Rumah Baru Untuk Kamera Lama

Diterbitkan: Isnin, 14 Oktober 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SEKEPING gambar boleh membawa seribu makna, tetapi di sebalik sebuah imej terdapat kamera yang mencipta kelainan.

Bagi memberi penghormatan dan sambutan terhadap sejarah penciptaan alat ini, sebuah muzium khas dibuka di Pulau Pinang.

Terletak di sebuah rumah kedai lama dua tingkat sebelum perang di nombor 42, Jalan Muntri, muzium ini mengukuhkan kedudukannya sebagai muzium pertama dikhaskan untuk kamera di Malaysia serta Asia Tenggara.

Pencapaian tersebut membolehkan muzium ini tercatat dalam Malaysia Book of Records.

Di tingkat bawah menempatkan pameran fotografi dan kawasan menjual barangan cenderahati serta kafe.

Sementara di tingkat atas adalah galeri pameran yang menempatkan lebih 300 kamera vintaj, Bilik Pinhole , Bilik Obscura dan Bilik gelap dengan ciri-ciri interaktif untuk membolehkan pelawat merasai pengalaman fotografi dengan cara yang berbeza.

Muzium ini merupakan muzium kedua ditubuhkan oleh pemaju kandungan pelancongan selepas pembukaan Muzium Burung Hantu di Bukit Bendera, Pulau Pinang pada tahun 2012.

"Kami berhasrat untuk membuka 15 lagi pusat tarikan pelancongan di Asia Tenggara dan yang paling penting ia akan berada di Pulau Pinang," kata Tony Ch'ng, salah seorang daripada tujuh pengarah Muzium Kamera itu.

Pengarah lain ialah Najieb Ariff Nazir Ariff, 34; Christopher Cheah, 30; Venus Khor, 29; Lance Ooi, 27; Paul Le, 27; dan Adrian Soh, 26.

Najieb berkata satu daripada tarikan muzium ini ialah pengunjung dapat mengetahui mengenai sejarah kamera dan kerja-kerja fotografi seawal ke abad ke-19.

"Kami mengambil masa enam bulan untuk mendapatkan sumber kamera dari Jepun, Rusia, China dan Amerika Syarikat.

"Kami ingin membawa kembali kenangan fotografi serta mendidik anak-anak muda mengenai asal usul kamera," katanya.

Sejak pembukaan muzium itu pada Jun lalu, muzium itu mencatatkan kira-kira 10,000 pengunjung.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng yang merasmikan pembukaan muzium itu berkata, kamera boleh merakam dan membawa kembali kenangan.

"Salah satu gambar yang paling memberikan kesan adalah apabila Bapa Kemerdekaan, Tunku Abdul Rahman mengisytiharkan kemerdekaan di Stadium Merdeka.

"Kamera adalah senjata yang sangat kuat untuk merakam tindakan sama ada betul atau salah," katanya.

Muzium ini dibuka setiap hari bermula pukul 9.00 pagi hingga 7.00 malam.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan