Pertandingan Untuk Kerusi Naib Presiden Kini Semakin Panas

Diterbitkan: Selasa, 8 Oktober 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Hishammuddin berkempen bersungguh-sungguh bagi mempertahankan jawatannya.
Hishammuddin berkempen bersungguh-sungguh bagi mempertahankan jawatannya.

DATUK Seri Hishammuddin Tun Hussein semakin giat berkempen untuk mempertahankan kedudukan beliau sebagai naib presiden Umno.

Beliau dikatakan telah mengambil cuti daripada menjalankan tugas-tugas di kementerian untuk memberi tumpuan terhadap kempen.

Pada hari Ahad lalu beliau meluangkan masa sehari suntuk di Perak untuk bertemu dengan perwakilan-perwakilan dari utara hingga ke selatan negeri itu.

Menteri Pertahanan itu sedang bergelut dalam persaingan yang melibatkan enam calon bagi tiga kerusi naib presiden.

Beliau bersungguh-sungguh cuba meyakinkan khalayak tentang sebab-sebab mengapa mereka patut menyokong beliau dan malah mengingatkan mereka bahawa beliaulah yang telah mempengerusikan jawatankuasa yang menghasilkan sistem pemilihan baru dalam parti itu.

Kempen beliau amat berbeza dengan kempen Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. Di mana saja Zahid pergi, para penyokong Umno memberitahunya bahawa mereka mahukan beliau terus kekal sebagai naib presiden.

Sedangkan Hishamuddin berhempas-pulas untuk meyakinkan perwakilan bahawa mereka masih memerlukannya.

Beliau bagaimanapun dikatakan mendapat sokongan di Perak yang Menteri Besarnya Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir telah memberi sokongan kepada tiga penyandang, termasuk Zahid dan Datuk Seri Shafie Apdal.

Sokongan Perak terhadap para penyandang jawatan naib presiden dikatakan berasas pada dakwaan bahawa ada arahan dari pucuk pimpinan tertinggi parti untuk mengekalkan status quo di peringkat kerusi naib presiden. Dakwaan ini telah dinafikan kebenarannya.

Satu sumber yang dekat dengan Datuk Seri Najib Razak mengatakan bahawa “tidak benar sama sekali” presiden telah melebihkan sokongan terhadap mana-mana calon naib presiden, termasuk Hishammuddin yang merupakan sepupu beliau.

Menurut sumber berkenaan, presiden enggan terlibat kerana beliau komited untuk membiarkan perwakilan memilih secara bebas siapa yang mereka mahukan sebagai naib presiden mereka.

“Parti ini perlu diberi nafas baru. Jika siapa yang patut dipilih telah ditentukan, akan terbatallah tujuan diadakan proses pemilihan yang baru ini dan ia bertentangan dengan transformasi politik Umno,” ujar sumber tersebut.

Selain itu, dikatakan bahawa seorang lagi pencabar, Datuk Mukhriz Mahathir, tidak akan ikut serta dalam persaingan jika tidak kerana mendapat restu daripada Najib.

Ketua Umno Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee mengatakan calon perlu berkempen dengan bersandarkan pada kekuatan mereka sendiri dan bukannya menggunakan nama presiden.

“Saya tidak tahu siapa yang memulakan khabar angin ini dengan pergi ke seluruh negara memberitahu orang bahawa presiden mahu orang ini atau orang itu. Mereka perlu menghentikan tindakan tersebut dengan segera,” kata Syed Ali.

Hishammuddin juga telah mengeluarkan kenyataan menafikan adanya sebarang arahan daripada kepimpinan parti untuk mengekalkan tiga penyandang naib presiden.

Buat seketika, cerita status quo itu begitu dipercayai sehinggakan Dr Zambry telah merancang untuk mengadakan sidang akhbar bersama ketiga-tiga penyandang naib presiden di kediaman rasmi beliau pada 10 Oktober untuk mengisytiharkan sokongan terhadap mereka. Difahami bahawa acara itu telah dibatalkan.

Pembatalan itu sememangnya sesuatu yang wajar kerana tidak semua penyokong di Perak merasa selesa dengan hal berkenaan. Mereka tidak kisah jika sokongan terbuka diberikan kepada Zahid yang berasal dari Perak, namun untuk dua kerusi lagi mereka merasa perlu diberi kebebasan untuk memilih.

Pada Sabtu malam, Sultan Pahang telah mengadakan makan malam besar-besaran untuk pemimpin-pemimpin Umno bahagian dan cawangan dari Pahang. Ada yang mengatakan bahawa makan malam itu untuk meraikan kejayaan Najib mempertahankan kerusi presiden tanpa ditentang.

Tetapi Najib tidak berada dalam majlis itu dan beberapa hadirin mengatakan yang makan malam itu adalah untuk Tuanku bertemu dengan rakyat baginda.

