DBKL Diarah Roboh Flat Pekeliling Sebelum Hujung 2013

Diterbitkan: Isnin, 30 September 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Flat Pekeliling yang telah lama terbiar memberikan pemandangan buruk di kotaraya.
Flat Pekeliling yang telah lama terbiar memberikan pemandangan buruk di kotaraya.

KERAJAAN telah mengarahkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) supaya merobohkan baki lima blok usang Flat Tunku Abdul Rahman atau lebih dikenali sebagai Flat Pekeliling di Jalan Tun Razak sebelum hujung tahun ini.

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansur berkata DBKL telah diarahkan untuk mempercepatkan proses dengan melibatkan kontraktor untuk menjalankan kerja-kerja perobohan.

"Kami bimbang apabila perkara ini dibiarkan terlalu lama. Bangunan-bangunan yang ditinggalkan telah reput dan kawasan tersebut bukan sahaja telah menyemakkan pemandangan tetapi juga menjadi tempat perlindungan penagih dadah dan gelandangan di bandar," katanya.

Tengku Adnan berkata, DBKL akan merobohkan bangunan terlebih dahulu dan pemaju perlu menanggung kos kerja-kerja pembangunan.

"Keselamatan adalah keutamaan kita pada masa kini. Bangunan yang lama terbiar mendatangkan bahaya kepada orang awam," katanya.

Tengku Adnan menambah membiarkan bangunan usang itu terlalu lama juga boleh menyebabkan sebahagian strukturnya runtuh.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Ahmad Phesal Talib ketika dihubungi berkata soal keselamatan menjadi kebimbangan paling utama.

"Sebab itulah kita mencari pihak yang sesuai untuk menjalankan kerja-kerja perobohan," katanya.

Ditanya sama ada letupan akan dilakukan untuk merobohkan bangunan, beliau berkata: Kerja meroboh menggunakan kren bermula dari atas ke bawah akan dilakukan terhadap bangunan 17 tingkat itu. Tiada letupan akan dilakukan.

Pejabat Datuk Bandar sering menjadi perhatian berhubung flat ini sejak beberapa tahun kebelakangan ini kerana tidak dapat menyelesaikan masalah perobohan.

Disebabkan masalah ini melibatkan kemelut undang-undang, pihak berkuasa enggan terlibat atau mencampuri urusannya.

Pada 1995, kerajaan mengambil keputusan untuk membangunkan semula kawasan flat ini sebagai sebahagian daripada program pembaharuan bandaraya dengan membersihkan kawasan-kawasan lama dan usang.

Pemaju Asie Development Sdn Bhd dilantik kerajaan telah dianugerahkan projek untuk membangunkan semula Flat Pekeliling.

Bagaimanapun, flat ini telah dibiarkan kosong sejak 31 Disember 2008 selepas penduduk diarahkan berpindah.

Namun, Asie Development belum lagi menghantar sebarang pelan projek pembangunan semula.

Menerusi laporan StarMetro tahun lepas, dinyatakan bahawa rumah pangsa berusia 46 tahun itu yang sepatutnya dirobohkan pada 2010 terbiar disebabkan kemelut undang-undang.

Sejak itu, bangunan berkenaan menjadi sarang penjenayah dan aktiviti tidak baik.

Selain menjadi sarang penagih dadah dan tempat gelandangan, pekerja asing juga menjadikan bangunan ini sebagai tempat tinggal mereka.

Malah, orang awam juga menjadikan kawasan tersebut sebagai tempat longgokan sampah.

Walaupun menerima banyak aduan, DBKL tidak mampu menangani kemelut ini kerana ia merupakan harta persendirian.

StarMetro telah melakukan sekali lagi kunjungan ke sana baru-baru ini dan mendapati sampah semakin menimbun dan semakin berselerakan di merata-rata tempat termasuklah di bilik-bilik kosong.

Pokok dan tumbuhan renek juga telah tumbuh di dalam bangunan, menjalar melalui pintu dan tingkap yang pecah serta grafiti 'menghiasi' dinding-dinding.

Pakaian yang dijemur juga dapat dilihat dari luar, menandakan kawasan ini digunakan sebagai kawasan perlindungan golongan tertentu.

Kawasan taman permainan yang dibina sekitar 1960-an kini dilitupi tumbuhan-tumbuhan liar.

Pelan membangun dan menswastakan kawasan rumah pangsa ini diumumkan pada awal tahun 1995 dan dianggarkan seramai 8,000 hingga 12,000 penduduk dipindahkan dengan melalui dua fasa.

Pemaju mula merobohkan Blok A dan Blok B pada hujung tahun 2005 selepas hampir semua penduduk dari 11 blok dipindahkan, kebanyakannya ke ke flat Taman Sri Rampai di Setapak.

Berdasarkan laporan-laporan sebelum ini, kawasan ini akan dibangunkan dengan projek yang dinamakan Taman Sari.

Projek ini merupakan sebahagian daripada projek pembaharuan bandaraya dalam usaha kerajaan menawarkan perumahan dan kehidupan yang lebih selesa.

Flat Pekeliling juga menjadi salah sebuah projek paling awal di Kuala Lumpur.

11 blok rumah pangsa telah dibina antara tahun 1964 dan 1967.

Dalam pada itu, dalam laporan StarMetro baru-baru ini menyatakan bahawa keputusan untuk membangunkan semula Flat pekeliling kepada pusat komersial telah menerima pelbagai reaksi.

Ramai penduduk di bandar ketika ditemuramah mahu kerajaan membangunkan semula rumah pangsa ini kepada skim perumahan mampu milik.

iklan

Video

Khamis, 17 Ogos 2017 3:02 PM

Seksi? Urusan Saya Dengan Tuhan - Zizi Kirana

Khamis, 17 Ogos 2017 12:30 PM

Erma Reda, Jatuh Talak Satu

Khamis, 17 Ogos 2017 9:00 AM

Wak Doyok Kini Bintang Filem

Rabu, 16 Ogos 2017 3:59 PM

Bahaya Tu Abang Oii...

Rabu, 16 Ogos 2017 12:30 PM

“Senyum Je Pada Haters” - Farisha Irish

Selasa, 15 Ogos 2017 3:28 PM

Raysha Rizrose Pemalu, Bukan Sombong!

Selasa, 15 Ogos 2017 11:59 AM

Keluarga 'Control' Hidup Neera Azizi?

Selasa, 15 Ogos 2017 9:00 AM

Abang Long Fadil 2 Telan Belanja RM 3.2 Juta

Kolumnis

iklan

Iklan