Laporan Audit Hanya Sekadar Peringatan Tahunan

Diterbitkan: Selasa, 22 Oktober 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Datuk Dr Shad Saleem Faruqi.
Datuk Dr Shad Saleem Faruqi.

LAPORAN Ketua Audit Negara 2012 boleh dianggap sebagai sesuatu yang berhemat, terpuji dan berani. Ia mengandungi sejumlah butiran yang mengejutkan tentang pemborosan, kecuaian kewangan, korupsi dan pengabaian tugas.

Memang ahli-ahli politik dan birokrat di seluruh dunia, termasuk di Eropah dan Amerika Syarikat, juga terlibat dalam salah laku dan pecah amanah. Bezanya, jika tertangkap mereka akan dihukum.

Sedangkan kita di sini cenderung bersikap memaafkan. Panel dan jawatankuasa selalu dibentuk untuk menyiasat perkara-perkara buruk yang dilaporkan oleh Ketua Audit. Namun, jarang ada langkah diambil untuk menghukum pesalah dan memperbaiki kesilapan.

Bukan kerana undang-undang yang ada tidak memadai. Sistem perundangan mengandungi institusi, undang-undang dan prosedur untuk memastikan pengurusan kewangan yang cermat dan menghukum tindakan korup dan pembaziran.

Masalahnya ialah kelemahan dalam penguatkuasaan peraturan. Undang-undang tidak berguna jika ia tidak dikuatkuasakan dengan baik oleh pihak yang bertanggungjawab ke atasnya. Dalam soal pengurusan kewangan yang cermat, institusi dan peruntukan perlembagaan serta perundangan seperti berikut telah pun wujud:

> Perlembagaan Persekutuan membentuk jawatan Ketua Audit Negara di bawah Perkara 105.

> Selain peruntukan tersebut, terdapat peruntukan tentang tanggungjawab kewangan dalam Akta Audit 1957 dan Akta Kerajaan Tempatan 1976.

> Dewan Rakyat mempunyai Jawatankuasa yang dianggotai oleh Ketua Audit Negara berikutan kedudukannya.

> Akta Badan Berkanun (Tatatertib dan Surjac) 2000 [Akta 605] membenarkan pengenaan “surcaj” ke atas kakitangan badan berkanun yang bertindak secara tidak bertanggungjawab dalam urusan kewangan. Undang-undang yang sama juga ada untuk kakitangan kerajaan.

> Akta 605 membenarkan tindakan tatatertib diambil ke atas kakitangan awam yang menyeleweng, sama ada diarahkan untuk bersara atau ditamatkan perkhidmatannya demi kepentingan awam. Peruntukan yang sama diterapkan ke atas kakitangan awam.

> Akta Pencegahan Rasuah 1997 memberikan kuasa yang luas kepada agensi pencegahan rasuah untuk menyiasat korupsi dan penyalahgunaan kuasa.

> Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 melindungi identiti pihak yang memberikan maklumat kepada pihak atasan mereka tentang salah laku dalam perkhidmatan awam.

> Kanun Keseksaan mempunyai banyak peruntukan yang boleh digunakan ke atas kakitangan awam yang korup. Antaranya: kecurian oleh kakitangan (seksyen 381); salah guna (seksyen 403); pecah amanah (seksyen 405); penipuan (seksyen 415); subahat (seksyen 107); dan konspirasi jenayah (seksyen 120A).

Jelas bahawa peruntukan undang-undang sedia ada sudah memadai untuk tugas berkenaan. Yang diperlukan hanyalah kemahuan untuk menggunakan peruntukan-peruntukan tersebut.

SURCAJ

Surcaj: Sama seperti “Perintah Am” untuk kakitangan awam, Akta Badan Berkanun (Tatatertib dan Surcaj) 2000 bertujuan untuk mengukuhkan tanggungjawab kewajngan, kejujuran, dan kecekapan badan berkanun.

Akta ini juga bertujuan untuk memelihara badan berkanun daripada kerugian yang disebabkan oleh kecuaian kakitangan, pengabaian tugas, penyelewengan, kecuaian atau ketidakcekapan.

Kakitangan dan juga bekas kakitangan tertakluk di bawah akta ini. Seseorang yang telah bersara, meletakkan jawatan, atau ditamatkan perkhidmatannya boleh dikenakan surcaj sama seperti yang dikenakan terhadap kakitangan yang masih berkhidmat.

Surcaj adalah hutang sivil dan ia boleh dilunaskan dengan cara memotong gaji, pencen atau menerusi saman sivil di mahkamah.