Seorang ketua bahagian yang hadir dalam majlis itu mengatakan bahawa Tuanku telah menyampaikan titah ucapan selepas makan malam untuk mengucapkan tahniah kepada Najib dan bertitah bahawa Pahang berbangga dengan beliau.

“Tuanku bertitah tentang kesatuan Melayu. Baginda mengingatkan kita bahawa Umno dilahirkan di istana dan menjadi tugas baginda untuk mengambil tahu apa yang berlaku dalam dunia politik. Tuanku juga menyarankan agar perwakilan Pahang memberikan salah satu kerusi naib presiden kepada Hisham,” kata ketua bahagian berkenaan.

Sokongan daripada istana Pahang ini tidak mengejutkan kerana isteri Hishammuddin adalah kerabat diraja Pahang. Menarik untuk dilihat berapa banyak daripada 14 bahagian Umno di Pahang akan memberikan sokongan terhadap Hishammuddin.

Sukar untuk menyalahkan Hishammuddin apabila beliau melakukan segala yang mampu dilakukannya untuk memenangi jawatan naib presiden, kerana pemegang jawatan itu juga akan dilantik ke dalam kabinet.

Lebih jauh daripada itu, jika menang, beliau akan kekal sebagai salah seorang bakal pencabar untuk jawatan Perdana Menteri di masa depan. Jika kalah, beliau mungkin akan menjadi backbencher Barisan Nasional.

Hishammuddin berdepan dengan tiga dilema. Di satu peringkat, beliau sedang dibandingkan dengan Zahid yang telah mengambil alih portfolio beliau sebagai Menteri Dalam Negeri.

Ketegasan Zahid dalam soal jenayah dan keselamatan amat berbeza dengan menteri sebelum beliau. Pendekatan beliau disukai oleh banyak pihak dan sebahagian anggota Umno menyebut beliau sebagai “Sheriff”.

Di peringkat lain, Hishammuddin sedang cuba untuk merebut slot “anak PM”. Hishammuddin dan Mukhriz adalah anak bekas perdana menteri dan bagi kebanyakan pihak hanya boleh ada seorang “anak PM” di kalangan naib presiden – sama ada Hishammuddin atau Mukhriz.

Di satu lagi peringkat, Hishammuddin berdepan dengan Shafie. Para perwakilan telah memutuskan bahawa undi terhadap Zahid adalah “wajib” dan dengan itu mereka perlu mengorbankan sama ada Hishammuddin atau Shafie untuk menaikkan muka baru.

Dari segi itu, siapa saja yang menyebarkan cerita status quo berkenaan telah tersalah menilai sentimen di bawah. Agak jelas dari awal lagi bahawa parti itu tidak berminat untuk memberi sokongan kepada semua penyandang secara borong. Setiap seorang daripada mereka dinilai berasaskan merit mereka sendiri.

Tetapi hanya segelintir yang menjangkakan gelombang sokongan yang besar terhadap Mukhriz. Jika dilihat pada respons perwakilan-perwakilan dalam jelajah Umno, Mukhriz telah menang dalam persaingan untuk meraih “sorak”.

Satu-satunya cara untuk menjelaskan sokongan yang diterima Mukhriz ialah bahawa beliau merupakan salah seorang anggota pasukan yang telah menawan semula Kedah. Kemenangan di Kedah adalah kejayaan terbesar Umno dalam pilihan raya umum yang lalu. Sejak itu, langkah Menteri Besar Kedah yang mempunyai “bin” yang masyhur itu serba menjadi.

Jelajah kempen pemilihan Umno akan melalui beberapa buah negeri lagi, namun sukar untuk disangkal bahawa akar umbi Umno mahu melihat sekurang-kurangnya satu wajah baru di kalangan naib presiden parti itu.

iklan

Video

Selasa, 17 Oktober 2017 9:00 AM

Ferhad Nak Berdangdut!

Isnin, 16 Oktober 2017 2:00 PM

Jom Santai Bersama Ruhainies Dan Tajul!

Isnin, 16 Oktober 2017 1:17 PM

Macam Mana Boleh Tersepit?

Isnin, 16 Oktober 2017 9:00 AM

#BiziBody: Haters Maki Tajul Di Instagram!

Jumaat, 13 Oktober 2017 2:30 PM

Ruhainies Bersedia Untuk Berkeluarga

Jumaat, 13 Oktober 2017 9:00 AM

#akuStar: Farisha Irish - Tak Malu

Khamis, 12 Oktober 2017 9:00 PM

Hafiz Keliru, Saya Tak 'Madukan' Suami - Joy Revfa

Khamis, 12 Oktober 2017 5:22 PM

Punyalah Menangis, Pun Tak Lepas...

Khamis, 12 Oktober 2017 2:00 PM

Xpose Band 'Geng' Jurutera

Kolumnis

iklan

Iklan