyai bekas pelajar dan guru yang turut menyokongnya, kata Jamil Khir kepada pemberita di pusat penamaan calon PRK itu di sini Rabu.

Sementara itu, Ahmad Sohaimi ketika ditemui pemberita di Bilik Gerakan BN, berkata beliau yakin dapat membangunkan DUN Sungai Limau dengan lebih baik bagi faedah penduduk di situ.

"Saidina Umar pernah mengungkapkan bahawa hari ini semestinya lebih baik daripada semalam dan hari esok semestinya lebih baik daripada hari ini, jadi kalau zaman Ustaz Azizan (Tan Sri Azizan Abdul Razak penyandang kerusi DU NSungai Limau) baik, maka hari ini saya berjanji akan buat lebih baik daripada zaman beliau," katanya.

Bagaimanapun, Ahmad Sohaimi mengakui setiap pemimpin mempunyai keistimewaan sendiri dan mereka datang bersilih ganti, justeru setiap pemimpin perlu dipilih masyarakat dengan hati terbuka berdasarkan fakta jelas, pemikiran rasional dan tidak dipengaruhi mana-mana unsur tidak baik.

Bagi beliau, antara visinya adalah untuk menjadi penghubung masyarakat setempat dengan pihak kerajaan, supaya masalah mereka dapat diajukan ke peringkat atasan secara terus.

Pada PRK Sungai Limau itu, Ahmad Sohaimi, 52, berdepan satu lawan satu dengan calon PAS, Mohd Azam Abdul Samat, 37.

Pilihan raya itu diadakan berikutan penyandang DUN, Azizan, meninggal dunia 26 September lepas. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan