suria

Kebahagiaan & Pembangunan...

Dzof Azmi
Dzof Azmi
Dzof Azmi

WANG tidak mampu membeli kebahagiaan dan tidak membantu kita meningkatkan imaginasi dan daya cipta.

Apakah itu sebabnya Malaysia tersenarai sebagai negara ke-56 paling bahagia di antara 156 negara di dunia?

Apabila ada kawan yang pergi ke Amerika Syarikat, kita tergerak untuk meminta mereka membelikan gajet paling terkini kerana harganya agak lebih murah di sana.

Walaupun perkakas-perkakas berkenaan dipasang di rantau ini, Malaysia masih perlu “mengimport”nya dan harganya tetap 10–20% lebih mahal di Plaza Low Yat (di Kuala Lumpur) berbanding di Amerika.

Bilakah kita akan mampu menghasilkan tablet dan telefon sendiri? Beberapa minggu lalu, Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah menyebut bahawa perlu ada cara baru untuk mengukur kemajuan Malaysia sebagai sebuah negara.

Kata beliau, “KDNK tidak memadai untuk mengukur kesejahteraan negara” dan bahawa negara ini juga memerlukan Indeks Kebahagiaan untuk mengukur kebahagiaan rakyat Malaysia.

Minggu lalu, World Happiness Report diterbitkan. Dokumen ini disahkan oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan merupakan hasil daripada resolusi yang diluluskan oleh Perhimpunan Agung PBB pada tahun 2011 yang menggalakkan negara-negara anggota untuk mengukur kebahagiaan rakyat dan menggunakannya sebagai panduan dalam membentuk dasar awam.

Dalam laporan itu, Malaysia diletakkan di tangga ke-56 di kalangan 156 buah negara.

Kalangan yang optimis akan berkata bahawa kedudukan kita lebih tinggi daripada dua pertiga negara dunia yang lain. Sebahagian yang lain pula akan membangkitkan bahawa kita berada di tangga lebih bawah daripada negara-negara seperti Thailand, Trinidad and Tobago malah El Salvador.

Jadi di mana silapnya? Bukankah Malaysia merupakan salah satu daripada negara “harimau Asia” yang ekonominya berkembang dengan pesat sejak lima dekad yang lalu? Tidakkah ini masanya untuk setiap orang menuai habuan lebih besar daripada ekonomi yang sentiasa berkembang?

Aneh, tetapi bagi sesetengah perkara, wang tidak berkesan sebagai satu faktor pendorong. Seorang ahli ekonomi, Dan Ariely telah menjalankan eksperimen ke atas pelajar-pelajar MIT.

Dalam eksperimen tersebut, beliau meminta mereka menyempurnakan tiga jenis tugasan: satu tugasan menguji kemahiran gerak tubuh, satu menguji kreativiti dan satu lagi menguji daya tumpuan.

Beliau membahagikan mereka kepada tiga kelompok dan menawarkan ganjaran yang berbeza-beza jumlahnya bagi setiap tugasan yang berjaya disiapkan dengan baik.

Untuk kemahiran gerak tubuh, seperti dijangka, semakin tinggi ganjarannya, semakin baik hasil kerja mereka. Tetapi bagi tugasan yang memerlukan imaginasi atau penumpuan, hasilnya terbalik: semakin besar ganjaran, semakin lemah prestasi.

Mungkin apabila wang ditawarkan, kita memberi tumpuan yang lebih baik untuk menyiapkan sesuatu tugasan, tetapi dalam soal pemikiran nampaknya wang seperti melumpuhkan satu bahagian penting dalam otak.

Contoh lain, gaji yang besar dan bonus menarik perhatian kakitangan tetapi tidak semestinya menjadi dorongan yang tepat untuk pekerjaan yang memerlukan imaginasi atau inovasi.

Perkara yang penting di sini ialah sekurang-kurangnya keperluan asas dipenuhi, agar pekerja dan keluarga mereka mendapat kelegaan.

Seorang bekas majikan pernah menjelaskan kepada saya bahawa dasar syarikatnya ialah untuk membekalkan perlindungan kesihatan penuh kepada setiap orang dan anggota keluarga mereka yang terdekat.

Jika ada ahli keluarga terdekat jatuh sakit, sekurang-kurangnya pekerja terbabit merasa lega kerana mereka akan mendapat rawatan terbaik. Perkara ini tidak akan memberi dampak kepada daya pengeluaran pekerja itu.

Hal yang sama jika diterapkan kepada negara bererti jika kita mahu para warga melaksanakan tugas mereka yang tidak memerlukan pemikiran dan berbentuk kerja kasar, mereka perlu dilepaskan daripada rasa bimbang.

Mereka perlu mempunyai rumah yang selamat dan perasaan optimis tentang masa depan keluarga, khususnya anak-anak mereka.

Paradoksnya, jika kita mempunyai wang yang cukup, kemungkinan kita tidak akan merasa bimbang tentang hal-hal yang disebutkan di atas. Mungkin masalahnya di Malaysia kini: sebanyak mana wang yang perlu kita ada sebelum kita merasa segala-galanya OK?

Sebagai contoh, kita mahu anak kita mendapat pendidikan terbaik, tetapi kita tidak yakin dengan keupayaan sekolah kerajaan di tempat tinggal kita. Lalu, kita mencari wang yang cukup untuk membolehkan kita menghantar anak ke sekolah swasta.

Malaysia mempunyai sistem penjagaan kesihatan awam yang kosnya hampir sifar. Tetapi adakalanya kita terpaksa menunggu terlalu lama untuk mendapatkan rawatan, manakala persekitaran klinik atau hospital awam pula tidak begitu selesa. Lalu kita pun cuba mencari wang yang cukup untuk membolehkan kita pergi ke hospital swasta.

World Happiness Report mengiyakan perkara ini dengan menyebut bahawa hubung-kait antara peningkatan pendapatan dan petunjuk kesihatan serta pendidikan Human Development Index adalah “longgar dan tidak signifikan secara perangkaan.”

Ringkasnya, negara yang semakin kaya tidak memberi erti warganya mendapat pendidikan lebih baik atau lebih lebih sihat. Saya harap dapat melihat orang awam yang bebas daripada kelaparan dan jenayah serta optimis tentang masa depan mereka sehingga mereka lebih mampu untuk mengambil risiko dan membangunkan ekonomi baru.

Semoga kita tidak hanya menjadi pengguna teknologi gaya Low Yat (di mana mimpi dibeli dari rak barangan) dan sebaliknya menjadi sebuah ekonomi yang mencipta produk hasil daripada imaginasi kita sendiri.

> Logik adalah anti-tesis kepada emosi, tetapi Dzoff Azmi, ahli matematik yang kini menjadi penulis skrip, mempunyai teori bahawa manusia memerlukan kedua-duanya untuk memahami ragam dan kontradiksi dalam kehidupan.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Rumah Baru Untuk Kamera Lama

Artikel Lain