Menurut Seksyen 14, beberapa bentuk perbuatan dan pengabaian boleh menyebabkan prosiding surcaj dijalankan:

> Jika ada kegagalan untuk mengutip wang;

> Pembayaran wang secara tidak wajar;

> Jika tuntutan pembayaran diluluskan atau pembayaran untuk projek diluluskan tanpa penyeliaan yang wajar atau untuk tujuan serong;

> Pembayaran wang tidak diluluskan;

> Menyebabkan kekurangan atau kehilangan wang, barang simpanan atau harta benda dan;

> Kegagalan untuk menyediakan akaun yang lengkap.

TATATERTIB & KETUA AUDIT

Tatatertib: Arahan surcaj tidak menghalang daripada tindakan tatatertib diambil.

Seseorang pegawai boleh ditamatkan perkhidmatan atau diturunkan pangkat kerana menggunakan kedudukannya untuk kepentingan peribadi, bertindak secara tidak jujur, tidak bertanggungjawab dan cuai.

Ketua Audit Negara: Dengan menyediakan maklumat yang objektif dan bebas kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara berkenaan sejauh mana Kerajaan telah mendapatkan dan membelanjakan wang dengan betul, Ketua Audit Negara membantu Parlimen untuk mengukuhkan kebertanggungjawaban eksekutif.

Malangnya, bidang kuasa Ketua Audit Negara adalah terbatas. Beliau tidak boleh meneliti syarikat awam seperti Petronas yang mendapat pengecualian daripada Yang di-Pertuan Agong.

Beliau juga tidak mempunyai kuasa untuk mendakwa atau mengenakan surcaj atau denda kepada sesiapa. Kesan daripada tugasnya tergantung pada tindakan lanjut oleh Kerajaan atau Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) Dewan Rakyat.

PAC

PAC: Institusi parlimen yang meneliti perbelanjaan kerajaan. Ia meneliti laporan Ketua Audit Negara dan memanggil pihak tertentu untuk memberi keterangan. Tugasnya adalah untuk memaklumkan kepada Parlimen jika wang tidak dibelanjakan bersesuaian dengan peruntukan yang diberi atau dibazirkan.

Para pengkritik PAC menyebut beberapa kekurangan pada gerak kerja jawatankuasa ini. Seperti Ketua Audit Negara, ia tidak mempunyai kuasa untuk mendakwa atau menghukum sesiapa. Ia bergantung sepenuhnya pada tindakan lanjut oleh eksekutif politik.

Menteri dan kakitangan awam atasan tidak sentiasa tunduk pada jawatankuasa ini.

SPRM: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia perlu bertindak tengkas menyiasat penemuan Ketua Audit Negara dan PAC.

Selain itu, negara kita memerlukan Akta Kebebasan Maklumat untuk memastikan keterbukaan dalam perbelanjaan kerajaan.

Hanya akta ini yang dapat mengukuhkan kefahaman bahawa jawatan awam adalah satu amanah. Setiap orang yang menguruskan wang awam memegang tugas yang penuh dengan amanah. Jika moraliti tidak berkesan, undang-undang perlu diterapkan.

> Shad Saleem Faruqi adalah Profesor Emeritus Undang-undang di UiTM. Pandangan yang diungkapkan di sini adalah pandangan penulis sendiri sepenuhnya.

iklan

Video

Isnin, 23 Oktober 2017 5:54 PM

Adam, Ezlynn Tuduh Menuduh! Mana Satu Betul?

Isnin, 23 Oktober 2017 4:10 PM

Kiriman Akhir Sebelum Karam

Isnin, 23 Oktober 2017 2:30 PM

Mona Bukan Kehidupan Saya - Shahir

Isnin, 23 Oktober 2017 1:31 PM

Tragedi Tanah Runtuh: Semua Mayat Dijumpai

Isnin, 23 Oktober 2017 9:00 AM

#BiziBody: Aizat Amdan Tak Lupa Dua Benda Ini!

Jumaat, 20 Oktober 2017 2:30 PM

Umur Dah Lanjut Pun Nak Menyanyi Lagi?

Jumaat, 20 Oktober 2017 9:00 AM

#akuStar: Irfan Haris - Pesan

Jumaat, 20 Oktober 2017 8:30 AM

Donut Untuk Sang Hero

Khamis, 19 Oktober 2017 1:00 PM

Lebih Baik Jual Album Sendiri - Firman

Khamis, 19 Oktober 2017 8:30 AM

Keringat Wanita Waja

Kolumnis

iklan

Iklan